Topik diikuti
Pergi ke BHkuAirAsia X lancar laluan terus KL - Istanbul, pilihan lebih jimat bagi warga S’pura
AirAsia X lancar laluan terus KL - Istanbul, pilihan lebih jimat bagi warga S’pura
Pelancong ditawar konsep Fly –Thru: Boleh buat satu tempahan seluruh perjalanan dari S’pura ke Istanbul melalui KL
AirAsia X lancar laluan terus KL - Istanbul, pilihan lebih jimat bagi warga S’pura
Warga Singapura yang ingin ke Istanbul, Turkey, kini disajikan pilihan baharu yang lebih jimat. AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, melancarkan perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur.
Penerbangan Kuala Lumpur–Istanbul ini bermula pada 14 November 2025, menandakan kembalinya AirAsia X ke pasaran Eropah.
Laluan sejauh 8,300 kilometer ini dikendalikan empat kali seminggu menggunakan Airbus A330-300. Ia menjadi salah satu pilihan tanpa henti yang menghubungkan kedua-dua ibu kota ini.
Penerbangan mengambil masa sekitar 11 hingga 12 jam dan mendarat di Sabiha Gökçen International Airport, lapangan terbang utama di bahagian Asia Istanbul.
Laluan ini menawarkan alternatif lebih pantas berbanding penerbangan transit yang biasanya memakan masa lebih panjang melalui hab lain.
Bagi pelancong dari Singapura, AirAsia X menawarkan kemudahan tambahan melalui konsep Fly-Thru. Konsep ini membolehkan penumpang membuat satu tempahan bagi seluruh perjalanan, dari Singapura ke Istanbul melalui Kuala Lumpur.
Menerusi sistem ini, penumpang tidak perlu melalui proses imigresen atau mengambil bagasi semasa transit. Bagasi akan terus ke destinasi akhir, dan penumpang hanya perlu bergerak ke pintu pelepasan seterusnya, menjamin perjalanan yang lebih lancar.
Menariknya, laluan ini turut memberi fleksibiliti kepada warga Singapura untuk singgah seketika di Kuala Lumpur.
Mereka boleh merancang percutian singkat selama satu hingga tiga hari di ibu kota Malaysia sebelum meneruskan penerbangan ke Turkey.
Dari segi kos, laluan ini dianggap sebagai pilihan yang lebih dimampui berbanding syarikat penerbangan tradisional, membuka peluang kepada lebih ramai pelancong untuk menjejakkan kaki ke Istanbul – sebuah bandar unik yang menjadi jambatan antara benua Eropah dengan Asia.
Selain kemudahan penerbangan, AirAsia X juga menawarkan pelbagai pilihan tempat duduk mengikut keperluan dan bajet.
Bagi kelas ekonomi, tersedia pilihan tempat duduk standard serta “Hot Seat” yang menawarkan ruang kaki lebih luas.
Penumpang juga boleh memilih Quiet Zone, iaitu kawasan khas bagi perjalanan yang lebih tenang tanpa gangguan.
Untuk penerbangan jarak jauh melebihi 11 jam ini, syarikat penerbangan itu turut menyediakan Premium Flatbed – tempat duduk luas di bahagian hadapan pesawat yang boleh direndahkan hampir sepenuhnya menjadi katil. Ia lengkap dengan bantal dan selimut demi keselesaan maksimum sepanjang perjalanan.
Untuk hidangan, penumpang disajikan dengan pilihan makanan dalam penerbangan daripada menu Santan – jenama makanan AirAsia – yang menawarkan kepelbagaian sajian Asia Tenggara, antarabangsa, dan vegetarian.
Tempahan hidangan digalakkan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum berlepas, bagi memastikan pilihan kegemaran anda tersedia sepanjang penerbangan.
Pelancaran laluan ini bukan sahaja memperluas jaringan global AirAsia X, malah membuka gerbang baharu yang lebih mudah dan berpatutan kepada pelancong Singapura untuk menyingkap pesona Istanbul, sama ada melalui transit pantas atau pengalaman singgah di Kuala Lumpur.
