KUALA LUMPUR: AirAsia tampil memohon maaf secara terbuka dan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih terangkum untuk menyokong penumpang berkeperluan khas, menyusuli kejadian sebuah keluarga tidak dibenarkan menaiki pesawat pada cuti Aidiladha baru-baru ini.

Langkah berkenaan diambil selepas syarikat penerbangan itu selesai menjalankan semakan menyeluruh berhubung kesukaran yang dihadapi keluarga terbabit bagi penerbangan AK 1776 dari Singapura ke Kuching, pada 26 Mei lalu.

Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X (Kumpulan AirAsia), Kapten Saravanan Subramaniam, berkata pihak pengurusan memohon maaf kepada keluarga berkenaan atas segala kesulitan yang berlaku.

“Walaupun keputusan dibuat selaras dengan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang berkuat kuasa pada masa itu, ia tidak pernah menjadi niat kami untuk menghalang mana-mana tetamu daripada melakukan perjalanan.

“Insiden ini membuka peluang untuk kami meningkatkan proses bagi menyokong tetamu (penumpang) yang mempunyai keperluan khusus dengan lebih baik,” katanya, yang turut memaklumkan SOP dipertingkatkan itu kini telah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk kelulusan, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, penumpang terbabit, Syarifah Ella Wan Wahab melahirkan rasa syukur dan menyifatkan komitmen perubahan daripada AirAsia sebagai satu kemenangan besar buat agenda keterangkuman yang melangkaui kepentingan keluarganya.

Melalui hantaran di Threads, beliau mengesahkan telah menerima permohonan maaf rasmi, bayaran balik penuh, serta tawaran penerbangan percuma sebagai tanda ihsan.

“Saya amat menghargai kesediaan yang ditunjukkan untuk mendengar dan mengambil langkah membina. Aksesibiliti dan keterangkuman bukanlah keistimewaan khas, ia adalah hak asasi,” katanya.

Syarifah Ella berkata pengakuan dan perubahan paling bermakna adalah pengesahan bahawa Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD) yang diluluskan kini diterima untuk individu berumur enam bulan ke atas, termasuk penumpang keperluan khas, tertakluk kepada arahan pengilang.

Sebelum ini, dasar sedia ada hanya terpakai kepada kanak-kanak berusia enam bulan hingga tiga tahun dengan berat maksimum 18 kilogram.

Perubahan ini memberi pengiktirafan bahawa individu kurang upaya memerlukan sistem sokongan tanpa terikat kepada had umur atau berat badan semata-mata.

Kejadian itu mula mendapat tumpuan awam selepas luahan Syarifah Ella yang kesal apabila diarahkan keluar dari pesawat bersama anak perempuannya, Zara, yang menghidap palsi serebrum, tular di media sosial.

Tindakan tersebut diambil kakitangan bertugas berikutan isu teknikal membabitkan kebenaran penggunaan kerusi khas yang dibawa untuk menyokong keadaan fizikal anaknya sepanjang penerbangan.