KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan bantahan keras kepada rakan sejawatnya dari Norway, Encik Jonas Gahr Store, atas tindakan mengejut negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.

Dalam perbualan telefon pada 14 Mei, Datuk Anwar menegaskan bahawa Malaysia telah memenuhi setiap tuntutan kontrak dimeterai sejak 2018, tanpa sebarang kesangsian.

Beliau menegaskan bahawa langkah Norway itu akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS), selain pasti membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik serantau.

“Saya sudah menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway berhubung keputusan sepihak Norway dan tidak dapat diterima untuk membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya, kononnya atas alasan melindungi keselamatan Norway.

“Malaysia sudah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun, Norway nampaknya tidak rasakan perlu untuk membalas dengan penghormatan dan iktikad baik yang sama.

“Kontrak yang dimeterai adalah dokumen yang sah dan mengikat. Ia bukan sekadar cebisan kertas yang boleh diperlakukan sesuka hati.

“Jika pembekal pertahanan Eropah berasakan mereka berhak mungkir daripada perjanjian tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan lenyap sama sekali,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 14 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dijadual bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura pada akhir Mei ini.

Pertemuan itu diadakan untuk menuntut penjelasan berhubung keputusan mengejut Oslo menyekat lesen eksport NSM ke Malaysia, serta menyampaikan kekesalan Kerajaan Malaysia atas pembatalan penghantaran aset, hanya beberapa hari sebelum tarikh Mac yang dijadualkan.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

NSM, peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.