Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar kolej dituduh bunuh pasangan suami isteri tunggang motosikal di KL
Pelajar kolej dituduh bunuh pasangan suami isteri tunggang motosikal di KL
Pelajar kolej dituduh bunuh pasangan suami isteri tunggang motosikal di KL
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 15 Mei atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal pada awal Mei.
Danish Raman Kamar Kumaresan, 24 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian A Doraisingam, 61 tahun, dan isterinya, A Menagah, 56 tahun, di Jalan Ampang dari arah KLCC ke Ampang Point pada 5.30 pagi, 2 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Mohd Sharizat Amadan, manakala tertuduh diwakili peguam, Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.
Dalam kejadian berhampiran Hospital Gleneagles Ampang, motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit dipercayai dirempuh sebuah kereta hilang kawalan.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa sehingga menyebabkan pasangan berkenaan maut akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata sampel darah serta air kencing sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.
