Cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik elektrik percuma ke Desaru diyakini berupaya menjadi pemangkin baharu sektor pelancongan Kota Tinggi.

Ia mampu menarik lebih ramai pelawat, baik dari dalam mahupun luar negara, terutamanya dari Singapura.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Cik Fauziah Misri, berkata inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos perjalanan pelancong, tetapi turut menyokong promosi pelancongan mesra alam di kawasan tersebut sempena Tahun Melawat Johor 2026.

“Bas ulang-alik elektrik percuma ini akan menjadi tarikan utama, khususnya buat pelancong yang ingin berjimat dan memilih untuk tidak memandu sendiri ke Desaru,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau menambah, langkah ini selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh akses pengangkutan awam ke destinasi pelancongan utama, di samping mengurangkan kesesakan pada musim cuti.

Desaru, yang terkenal dengan pantai yang memukau, taman tema air dan pusat peranginan mewah, mempunyai potensi besar untuk terus menjadi tumpuan pelancongan utama di selatan Semenanjung jika kemudahan pengangkutan dipertingkat.

Justeru, Cik Fauziah berpendapat, gabungan pakej pelancongan menyeluruh dengan perkhidmatan bas ulang-alik elektrik ini akan menawarkan nilai tambah yang tinggi kepada pelancong.

“Pelancong hari ini mendambakan perjalanan yang mudah dan tersusun. Dengan pakej lengkap merangkumi pengangkutan, penginapan dan aktiviti, mereka tidak perlu bersusah payah merencana perjalanan sendiri,” ujarnya.

Antara pakej yang dicadangkan termasuk pakej santai pantai, yang menawarkan lawatan pesisir Desaru, aktiviti riadah dan penginapan di pusat peranginan, ideal untuk percutian keluarga.

Selain itu, pakej kembara air pula menumpukan kepada aktiviti di taman tema air Desaru serta pengalaman rekreasi yang sesuai untuk kanak-kanak dan remaja.

Bagi pencinta sejarah dan budaya, pakej jejak warisan Kota Tinggi akan membawa pengunjung menjelajah lokasi bersejarah termasuk muzium dan kawasan lama yang mengisahkan perkembangan awal Johor.

Tidak ketinggalan, pakej agro dan desa turut ditawarkan, menjanjikan pengalaman mengunjungi perkampungan nelayan di Sedili dan Teluk Sengat, menikmati hidangan laut segar, serta menyelami kehidupan masyarakat setempat.

Cik Fauziah berkata, pendekatan komprehensif ini berupaya memanjangkan tempoh penginapan pelancong, sekali gus meningkatkan perbelanjaan mereka di kawasan tersebut.

“Apabila pelancong menginap lebih lama, lebih banyak sektor akan meraih manfaat, termasuk pengusaha inap desa, peniaga makanan dan pengusaha aktiviti pelancongan,” katanya.