MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang.

Datuk Ab Rauf, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, berkata pilihan raya itu tidak sesuai diadakan terlalu hampir dengan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Disember depan kerana waktu berkempen dijangka bertembung dengan Ramadan dan Aidilfitri.

“Jadi, kita pastikan cuba lihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari (untuk melaksanakan PRN Melaka),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka, pada malam 17 April.

Ditanya sama ada Umno Melaka akan bertanding secara solo sebagaimana diputuskan Umno Johor pada 16 Mei, Datuk Ab Rauf berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Hal itu kita tak fikirkan lagi sama ada (bertanding secara) solo ataupun kita bersama (dengan parti lain)… kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman.

“Kita dah mula gerak kerja sejak 2025 lagi dan insya-Allah, melihat daripada penerimaan masyarakat, kerajaan negeri (yang diterajui BN) ini merupakan satu kerajaan yang menjadi pilihan utama mereka,” katanya, lapor laman web, Astro Awani.

Terdahulu pada majlis berkenaan, lebih 190 individu dari Parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian menyertai Umno menerusi Rumah Bangsa.

Sebelum ini, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka 2021, manakala penggal DUN Melaka dijangka berakhir pada Disember.

Pada 16 Mei, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Umno negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan gabungan itu akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang, yang dijangka pada 2027.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno dan BN negeri, selain hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti. 

Pada 17 Mei pula, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Encik Aminolhuda Hassan, dalam reaksinya terhadap perkembangan itu, berkata pengumuman Datuk Onn Hafiz itu memberi isyarat jelas ruang kerjasama politik dengan PH di negeri ini sudah tertutup.