Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki bunuh, bakar teman wanita di Selangor terlepas hukuman gantung
Lelaki bunuh, bakar teman wanita di Selangor terlepas hukuman gantung
Lelaki bunuh, bakar teman wanita di Selangor terlepas hukuman gantung
PUTRAJAYA: Tertuduh dalam kes membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil pada 2023, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat selepas panel Hakim Mahkamah Rayuan mengambil kira faktor usia tertuduh ketika kejadian, iaitu 20 tahun, selain mempertimbangkan pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Dengan mengambil kira usia muda perayu ketika kejadian serta kewujudan pilihan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori, mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
“(Dan kami) menggantikannya dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun (bermula) dari tarikh tangkapan dan 12 sebatan,” kata panel tiga Hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Radzi Harun,” lapor Malaysiakini.
Muhammad Fakrul Aiman diwakili peguam, Encik Muhammad Nor Tamrin, Cik Nurul Syuhada Mohd Subhi dan Cik Nurussaadah Abdul Razak, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Abdul Malik Ayob.
Sebelum keputusan dibuat, pihak pembelaan mengemukakan tujuh alasan bagi menyokong rayuan termasuk faktor usia tertuduh ketika kejadian.
Dalam hujahan bertulis, Encik Muhammad Nor berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf menjatuhkan hukuman mati kerana ia disifatkan sebagai ‘terlalu berat’ memandangkan pertuduhan hanya melibatkan satu nyawa.
Beliau turut berhujah bahawa mahkamah sepatutnya mempertimbangkan faktor usia tertuduh di bawah Seksyen 293 Kanun Keseksaan, namun perkara itu tidak diambil kira oleh Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat kerana peruntukan tersebut tidak terpakai dalam kes ini.
Pihak pendakwaan turut merujuk kepada kes duluan Pendakwa Raya lawan Teh Ah Cheng yang menyatakan seseorang yang cukup dewasa untuk melakukan jenayah berat juga wajar dikenakan hukuman yang diperuntukkan undang-undang.
Muhammad Fakrul Aiman, kini berusia 22 tahun, didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21 tahun, antara 8.30 malam 22 Mei dengan 8 pagi 23 Mei 2023, di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.
Tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Klang, Selangor, pada 15 Oktober 2025, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Hakim Norliza Othman ketika menjatuhkan hukuman itu menyifatkan jenayah berkenaan sebagai kejam dan terancang, justeru wajar dikenakan hukuman mati.
Dalam penghakimannya, Hakim Norliza turut menegaskan tertuduh bukan hanya membunuh mangsa, malah bayi dalam kandungan berusia 18 minggu turut terkorban.
Kes pembunuhan kejam Allahyarhamha Nur Anisah mendapat perhatian meluas apabila mayatnya ditemui dalam keadaan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di kebun kelapa sawit, bagi menyembunyikan kehamilan luar nikah.
Mereka dilaporkan sudah menjalin hubungan selama setahun.
Mayat mangsa ditemui orang ramai dalam keadaan terbakar dan tertiarap dalam kebun kelapa sawit pada 23 Mei 2023.
