Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor pacu ekon teknologi tinggi melalui agenda Maju Johor 2030
Johor pacu ekon teknologi tinggi melalui agenda Maju Johor 2030
Beri manfaat kepada pelaburan, pembangunan untuk seluruh rakyat Johor
Johor pacu ekon teknologi tinggi melalui agenda Maju Johor 2030
JOHOR BAHRU: Johor kini bergerak ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan nilai tambah tinggi menerusi pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 serta Program Transformasi Ekonomi Johor (JETP), kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han.
Beliau berkata pembangunan negeri ketika ini bukan lagi tertumpu kepada model ekonomi lama berasaskan kos rendah, sebaliknya dipacu sektor berteknologi tinggi seperti pusat data, ekonomi digital, pembuatan maju dan industri bernilai tinggi.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan yang semakin meningkat turut membawa pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME).
“Pembangunan yang berlaku hari ini bukan sekadar mengenai angka pelaburan semata-mata, tetapi bagaimana setiap pelaburan itu diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
“Ia termasuk pembangunan jalan raya, sistem pengangkutan, utiliti, Internet, kemudahan awam dan peluang pekerjaan baru,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Mei.
Encik Lee berkata demikian ketika menghadiri forum ‘Johor’s Future: Visions and Opportunities’ (Masa Depan Johor: Visi dan Peluang) anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua Johor Bahru (JBCCCI).
Forum itu menghimpunkan hampir 400 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk komuniti perniagaan, usahawan, golongan profesional dan persatuan masyarakat Cina.
Menurut Encik Lee, pembangunan Johor kini bergerak secara lebih tersusun di bawah rangka Maju Johor 2030 yang berpandukan enam teras utama meliputi tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas dan infrastruktur, kelestarian alam sekitar serta pembangunan belia.
Beliau berkata pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau.
Namun, katanya kerajaan negeri mahu memastikan manfaat pembangunan itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar dan pusat ekonomi utama sahaja.
“Setiap daerah di Johor perlu turut menikmati manfaat pembangunan berdasarkan kekuatan masing-masing termasuk sektor pelancongan, pertanian moden, logistik, pendidikan dan perusahaan tempatan.
“Sebab itu agenda Maju Johor 2030 bukan hanya mengenai pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
