Pencuci Mulut & Pastri
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencuci mulut 24 jam di mesin layan diri Wondertales Patisserie

Tiga mesin di Geylang, Tampines dan Pasir Ris dengan 7 lagi bakal diletakkan di kawasan timur, barat laut
Nov 14, 2025 | 12:26 PM
Wondertales Patisserie, Encik Hanif Sunarya, Cik Deana Amran
Pemilik Wondertales Patisserie, Encik Hanif Sunarya bersama isterinya, Cik Deana Amran, di mesin layan diri yang terletak berdekatan pasar Geylang Serai di kedai kopi Al Wadi, di 970 Geylang Road. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dengan hanya sentuhan di skrin, pelanggan boleh mendapatkan secawan kek keju strawberi yang sejuk keluar dari mesin layan diri atau vending machine, Wondertales Patisserie.

Pelanggan tidak perlu menunggu atau beratur panjang di kedai untuk menikmati pencuci mulut itu.

Kek keju strawberi yang disajikan dalam cawan merupakan perisa terkini yang dikeluarkan oleh Wondertales Patisserie pada harga $5.80.
Kek keju strawberi yang disajikan dalam cawan merupakan perisa terkini yang dikeluarkan oleh Wondertales Patisserie pada harga $5.80. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Inilah pengalaman yang ditawarkan oleh jenama tempatan yang kini membawa pencuci mulut buatan tangan terus ke kawasan kejiranan, 24 jam sehari.

Pasangan suami isteri Cik Deana Amran, 28 tahun, dan Encik Hanif Sunarya, 33 tahun, menubuhkan Wondertales Patisserie pada 2017 sebagai kedai kecil di Telok Kurau yang menjual roti, pastri dan kek moden gaya Perancis seperti entremet dan mousse cake.

Namun selepas beberapa tahun, mereka menyedari pelanggan lebih gemar pencuci mulut klasik yang ringkas.

“Sekarang kami dah berubah sepenuhnya, kami lebih fokus pada sesuatu yang homemade dan klasik seperti chewy cookies, brownies, cheesecake, carrot cake dan sebagainya,” jelas Cik Deana.

“Bila kami buat kek dengan rasa baru dan agak asing, pelanggan tidak berani cuba.

“Bukan sahaja mereka tidak terbiasa dengan rasa terbaru, tetapi ada tanggapan bahawa ia dijual pada harga yang lebih mahal. Justeru, dengan pencuci mulut klasik, semua orang boleh menikmatinya,” tambah beliau.

Antara pilihan popular mereka ialah, Soft Chewy Cookies dan Brownies pada harga $3.80; Mini Tarts (tiga perisa), $4.80; serta kek bersaiz besar seperti Tiramisu dan Red Velvet pada harga $10.

Encik Hanif menambah bahawa Soft Chewy Cookies merupakan produk paling laris dijual.

Encik Hanif membakar biskut, Chewy Chocolate Chips, yang nanti disejukkan sebelum ia dibungkus untuk diletakkan dalam mesin layan diri. Pencuci mulut diisi dalam mesin layan diri semula setiap dua hari.
Encik Hanif membakar biskut, Chewy Chocolate Chips, yang nanti disejukkan sebelum ia dibungkus untuk diletakkan dalam mesin layan diri. Pencuci mulut diisi dalam mesin layan diri semula setiap dua hari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Selepas pandemik dan pembukaan semula sempadan, bisnes tidak begitu bagus dan (kami) berdepan dengan cabaran yang biasa dihadapi dalam industri makanan dan minuman (F&B), dengan kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos operasi,” jelas Encik Hanif.

Daripada situlah muncul idea untuk beralih daripada kedai runcit kepada dapur pusat pada 2023, dan seterusnya memperkenalkan mesin layan diri.

“Idea mesin ini sebenarnya datang daripada ayah saya tiga tahun lepas,” kata Cik Deana.

“Baru tahun lepas kami mula laksanakan idea itu. Dengan mesin ini, kami tidak perlukan banyak tenaga kerja dan masih boleh beroperasi 24 jam,” tambah Encik Hanif.

Mesin layan diri Wondertales Patisserie menawarkan kek kecil sesuai untuk tiga hingga lima orang khas buat sambutan kecil.

“Kalau pelanggan ingin kek ‘last minute’ (saat-saat akhir) untuk sambutan hari lahir pun, kami sediakan. Semuanya ditutup rapat supaya tahan segar,” kata Encik Hanif.

Setakat ini, Wondertales Patisserie mempunyai tiga mesin aktif di Geylang, Tampines dan Pasir Ris dengan tujuh lagi bakal dilancarkan di kawasan timur dan barat laut menjelang hujung 2025.

“Kami ingin dekatkan produk kami dengan lebih ramai pelanggan, justeru kami memilih untuk meletakkan mesin di estet kejiranan, dekat pasar, atau tempat orang lalu setiap hari.

“Kalau mesin diletakkan di kawasan pusat bandar (CBD), hujung minggu lebih sunyi. Jadi lebih baik meletakkan di kawasan perumahan,” jelas Cik Deana.

Bagi Encik Hanif, setiap pencuci mulut yang dijual bukan sekadar manisan, tetapi hasil pemikiran teliti dari segi rasa dan kandungan gula.

“Saya jaga jumlah gula dalam setiap resipi. Kami tak nak pencuci mulut kami jadi terlalu manis. Sebab tanggungjawab kami sebagai cef ialah bagi makanan yang mereka boleh makan tanpa menjejas mereka,” katanya.

Justeru, Encik Hanif jarang mengikuti pencuci mulut tular seperti, chocolate pistachio kunafa atau banana pudding, kerana kandungan gula yang tinggi dalam pencuci mulut tersebut.

Selain chewy chocolate chips, donut yis klasik mendapat sambutan hangat yang mengingatkan pelanggan kepada rasa nostalgia.

“Ramai cakap bila makan donut kami, mereka teringat zaman beli di kedai roti lama (old school), tidak terlalu manis, tapi lembut dan ringan,” ujar Encik Hanif.

Kini dengan model operasi baru berasaskan mesin layan diri dan dapur pengeluaran pusat, Wondertales Patisserie, bukan sekadar mengekalkan legasi rasa klasik, bahkan juga membawanya ke generasi baru, melalui mesin layan diri yang beroperasi 24 jam sehari.

Kek Red Velvet dijual pada harga $10 sesuai untuk dinikmati sempena sambutan istimewa dengan saiz yang tidak begitu besar.
Kek Red Velvet dijual pada harga $10 sesuai untuk dinikmati sempena sambutan istimewa dengan saiz yang tidak begitu besar. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Jualan meningkat setiap bulan. Mesin ini bukan sahaja bantu operasi kami, tapi juga jadikan pencuci mulut klasik boleh dinikmati semua orang, pada bila-bila masa,” kata Cik Deana.

Alamat:

• Blok 445, Pasir Ris Drive 6, Singapura 510445 (Di luar Dobi Laundromat)

• 970 Geylang Road, Singapura 423492

• Blok 829, Tampines Street 81, Singapura 520829 (Di luar Grace Healthcare Shop)

Wondertales Patisserie
Alamat: 970 Geylang Road, Singapura 423492
Waktu Operasi:
  • Dibuka 24 jam setiap hari

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg