Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar sedia runding dengan Zahid, elak PH-BN tembung di Johor
Anwar sedia runding dengan Zahid, elak PH-BN tembung di Johor
Perdana Menteri M’sia harap masalah dihadapi kededua pihak selesai secara baik demi kestabilan politik negara
Anwar sedia runding dengan Zahid, elak PH-BN tembung di Johor
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membincangkan pendirian BN dan Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Beliau, yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi PH, berkata beliau masih berharap rundingan antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan secara baik, demi kepentingan bersama dan kestabilan politik negara.
“Saya masih berharap, walaupun pengumuman sudah dibuat.
“Saya akan berjumpa Presiden Umno, saya (akan) kata rundinglah baik-baik, nak rebut apa?
“Di mana yang silap, adakah kita tidak memberi pertolongan? Saya tak kira, saya tolong semua.
“Jadi kalau perebutan di peringkat bawah menyebabkan pergaduhan, carilah penyelesaian yang terbaik,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Program Perumahan Rakyat Taman Desa Mutiara pada 17 Mei.
Pada masa yang sama, Datuk Anwar mengingatkan pemimpin parti supaya sentiasa turun padang membantu rakyat dan bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, pemimpin perlu ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat dan tidak sekadar berebut pengaruh politik menjelang pilihan raya.
Beliau turut berharap penduduk di kawasan berkenaan akan memberi sokongan kepada calon PH sekiranya gabungan itu bertanding di kawasan terbabit.
Pada 16 Mei, Pengerusi BN Johor, yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.
Menurut beliau, keputusan itu sudah mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memenangi 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Muda satu kerusi.
Sementara itu, ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Datuk Anwar berkata PH bersedia untuk bertanding secara solo bukan sahaja pada PRN, malah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya perlu.
“Kita tak makan ugutan, tidak gentar. Penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin.
“Kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi,” katanya, lapor Utusan Malaysia pula.
Beliau berkata PH tetap membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, namun menegaskan gabungan itu tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak cuba menggugat kerjasama sedia ada.
“Kalau mereka mula langgar, kita akan jawab dengan tegas. Tetapi kalau mereka berunding dengan baik, kita terbuka dan sambut dengan baik.
“Saya akan panggil pimpinan PH dalam masa terdekat, apakah kita akan pilih adakan PRU seluruh negara?
“Memang tarikhnya keputusan perdana menteri, tetapi biarlah ia diputuskan bersama, saya dengar nasihat kawan-kawan,” katanya.
“
“Saya masih berharap, walaupun pengumuman sudah dibuat. Saya akan berjumpa Presiden Umno, saya (akan) kata rundinglah baik-baik, nak rebut apa?”