Topic followed successfully
Go to BHkuKesan konflik Timur Tengah: AirAsia X naik tambang sehingga 40%
Kesan konflik Timur Tengah: AirAsia X naik tambang sehingga 40%
Turut kenakan bayaran tambahan bahan api 20 peratus
Kesan konflik Timur Tengah: AirAsia X naik tambang sehingga 40%
SEPANG (Selangor): Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X, akan menaikkan kadar tambang sehingga 40 peratus serta mengenakan bayaran tambahan bahan api sebanyak 20 peratus, menyusuli ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Komersial AirAsia X, Cik Amanda Woo, berkata kenaikan tambang itu tidak dapat dielakkan, namun menegaskan bahawa langkah mengekalkan harga mampu milik kekal menjadi keutamaan dalam tempoh ini.
Beliau berkata langkah itu terpaksa diambil walaupun pada masa yang sama, syarikat itu mengurangkan kos dan memotong sejumlah kecil penerbangan bagi kekal berdaya saing, dalam tempoh konflik Timur Tengah yang memberi kesan kepada kos bahan api.
“Kami sangat berhati-hati apabila menaikkan tambang.
“Sebagai syarikat penerbangan dengan kapasiti terbesar dalam pasaran Asean, khususnya domestik, kami dapat mengagihkan perkara ini dengan teliti, merentasi laluan yang kami percaya mampu menyerap bayaran tambahan bahan api yang tinggi ketika ini,” katanya pada sesi taklimat media di ibu pejabat RedQ AirAsia di Sepang, Selangor, pada 6 April, lapor Malay Mail.
Cik Woo berkata antara langkah sampingan mengurangkan kesan kenaikan tambang asas ialah dengan menurunkan bayaran bagasi prabayar.
Beliau turut berkata permintaan domestik dan antarabangsa kekal kukuh, sambil menegaskan komitmen syarikat untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami sudah melihat pertumbuhan dua angka sehingga 3 April lalu, berbanding empat minggu sebelumnya. Terdapat usaha pemasaran bersepadu untuk menarik pelancong dan penumpang ke Malaysia dan setakat ini ia tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Encik Bo Lingam, berkata syarikat itu telah mengurangkan kira-kira 10 peratus penerbangan berikutan konflik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, laluan yang terjejas adalah laluan penerokaan yang tidak menguntungkan dan pengurangan tersebut adalah bersifat sementara.
Mengenai langkah penjimatan kos, Encik Bo berkata syarikat sedang mengoptimumkan penggunaan pesawat tanpa melibatkan pengurangan kakitangan.
“Pesawat yang kapasiti operasinya dikurangkan akan dimasukkan untuk pemeriksaan penyelenggaraan.
“Jika pemeriksaan dijadualkan pada September, kita percepatkan sekarang. Jadi jika perang berakhir dalam tempoh sebulan atau ketika musim sibuk, kita tidak perlu menghantar pesawat untuk pemeriksaan,” katanya.
Encik Bo turut mengesahkan bahawa pada masa ini, tiada keperluan untuk syarikat tersebut mengumpul dana tambahan bagi mengurus aliran tunainya.
Terdahulu, pengasas bersama dan penasihat AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, memberi jaminan bahawa kumpulan penerbangan itu akan terus bertahan dalam krisis semasa, sebagaimana ia pernah mengharungi cabaran serupa sebelum ini.
“Kami sudah melalui banyak perkara; ini bukan sesuatu yang baharu bagi kami. Ketika krisis Ukraine berlaku beberapa tahun lalu, harga minyak meningkat hingga AS$120 ($154) setong. Ditambah dengan pandemik Covid-19 pada masa sama dan kami berjaya mengharunginya,” katanya.

