Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayi tertukar di Hospital Tunku Azizah cetus kebimbangan ibu bapa
Bayi tertukar di Hospital Tunku Azizah cetus kebimbangan ibu bapa
Bayi tertukar di Hospital Tunku Azizah cetus kebimbangan ibu bapa
Alangkah terkejutnya ibu bapa apabila cahaya mata tertukar dengan bayi lain.
Kejadian cemas itu berlaku pada 14 Mei di Hospital Tunku Azizah (HTA) apabila bayi perempuan kepada Encik Muhammad Harraz Haziq, 24 tahun, tertukar dengan seorang bayi lelaki.
Kejadian itu disedari isterinya selepas isterinya selamat melahirkan anak perempuan mereka pada 7 April lalu sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Menurut laporan daripada Harian Metro, bayi yang terpaksa ditahan di wad akibat masalah jaundis (demam kuning) telah diambil untuk tujuan ujian darah.
Setelah dipulangkan, isteri Encik Harraz tersedar bayi mereka telah tertukar dengan seorang bayi lain.
“Pada malam 8 April, jururawat datang untuk mengambil bayi kami bagi tujuan ujian darah. Kira-kira 5 pagi esoknya, jururawat memulangkan semula bayi dan meletakkannya di dalam inkubator.
“Bagaimanapun, pada 6 pagi, isteri saya mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bayi yang diserahkan itu adalah bayi lelaki, bukannya anak perempuan kami,” kata Encik Harraz.
Anak mereka ditemui pada 9 April, hari yang sama kejadian tertukar itu.
Yang menjadi persoalan ialah mengapa bayi lelaki berkenaan mempunyai tanda nama isterinya.
Lebih mengejutkan, jururawat dikatakan mempertikaikan dan menyoal Encik Harraz kembali tetapi beliau telah mempunyai bukti borang pengesahan kelahiran anak ketika isteri baru lepas bersalin. Laporan polis juga telah dibuat selepas kejadian tersebut.
Pengarah HTA, Dr Shamsul, mengatakan tindakan pembetulan segera telah diambil sebaik sahaja perkara terbabit disedari.
Pihak hospital telah memberikan penerangan dan sokongan yang sewajarnya kepada anggota keluarga yang terlibat.
Semakan mendapati tiada sebarang prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh itu.
“HTA memahami kebimbangan dan perhatian orang ramai susulan penyebaran perkara ini di media sosial.
“Sehubungan dengan itu, pihak hospital telah mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan bayi-bayi yang terlibat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Pihak hospital akan memperkukuhkan lagi langkah kawalan dalaman bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberi dan HTA kini lebih komited untuk memastikan keselamatan pesakit adalah keutamaan.
