JOHOR BAHRU: Lebih 2,000 mahasiswa anak Johor berhimpun di Arena Larkin bagi menyertai Program Ayuh Johor Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2026.

Program tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, peluang kerjaya dan hala tuju ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, menyifatkan kehadiran luar biasa ini sebagai cerminan kesedaran tinggi generasi muda terhadap peranan mereka sebagai pemacu utama masa depan Johor.

Katanya, program itu adalah landasan penting untuk menghayati agenda pembangunan negeri menerusi aspirasi Maju Johor 2030, inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

“Pendekatan ini signifikan untuk memastikan mahasiswa sentiasa bersedia berdepan dengan landskap ekonomi global yang pantas berubah, sekali gus merebut peluang pembangunan modal insan dan kerjaya berimpak tinggi yang subur di Johor,” ujar beliau dalam kenyataan bertarikh 14 Mei.

Sepanjang program, pelbagai pengisian ilmiah dan interaktif diatur, termasuk sesi dialog terbuka bersama kepimpinan negeri, serta penerangan mendalam mengenai JTDC, JS-SEZ, serta prospek kerjaya masa hadapan.

Pendekatan dua hala ini, jelas Encik Aznan, amat penting bagi membina kefahaman yang jitu serta mengeratkan tautan hubungan antara mahasiswa dan pentadbiran negeri.

“Kerajaan Johor akan memperkasa jaringan strategik bersama belia dan institusi pendidikan tinggi, satu komitmen yang diterjemahkan melalui kesinambungan Program Ayuh Johor Mahasiswa di seluruh pelosok negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Encik Aznan mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di pejabat JTDC, Iskandar Puteri.

Pertemuan itu membuka ruang perbincangan mustahak untuk memperkukuh agenda pembangunan modal insan, memastikan sistem pendidikan tinggi Johor bergerak seiring dengan tuntutan industri dan rentak perkembangan teknologi semasa.

Beliau turut mendedahkan, bagi tempoh Januari hingga April 2026, seramai 7,773 pencari kerja berjaya mendapat tempat melalui inisiatif padanan kerjaya yang diuruskan oleh JTDC.

“Pencapaian memberangsangkan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem bakat dan menawarkan lebih banyak peluang kerjaya berpendapatan premium kepada anak Johor,” tegasnya.

Sementara itu, Datuk Zambry memaklumkan Johor adalah negeri kedua selepas Perak yang menerima kunjungan rasmi kementerian bagi penerangan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Beliau menekankan pembangunan negeri tidak hanya bersandarkan pelaburan dan infrastruktur, sebaliknya diukur melalui keupayaan melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi yakin kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi pendidikan tinggi dan industri perlu dieratkan demi melonjakkan Johor sebagai hab pembangunan bakat dan pendidikan terbaik di peringkat nasional,” katanya.