KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menanggung beban subsidi bahan api yang besar kira-kira RM8.28 juta ($2.67 juta) setiap jam, bersamaan RM2,300 sesaat, untuk melindungi rakyat daripada kesan krisis bekalan sejagat yang dicetuskan konflik geopolitik di Timur Tengah.

Itulah realiti semasa yang ditanggung kerajaan susulan krisis bekalan sejagat yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi paras AS$110 setong pada Mac lalu, satu keadaan yang tidak dapat dielakkan dan berada di luar kawalan kerajaan.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Encik Nurhisham Hussein, berkata pada Mac lalu, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan adalah RM6 bilion dan jumlah itu meningkat kepada RM7 bilion pada April.

Beliau mengakui jumlah tanggungan subsidi yang besar itu tidak mampan dan sudah pasti tidak dapat bertahan untuk tempoh yang lama.

“Saya kira tanggungan subsidi setiap saat ialah RM2,300.

“Setiap saat kita membelanjakan RM2,300 untuk subsidi bahan api,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beban subsidi yang sedang ditanggung kerajaan dalam usaha mengekang kenaikan kos hidup dan inflasi berikutan kekurangan bekalan dan harga minyak dunia yang tinggi.

Mengulas keadaan semasa, Encik Nurhisham, berkata cabaran yang dihadapi kini adalah krisis bekalan sejagat, berbeza dengan krisis ketika pandemik Covid-19 yang dicetuskan kelemahan permintaan.

Menurutnya, krisis bekalan sejagat menjadi kebimbangan utama memandangkan pengeluaran minyak dari Timur Tengah akan mengambil masa untuk pulih, meskipun laluan perdagangan penting Selat Hormuz dibuka semula seperti sediakala.

Beliau berkata pembukaan laluan perkapalan tidak bermakna bekalan minyak akan pulih serta-merta, memandangkan banyak telaga minyak ditutup.

“Proses mengaktifkan semula telaga ini dijangka mengambil masa antara tiga dengan enam bulan atau lebih lama, bergantung pada tahap kerosakan dan keselamatan kawasan.

“Ketika pandemik Covid-19, pemulihan bekalan mengambil masa sehingga 18 bulan. Justeru, bekalan minyak dunia dijangka kekal terhad dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Mengenai kesan inflasi, Encik Nurhisham mengakui memang akan berlaku inflasi berikutan faktor luaran di luar kawalan kerajaan.

Beliau berkata kesan inflasi dalam negara dapat diredakan dengan mengawal kos pengangkutan bagi mengimbangi kesan kepada harga barang asas.

Buat masa ini, tambahnya, bekalan bahan api dalam negara masih mencukupi sehingga Jun ini seperti yang dijamin syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas.