Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga Kampung Melayu Majidi di Johor lawat S’pura, kunjungi Pasar Geylang

Lawatan merupakan usaha berperingkat Johor naik taraf imej, kebersihan serta mutu makanan agar setara dengan pusat penjaja dan pelancongan taraf antarabangsa
Jan 7, 2026 | 2:55 PM
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (berbaju biru),  mengetuai lawatan Peniaga Medan Niaga Kampung Melayu Majidi ke Pasar Geylang Serai.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah (berbaju biru), mengetuai lawatan Peniaga Medan Niaga Kampung Melayu Majidi ke Pasar Geylang Serai. - Foto FACEBOOK HAIRI MAD SHAH

Peniaga Medan Niaga Kampung Melayu Majidi menyertai lawatan penanda aras ke Singapura sebagai sebahagian usaha berperingkat Kerajaan Johor untuk menaik taraf imej, kebersihan serta mutu makanan kawasan niaga berkenaan agar setara dengan pusat penjaja dan pelancongan bandar bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata pendedahan secara langsung di lokasi rujukan utama di Singapura memberi gambaran menyeluruh mengenai amalan terbaik pengurusan pusat penjaja, merangkumi aspek keselamatan makanan, susun atur peniaga, kebersihan, kelestarian operasi serta sistem penguatkuasaan yang tersusun.

“Lawatan pada 6 Januari, anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ini, selari dengan aspirasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menekankan keperluan memperkukuh mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi.

“Dapatan lawatan itu akan dijadikan panduan utama bagi penambahbaikan berperingkat di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Januari.

Lawatan berkenaan melibatkan kunjungan ke Pasar Geylang Serai dan Pusat Makanan Newton, dengan penyertaan seramai 27 peniaga bersama pegawai MBJB serta agensi berkaitan.

Encik Mohd Hairi berkata hasil pemerhatian dan perbincangan di lapangan akan diterjemahkan kepada langkah praktikal bagi meningkatkan daya saing peniaga tempatan, sekali gus memperkukuh imej kawasan niaga itu sebagai tarikan pelancongan bandar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Johor akan melaksanakan Baucar Kasih Johor bernilai RM200 ($63.28) bagi setiap keluarga penduduk Kampung Melayu Majidi, bermula Februari 2026.

Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan perbelanjaan di Pasar Awam dan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi, sekali gus menyokong peniaga tempatan serta merancakkan ekonomi setempat.

Beliau berkata program rintis itu perlu disambut dengan komitmen peniaga untuk terus meningkatkan mutu makanan, persembahan hidangan, kebersihan premis dan layanan pelanggan, selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi sebagai contoh pengurusan medan selera yang lebih tersusun, bersih, selesa dan mesra rakyat.

“Antara usaha sokongan yang telah dilaksanakan termasuk diskaun sewaan sehingga 50 peratus sehingga hujung tahun, selain penambahbaikan kemudahan seperti pemasangan perangkap lalat, televisyen serta naik taraf aspek kebersihan dan keselesaan kawasan medan selera,” ujarnya.

Encik Mohd Hairi berkata lawatan itu turut menjadi platform dialog terbuka untuk mendengar pandangan, cadangan dan cabaran peniaga, sekali gus menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkasa usahawan tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg