Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua SPRM akan selesai tugasan hingga hari akhir khidmat
Ketua SPRM akan selesai tugasan hingga hari akhir khidmat
Azam Baki tamat kontrak 12 Mei, tekad perangi rasuah
Ketua SPRM akan selesai tugasan hingga hari akhir khidmat
KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki yang bakal menamatkan kontrak perkhidmatan sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 12 Mei menegaskan beliau tidak akan sesekali meninggalkan bebanan yang terpaksa ditanggung penggantinya yang akan mula bertugas pada tarikh sama.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai penyiasat SPRM untuk terus bersemangat meneruskan tugas sedia ada, malah bersedia menerima kepimpinan baru selepas beliau melangkah keluar pejabat pada 12 Mei.
“Saya kena ‘clearkan’ (selesaikan tugasan) walau di hari akhir saya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Jika ada siapa yang melakukan kesalahan, baik jenayah ataupun apa-apa penyalahgunaan, ia perlu diambil tindakan,” katanya dalam podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM, yang disiarkan di YouTube pada 11 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tempat Tan Sri Azam akan digantikan oleh Datuk Seri Abdul Halim Aman, yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman Malaysia dengan jawatan terakhirnya ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (Selangor).
Dalam podcast itu, Tan Sri Azam mengakui masalah rasuah di Malaysia masih lagi serius, meskipun banyak kes dengan individu berprofil tinggi berjaya dihadapkan ke muka pengadilan.
Tegas beliau, isu rasuah masih lagi dianggap masalah sistemik apabila kerugian akibat ketirisan mencecah RM277 bilion ($89.64 bilion) dalam tempoh enam tahun.
“Saya tak tak nak ulang-ulang (sebab) dah banyak kali (cakap). Semua orang tahu dah sistemik. Jadi yang sistemik ni kita perlu banteras, kita perlu uruskan.
“Kalau kita biarkan begitu saja sebagai contoh yang mana sistem berkaitan dengan perolehan yang berkaitan dengan kehilangan wang negara, enam tahun lepas RM277 bilion hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam berkata tugas mencegah rasuah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya SPRM semata-mata, namun beliau mengamalkan konsep no wrong door policy (dasar akses tanpa halangan).
Katanya, seperti dilihat menerusi operasi SPRM sebelum ini, suruhanjaya itu di bawah kepimpinan beliau tidak pernah berkompromi dengan isu rasuah membabitkan mana-mana agensi sekalipun.
“There’s no wrong door. Saya ambil (siasat) kerana jenayah yang berlaku ini semua ada kaitan dengan rasuah. Saya tak boleh elak benda ni.
“Sekarang saya kena pengerusikan mesyuarat kebangsaan e-waste dan sisa plastik. Kerana peranan SPRM begitu berkesan dan ada keberkesanan dalam tindakan kita,” katanya lagi.
Tan Sri Azam juga berkongsi beliau tidak pernah memilih jalan selamat sepanjang kerjaya, sekali gus menyebabkan musuhnya bertambah dari semasa ke semasa.
Beliau berkata prinsipnya sejak berkhidmat selama empat dekad menyebabkan beliau tidak mempunyai ramai rakan kerana baginya langkah selamat seperti tidak melakukan apa-apa.
“Saya akui tidak mempunyai kawan sejak saya berkhidmat dalam BPR (Badan Pencegah Rasuah), seterusnya SPRM malah bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membuatkan saya mempunyai lebih ramai musuh,” katanya.
Tan Sri Azam turut memberi bayangan beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat walaupun menamatkan perkhidmatan secara rasmi mulai 12 Mei.
