Pakatan Harapan (PH) bersedia bertanding untuk semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk bertembung dalam pilihan raya negeri akan datang kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar yang juga pengerusi PH berkata keputusan itu akan menjadi pendirian tegas PH sekiranya kerjasama politik sedia ada tidak lagi dihormati.

BN, bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Anwar dan PH.

Menurut Datuk Anwar, PH masih mengutamakan rundingan dan kestabilan politik, namun pakatan itu juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pertandingan secara terbuka.

“Kalau inilah pilihan mereka (BN), Pakatan Harapan akan bertanding di semua 36 kawasan DUN di Negeri Sembilan.

“Di Johor sudah diumumkan (56 kawasan DUN), di Negeri Sembilan juga hampir pasti kita lawan semua,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Persada Johor International Convention Centre di Johor Bahru pada 17 Mei.

Datuk Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata PH turut bersedia mempertimbangkan tindakan sama di negeri lain termasuk Selangor dan Pulau Pinang sekiranya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan terus terganggu.

“Kalau itu keputusan mereka, kita bertanding di semua kawasan di Selangor dan Pulau Pinang juga,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PH masih memilih pendekatan rundingan dan mahu mengekalkan kestabilan politik demi kepentingan negara.

Menurut beliau, kekuatan utama Malaysia ketika ini ialah kestabilan politik yang membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Kita orang baik, sabar dan mahu selamatkan negara ini.

“Tetapi kalau mereka pilih untuk bertempur, kita jawab dengan tegas,” katanya.

Datuk Anwar juga berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan langkah seterusnya termasuk kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secara serentak di seluruh negara.

Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun perlu diputuskan secara bersama dengan mengambil kira pandangan semua pimpinan parti dalam kerajaan.

“Saya akan panggil pimpinan PH untuk berunding; kita harus fikir serius jika beginilah caranya hubungan dalam kerajaan direnggangkan,” katanya.

Datuk Anwar berkata sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan - yang juga dikenali secara tidak rasmi sebagai Kerajaan Madani- PH tidak pernah menghasut atau cuba mengkhianati rakan dalam kerajaan perpaduan demi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Menurut beliau, kerajaan memilih pendekatan berhati-hati dan berunding dalam banyak perkara walaupun terdapat agenda reformasi yang mahu dipercepatkan kerana kestabilan politik perlu diutamakan.

“Kita mahu kerajaan itu stabil. Politik harus stabil, negara harus aman dan ini memerlukan kekuatan bersama.

“Tetapi jangan salah baca pendekatan kita sebagai lemah. Jangan ugut dan jangan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” katanya.

Pada 16 Mei, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan menandingi semua 56 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri, berdasarkan maklum balas rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya tersebut.

“Kalau betul mereka merasakan sudah sampai masanya, mula di Johor, kita sambung di Negeri Sembilan.

“Kalau betul... kita kembalikan kepada rakyat untuk menentukan pandangan,” kata Datuk Anwar, memberi pandangan mengenai perkembangan tersebut.

Datuk Anwar berkata kerajaan pimpinan PH bukan sekadar menumpukan politik, sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, pengurangan pengangguran dan usaha membanteras rasuah.

Menurut beliau, kerajaan berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi lebih baik termasuk pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.