Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar perjelas tekanan kerajaan M’sia tanggung subsidi bahan api RM5b sebulan
Anwar perjelas tekanan kerajaan M’sia tanggung subsidi bahan api RM5b sebulan
Anwar perjelas tekanan kerajaan M’sia tanggung subsidi bahan api RM5b sebulan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Mei, menggesa penjawat awam memainkan peranan dalam menjelaskan tekanan fiskal yang dihadapi kerajaan menyusuli kejutan tenaga sejagat, yang dicetuskan oleh konflik di Timur Tengah.
Datuk Anwar berkata kerajaan kini menanggung beban subsidi bahan api mencecah kira-kira RM5 bilion ($1.61 bilion) sebulan, dengan jumlah itu berpotensi meningkat kepada lebih RM6 bilion sekiranya harga minyak dunia melonjak tinggi.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah subsidi ditanggung kerajaan itu melonjak tinggi berbanding sekitar RM700 juta pada Januari lalu (2026), sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.
“Kalau harga (subsidi ditampung kerajaan) setakat sekarang, RM5 bilion sebulan, bayangkan 10 bulan RM50 bilion daripada dana kerajaan.
“Penjawat awam harus tahu ya. Kadang-kadang ada yang tidak tahu, di bawah, di luar lain, ada yang tanya kenapa kos naik, kenapa harga minyak tak turun? RM1.99 patutnya turun lagi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya, pada 4 Mei.
Datuk Anwar berkata Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api paling rendah di dunia, dengan RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter.
Katanya, peningkatan mendadak subsidi daripada sekitar RM700 juta sebulan pada awal tahun kepada RM5 bilion ketika ini, menunjukkan tekanan sebenar yang dihadapi kerajaan.
“Pada mulanya kita fikir mampu tampung, tetapi untuk tempoh panjang, dana sedia ada tidak mampu menampung berbulan-bulan,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah penyelarasan subsidi, termasuk bagi diesel, bagi mengatasi ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang masih berlaku.
Datuk Anwar turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya menonjolkan kenaikan harga tanpa mengambil kira kewujudan subsidi yang masih ditanggung kerajaan.
“Betul harga naik, betul. Ada masalah, ya. Tapi kena adil dalam melihat keseluruhan keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Anwar berkata isu harga barangan dan kos sara hidup akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Mei ini, bagi meneliti dan mencari kaedah lebih berkesan dalam mengurangkan beban rakyat.
Menurutnya lagi, biarpun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan, masih terdapat sedikit rungutan daripada peniaga kecil hasil maklum balas diterimanya.
“Pada Jumaat (1 Mei) lalu, saya makan di sebuah warung di Rawang (Selangor), saya bertanya kakak yang mengendali kedai, dia kata okay niaga, bagus tapi ada masalah sikit, setiap minggu ada kenaikan sedikit (harga bekalan barangan).
“Jadi kalau tiga minggu sedikit, sedikit, sedikit, terkesan kedai tu. Jadi yang saya dengar daripada kakak ini, kedai kecil tentunya memberi kesan. Jadi, pada 6 Mei ini mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa kes ini,” katanya.
