Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno, BN fokus bantu rakyat tangani kos sara hidup
Umno, BN fokus bantu rakyat tangani kos sara hidup
Usaha pulih ekon, bantu rakyat perlu kerjasama semua pihak, termasuk wakil rakyat dan parti politik
Umno, BN fokus bantu rakyat tangani kos sara hidup
Umno dan Barisan Nasional (BN) terus komited membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup, kata Setiausaha Umno Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Beliau menjelaskan, langkah kerajaan kini bukan sekadar janji kosong, sebaliknya fokus kepada penyelesaian praktikal bagi meringankan beban yang turut dirasai global.
“Memang kos sara hidup meningkat, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Namun, Umno dan BN bertindak meringankan beban rakyat melalui bantuan yang disalurkan berterusan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Kenyataan ini mengulas desakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain, agar Umno dan BN dihukum dalam pilihan raya negeri akibat didakwa gagal mentadbir.
Datuk Abdul Halim berpendapat, pemimpin masyarakat yang bertanggungjawab sepatutnya tampil dengan cadangan penyelesaian dan berusaha menarik pelaburan bagi menguatkan ekonomi negeri, bukannya sekadar mengkritik tanpa jalan keluar.
Tegasnya, usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat menuntut kerjasama semua pihak, termasuk wakil rakyat dan parti politik.
“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk membantu menarik pelabur dan bekerjasama dengan kerajaan pusat serta negeri. Ini lebih penting daripada hanya membuat kenyataan tanpa penyelesaian,” ulasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan Umno kini menumpukan usaha mengukuhkan sokongan Melayu dan menarik penglibatan generasi muda demi memastikan parti terus relevan.
Pendekatan ini, jelas beliau, termasuk melalui inisiatif Rumah Bangsa sebagai platform menyatukan semula sokongan masyarakat.
“Yang utama sekarang ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan, meyakinkan generasi muda serta masyarakat Melayu agar bersama-sama membangunkan negeri dan negara,” katanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan sama ada Rumah Bangsa akan menonjolkan muka lama dalam pilihan raya, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Encik Baharudin Mohamed Taib berkata, peluang bertanding terbuka kepada semua, termasuk golongan muda.
Beliau berkata pemilihan calon dibuat berdasarkan kelayakan dan potensi kemenangan, bukan semata-mata usia atau latar belakang.
“Dalam Umno, sesiapa sahaja boleh bertanding. Yang penting calon itu berkualiti, berkhidmat dengan baik dan mempunyai peluang untuk menang,” katanya.
Soal sama ada parti akan bertanding bersendirian atau bersama gabungan lain juga, menurut beliau, bergantung kepada kekuatan semasa dan strategi bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya.
