Bagi menyediakan lebih banyak ruang rekreasi mesra keluarga kepada penduduk, Kerajaan Johor akan membangunkan Taman Komuniti Bangsa Johor secara berperingkat di kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata Hutan Bandar Johor Bahru menjadi projek perintis bagi konsep itu, manakala taman kedua dijadual dibangunkan di Iskandar Puteri pada 2027.

Beliau berkata beberapa kawasan lain seperti Kulai turut akan dinaik taraf, sebelum konsep sama diperluaskan ke PBT lain, mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kita akan melaksanakan secara berfasa membabitkan 16 PBT. Setakat ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah mempunyai kemudahan itu, Iskandar Puteri akan menyusul tahun depan (2027), manakala Kulai akan dinaik taraf sebelum diperluaskan ke PBT lain.

“Ini adalah antara manifesto di bawah portfolio saya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut beliau, setiap Taman Komuniti Bangsa Johor akan dibangunkan sebagai taman rekreasi pelbagai fungsi yang menggabungkan taman air kanak-kanak, taman permainan, kawasan riadah serta ruang keluarga dalam satu lokasi.

“Taman ini mempunyai taman air, taman rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan pelbagai kemudahan lain untuk kegiatan keluarga. Konsepnya menghimpunkan pelbagai kemudahan dalam satu kawasan,” katanya.

Datuk Mohd Jafni berkata skala pembangunan akan disesuaikan mengikut taraf dan kemampuan kewangan setiap PBT.

Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskadar Puteri (MBIP), Mutiara Rini.
Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskadar Puteri (MBIP), Mutiara Rini. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Katanya, majlis bandar raya dijangka membelanjakan sehingga kira-kira RM5 juta ($1.5 juta) bagi setiap projek, majlis perbandaran dianggarkan kurang daripada RM1 juta, manakala majlis daerah akan melaksanakan projek mengikut peruntukan yang lebih kecil.

Beliau berkata kemudahan itu akan memberi tumpuan kepada kanak-kanak, khususnya murid sekolah rendah, selain menyediakan ruang riadah kepada seluruh keluarga.

Mengulas inspirasi pembangunan taman berkenaan, Datuk Mohd Jafni berkata idea itu lahir hasil lawatan kerja kerajaan negeri ke beberapa taman awam di Singapura sebelum ini.

Beliau berkata delegasi Johor meneliti amalan terbaik pengurusan taman dan kemudahan awam sebelum menyesuaikannya dengan keperluan serta persekitaran di Johor.

Pada Ogos 2025, beliau mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Taman Negara (NParks) Singapura, termasuk ke Taman Tasik Jurong, Taman Alam Semula Jadi Rifle Range dan Kebun Bunga Singapura bagi meneliti pelaksanaan strategi ‘City in Nature’, yang mengimbangi pembangunan bandar dengan pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, lawatan itu memberi gambaran mengenai kaedah pengurusan taman awam yang profesional, beridentiti serta mempunyai nilai pendidikan untuk masyarakat.

Mengulas isu vandalisme yang pernah menyebabkan beberapa kemudahan di Hutan Bandar Johor Bahru ditutup sementara, Datuk Mohd Jafni berkata keadaan kini semakin bertambah baik hasil kerjasama orang ramai.

“Sebelum ini berlaku masalah vandalisme dan aspek kebersihan apabila jumlah pengunjung terlalu ramai. Namun selepas pelbagai usaha memberi kesedaran dilakukan, keadaan kini semakin baik dan masyarakat semakin menjaga kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap budaya menjaga kebersihan dan harta awam dapat terus dipupuk seiring usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju.