SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cef Bob perkenal rasa ayam percik hasil kerjasama dengan Texas Chicken

Cef Bob perkenal rasa ayam percik hasil kerjasama dengan Texas Chicken

Apr 16, 2026 | 9:58 AM

Cef Bob perkenal rasa ayam percik hasil kerjasama dengan Texas Chicken

Makanan tradisional Melayu semakin mendapat perhatian bukan sahaja di restoran, malah melalui restoran makanan segera.

Kerjasama terkini antara Texas Chicken Singapore dengan cef selebriti, Cef Bob, baru-baru ini memperkenalkan ayam goreng berperisa ayam percik.

“Saya mahu pelanggan menikmati rasa yang mengagumkan dan berbeza.

“Saya ingin membawa masakan Melayu ke skala komersial, supaya lebih ramai orang dapat menghargai keunikan rasa hidangan Melayu,” kata Cef Bob, yang terkenal sebagai penyokong setia makanan tradisional.

Ayam percik terkenal di bazar Ramadan dan pasar malam dengan kuah berasaskan santan, rempah beraroma dengan gabungan rasa lemak, manis, masin, pedas dan sedikit masam.

Dalam versi ayam goreng itu, Cef Bob berkata, rasa tersebut tetap terpelihara, tetapi dengan tekstur rangup yang menjadi ciri makanan segera.

“Menghasilkan ayam goreng memerlukan proses double dredge, atau salut dua kali, untuk mendapatkan tekstur rangup, sambil mengekalkan isi ayam yang berjus.

“Rasa salai diperoleh daripada kelapa parut yang dipanggang sehingga baunya naik, digabungkan dengan kunyit, serai, sedikit biji adas dan pedas dari cili.

“Ia satu pengalaman rasa yang lengkap dan nostalgia,” jelas Cef Bob.

Kerjasama itu juga menekankan mutu dan ketekalan.

Texas Chicken terkenal dengan ayam segar yang digoreng mengikut mutu mereka dan Cef Bob menekankan bahawa proses penyediaan ayam percik mengambil masa empat bulan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sos atau glaze ayam percik sensitif kerana menggunakan santan. Kadang-kadang ketekalan tidak tepat atau rasa tidak seimbang, jadi SOP (prosedur operasi standard) yang betul amat penting,” tambahnya.

Pengurus Besar Texas Chicken Singapore, Encik Douglas Tan, berkata:

“Kerjasama ini dibina atas nilai bersama kemahiran, penghormatan terhadap bahan dan inovasi berasaskan budaya.

“Cef Bob membawa kepakaran kulinari dan kedalaman budaya.”

Melalui inisiatif itu, ayam percik versi Cef Bob bukan sahaja menghidangkan rasa yang kompleks, malah membawa mesej masakan Melayu wajar dihargai setaraf dengan masakan antarabangsa lain.

Hidangan seperti itu membuka peluang bagi generasi muda dan kaum lain untuk kembali mengenali cita rasa tempatan.

Kerjasama itu tersedia di semua cawangan Texas Chicken Singapore hingga 13 Mei.

“Saya mahu hidangan Melayu dihargai dan dikenali.

“Dengan wadah besar seperti Texas Chicken, saya dapat membawa rasa Nusantara ke tahap yang lebih luas dan komersial tanpa mengorbankan rasa aslinya,” ungkap Cef Bob.

“Saya mahu hidangan Melayu dihargai dan dikenali. Dengan wadah besar seperti Texas Chicken, saya dapat membawa rasa Nusantara ke tahap yang lebih luas dan komersial tanpa mengorbankan rasa aslinya.”
Cef Bob.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg