Topik diikuti
Pergi ke BHku90 syarikat Jerman pilih Johor sebagai destinasi pelaburan strategik
90 syarikat Jerman pilih Johor sebagai destinasi pelaburan strategik
90 syarikat Jerman pilih Johor sebagai destinasi pelaburan strategik
ISKANDAR PUTERI: Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan antarabangsa apabila sebanyak 90 syarikat Jerman kini beroperasi di negeri itu.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur asing terhadap potensi ekonomi Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata keyakinan itu turut terserlah menerusi kunjungan bersama Duta Besar Jerman ke Malaysia, Cik Silke Riecken-Daer, dan Duta Besar Jerman ke Singapura, Cik Bettina Fanghaenel, ke Johor pada 13 Mei.
Menurut beliau, situasi kedua-dua duta besar dari negara sama hadir bersama dalam satu pertemuan rasmi merupakan sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap perkembangan Johor, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Ini mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap potensi Johor, khususnya melalui JS-SEZ.
“Kehadiran delegasi ini membuktikan Johor terus dilihat sebagai destinasi pelaburan strategik dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Mei.
Encik Lee berkata delegasi berkenaan turut disertai wakil daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC), Dewan Perindustrian dan Perdagangan Singapura-Jerman (SGC), Germany Trade & Invest (GTAI) serta 55 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia, Singapura dan Jerman sendiri.
Menurut beliau, kehadiran syarikat antarabangsa itu membuka peluang kerjasama lebih besar dalam sektor bernilai tinggi termasuk pembuatan maju, logistik, teknologi dan industri masa hadapan.
Jelasnya, Johor kini semakin mendapat perhatian pelabur global susulan pembangunan pesat sektor ekonomi bernilai tinggi serta kedudukannya yang strategik berdekatan Singapura.
“Johor akan terus komited dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang mesra perniagaan, berdaya saing dan mampan demi pertumbuhan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Encik Lee berkata kerajaan negeri berharap hubungan strategik antara Johor dengan Jerman dapat terus diperkukuh pada masa hadapan menerusi lebih banyak kerjasama pelaburan dan perdagangan.
Menurutnya lagi, perkembangan itu juga dilihat selari dengan aspirasi Johor untuk muncul sebagai hab ekonomi serantau menerusi pembangunan JS-SEZ dan pertumbuhan industri teknologi tinggi di negeri itu.
