Topik diikuti
Pergi ke BHkuModel pusat makanan Geylang Serai diperkenalkan ke seluruh Johor
Model pusat makanan Geylang Serai diperkenalkan ke seluruh Johor
Model pusat makanan Geylang Serai diperkenalkan ke seluruh Johor
Model pusat makanan Geylang Serai di Singapura akan diperluaskan ke seluruh 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor mulai pertengahan Mei 2026 menerusi pelaksanaan beberapa peringkat pembangunan pusat makanan masyarakat atau medan selera.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pelaksanaan fasa pertama ketika ini membabitkan Medan Niaga Kampung Melayu Majidee sebelum diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat.
Menurut beliau, selepas Johor Bahru, pelaksanaan seterusnya akan melibatkan kawasan Pasir Gudang, Iskandar Puteri, Kulai dan Simpang Renggam, menerusi fasa kedua yang dijangka bermula pada suku keempat 2026.
“Selepas itu, baki kawasan PBT lain akan dilaksanakan dalam fasa ketiga sehingga melibatkan kesemua 16 PBT di Johor.
“Program ini bukan sekadar menaik taraf medan selera atau kawasan perniagaan, tetapi turut melibatkan latihan kemahiran buat peniaga,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Datuk Mohd Jafni berkata kerajaan negeri turut merancang membawa cef hotel bertaraf empat dan lima bintang bagi melatih peniaga kecil meningkatkan mutu makanan dan perkhidmatan.
Jelasnya, inisiatif itu diinspirasikan daripada lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ke Pasar Geylang Serai pada Ogos 2025.
Menurut beliau, model pusat makanan di Singapura itu berjaya menggabungkan jualan makanan basah, makanan kering, sistem pembayaran digital serta suasana kemasyarakatan yang tersusun dan bersih.
“Peniaga di sana menggunakan sistem pembayaran digital secara ‘sentuh’ dan kita akan bekerjasama dengan MyCashier untuk melaksanakan sistem sama di Johor,” katanya.
Beliau berkata program perintis itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 keluarga di kawasan Medan Niaga Kampung Melayu Majidee.
Jelasnya, setiap keluarga akan menerima Baucar Kasih Johor bernilai RM200 ($64.70), yang boleh digunakan di lokasi terlibat.
“Program ini akan dilancarkan Menteri Besar Johor dan ia bukan sahaja membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, tetapi turut merancakkan ekonomi peniaga kecil.
“Kita mahu kawasan medan selera ini bukan sahaja menawarkan makanan sedap, tetapi harga yang berpatutan dan suasana lebih selesa,” katanya.
Menurut beliau, setiap PBT akan mencadangkan sekurang-kurangnya satu lokasi untuk pelaksanaan program tersebut dan ada kawasan tertentu yang mungkin mempunyai lebih daripada satu lokasi berdasarkan kepadatan penduduk.
Jelasnya, keseluruhan fasa pertama program itu membabitkan peruntukan RM14.9 juta, dengan kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menambah peruntukan bagi pelaksanaan seterusnya.
Sebelum ini, pada 6 Mei, kerajaan negeri melancarkan projek perintis Baucar Kasih Johor di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, dengan menawarkan baucar makanan RM200 kepada lebih 4,000 isi rumah.
Datuk Onn Hafiz dilaporkan berkata inisiatif itu diwujudkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat selain menghidupkan semula pusat perniagaan masyarakat tempatan menerusi konsep yang diinspirasikan daripada Pasar Geylang Serai di Singapura.
