JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau telah bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk membincangkan senarai calon Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Jawatan itu kini dipegang Tan Sri Azam Baki, yang kontraknya akan tamat pada 12 Mei.

Pertemuan penting itu, menurut Datuk Anwar, berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pagi 24 April.

“Nanti saya akan umumkan kemudian (Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu),” katanya ringkas selepas makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, Johor Bahru, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengenai senarai nama calon kepada Sultan Ibrahim, Datuk Anwar sekadar berseloroh: “Nama yang layak ada 120.”

Terdahulu, pada 23 April, Berita Harian melaporkan Sultan Ibrahim akan memilih sendiri Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Sultan Ibrahim menekankan betapa pentingnya jawatan itu bagi memastikan SPRM terus efektif sebagai institusi utama negara dalam memerangi rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” kata Sultan Ibrahim dalam kenyataan, sambil menegaskan agar tiada pihak mempolitikkan isu tersebut.

Tan Sri Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac 2020.

Beliau menggantikan Cik Latheefa Koya, yang meletakkan jawatan susulan perubahan politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan, ketika itu dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejak itu, kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam dilanjutkan tiga kali di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berdepan desakan agar menamatkan kontrak Azam yang terpalit beberapa kontroversi.

Jawatan Ketua SPRM menarik perhatian umum, memandangkan suruhanjaya itu adalah badan penguatkuasaan utama negara dalam membanteras rasuah dan usaha memulihkan aset negara yang hilang akibat penyelewengan berskala besar.

Sebelum itu, Datuk Anwar sempat beramah mesra dengan komuniti tempatan di Permas Jaya, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya bersama lebih 1,500 jemaah, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.