Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanamera Coffee lancar kopi draf yang dingin dari tong khas

Sep 5, 2025 | 5:40 PM
Tanamera Draft Coffee, tanamera
‘Tanamera Draft Coffee’ daripada Tanamera Coffee memperkenalkan kopi sejuk ‘non-nitro’ yang dituang terus dari tong khas, menggunakan campuran gas selain nitrogen untuk mengekalkan rasa kopi asli serta tekstur berkrim, tanpa ais yang mudah cair. (Dari kiri) ‘Draft White’, ‘Draft Black’ dan ‘Draft White Caramel’ merupakan minuman kopi terkini jenama itu. - Foto TANAMERA COFFEE

Minuman pertama Draft Coffee baru daripada Tanamera Coffee sudah cukup untuk membezakannya daripada kopi ais biasa.

Draft Black mempunyai rasa yang kuat perisanya dengan tekstur berkrim dan meninggalkan rasa yang segar.

Draft White pula menambah tekstur halus, mengimbangi kopi dan susu dalam satu cawan.

Bagi penggemar kopi manis, Draft White Caramel, memberi sentuhan karamel berlemak namun tidak terlalu manis.

Ketiga-tiga pilihan itu merupakan pelancaran baru Tanamera Draft Coffee Series di cawangan WeWork Collyer Quay.

Ia menandakan kemunculan kopi draf non-nitro pertama di Singapura, iaitu cara baru menikmati kopi sejuk yang disajikan tanpa ais yang mencairkan rasa.

Tanamera Coffee, ditubuhkan di Jakarta pada 2013, membina reputasi dengan mengetengahkan biji kopi istimewa dari Indonesia.

Jenama itu memenangi pelbagai anugerah kopi antarabangsa dan berkembang ke peringkat serantau, dengan Singapura sebagai salah satu pasaran utamanya.

Tidak seperti kopi ais atau bru sejuk (cold brew), kopi draf Tanamera disimpan dalam tong (keg conditioned) dengan tekanan gas, menghasilkan buih di atas serta rasa manis semula jadi.

Dihidangkan secara langsung dari paip tong itu, setiap tuangan memastikan rasa dan tekstur yang tekal.

“Siri Draft Coffee dihasilkan untuk menonjolkan keunikan biji kopi istimewa dari Indonesia.

“Melalui profil panggang sederhana dan proses penyediaan bru sejuk, rasa manis semula jadi serta keasidan lembut kopi terserlah, diperkukuh dengan rasa kaya yang seimbang tanpa rasa pahit yang biasanya terdapat pada panggangan lebih gelap,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tanamera Coffee Singapura, Encik Ronald Liong.

Pengurus Besar Tanamera, Encik Romeo Alfen, pula berkata:

“Cuaca panas dan budaya kopi Singapura memberi kami inspirasi.

“Dengan semakin ramai yang menggemari bru sejuk, kami mahu menawarkan sesuatu yang lebih menyegarkan, kopi sejuk tidak cair yang halus, cepat dihidang dan konsisten setiap kali.

Draft coffee adalah cara kami membayangkan semula kopi sejuk, lebih memuaskan daripada kopi ais atau bru sejuk, direka untuk gaya hidup pantas di Singapura.”

Di sebalik minuman itu, ia melibatkan proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) selama berbulan.

Pasukan Tanamera di Indonesia dan Singapura bekerjasama untuk memperhalusi resipi dan gaya penyajian.

Cabaran terbesar adalah memastikan ketekalan apabila menggunakan tong.

“Kami perlu menyesuaikan campuran gas, tekanan dan suhu saluran untuk mencapai lapisan krim yang sama dan hasil yang bersih setiap kali,” jelas Encik Romeo.

Malah, bentuk gelas turut memainkan peranan.

“Kami menguji pelbagai bentuk gelas semasa proses R&D,” kata Encik Romeo.

Keputusan menggunakan sistem tong non-nitro berbanding kopi nitro yang lebih lazim juga dipilih secara khusus.

Dengan cara ini, Tanamera dapat menonjolkan rasa biji kopi Indonesia sambil mengekalkan tekstur berkrim.

Ia juga membolehkan minuman disajikan lebih pantas dan pada harga yang lebih mampu milik.

Tiga pilihan pelancaran itu dipilih untuk memenuhi cita rasa berbeza.

Draft Black menyerlahkan kopi dalam bentuk paling asli; Draft White memberi rasa seimbang dan lembut buat penggemar susu; manakala Draft White Caramel menambah kelazatan bagi pencinta kopi manis.

Dilancarkan di WeWork Collyer Quay, siri itu ditujukan khas untuk golongan karyawan di Kawasan Pusat Bandar (CBD).

Satu hidangan kopi hanya mengambil beberapa saat, menjadikannya pilihan mudah untuk mereka yang sibuk.

Draft Coffee direka untuk disiapkan dengan pantas tanpa menjejas mutu.

“Bagi mereka yang bekerja, ia membolehkan mereka menikmati kopi yang halus dan tidak cair dalam beberapa saat, walaupun pada hari paling sibuk,” ujar Encik Romeo.

Alamat: 21 Collyer Quay, Singapura 049320

Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5.30 petang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg