Baru-baru ini, anak sulung saya yang berumur tujuh tahun mengeluarkan permainan papan snakes and ladders (ular dan tangga) yang telah lama berada dalam simpanan.

Anak saya, yang sudah mula menunjukkan minat terhadap permainan kad dan papan, bertanya cara bermain permainan yang telah wujud sejak sekitar abad kedua itu.

Saya pun mengajarnya. Permainannya mudah – baling dadu, gerakkan token, naik jika bertemu tapak tangga, turun jika terjumpa kepala ular, dan pemain pertama yang sampai ke kotak terakhir menang.

Setelah bermain beberapa pusingan, saya mula berasa bosan kerana bagi saya, permainan itu terlalu mudah dan bergantung kepada nasib semata-mata.

Saya pun cuba menaikkan tahap kesukaran dengan meletakkan syarat pemain perlu membuat kiraan mental selepas membaling dadu.

Ini bermakna, jika token berada di kotak 14, dan dadu menunjukkan 6, pemain perlu membuat kiraan mental dan terus meletakkan token di kotak 20.

Barulah saya sedar yang permainan snakes and ladders ini boleh mengajar pemain tentang konsep matematik dan kemahiran celik angka.

Antara lain, pemain perlu mengira nombor mengikut turutan, mengenal nombor pada papan permainan, melakukan penambahan (addition) selepas membaling dadu dan memahami konsep ‘lebih’ dan ‘kurang’.

Snakes and ladders mengajar konsep dan kemahiran itu tanpa membuat si kecil berasa seperti mereka sedang membuat latihan matematik!

Dengan penuh rasa teruja, saya pun mencari di Internet, sama ada terdapat permainan lain yang mempunyai ciri serupa.

Berikut beberapa saranan permainan tradisional dan moden untuk kanak-kanak dalam pelbagai peringkat umur.

Untuk kanak-kanak kecil, permainan semudah membina blok dan Lego sahaja sudah mengajar konsep matematik penting seperti bentuk dan simetri.

Permainan kad memori pula mengajar tentang pemadanan, selain menajamkan daya ingatan.

Keupayaan memadan kelak akan membantu kanak-kanak dalam kemahiran klasifikasi seperti mengumpulkan barang-barang berdasarkan persamaan dan membantu mereka mengenal corak.

Saya sudah mula memainkan permainan ini dengan anak kedua saya yang berumur tiga tahun.

Ia sangat mudah dimainkan dan cukup menyeronokkan, tetapi si kecil tidak boleh berdepan dengan terlalu banyak kad – dia berasa permainan itu keterlaluan dan mudah hilang tumpuan.

Untuk kanak-kanak lebih besar, permainan seperti tic-tac-toe mengajar mengenal corak seperti tiga sederet, garisan pepenjuru, serta susunan mendatar dan menegak.

Permainan ini sangat mudah dimainkan – pemain hanya perlukan kertas dan pensel!

Permainan papan ‘Monopoly’ mengajar konsep matematik yang lebih mencabar seperti pengurusan wang dan pendaraban.
Permainan papan ‘Monopoly’ mengajar konsep matematik yang lebih mencabar seperti pengurusan wang dan pendaraban. - Foto HASBRO

Permainan papan Monopoly mengajar konsep matematik yang lebih mencabar seperti pengurusan wang dan pendaraban.

Permainan papan Scrabble bukan sahaja membantu pemain meningkatkan kosa kata, malah mengajar tentang pengiraan pemarkahan yang memerlukan kemahiran menambah dan mendarab.

Permainan kad ‘Uno’ antara lain mengajar pemadanan nombor dan warna.
Permainan kad ‘Uno’ antara lain mengajar pemadanan nombor dan warna. - Foto MATTEL

Permainan kad Uno pula mengajar pemadanan nombor dan warna, turutan nombor dan kiraan mental yang pantas apabila mendapat kad ‘+2’ atau ‘+4’.

Permainan kad dari abad ke-19, Old Maid, juga mengajar tentang pemadanan selain kemungkinan dan klasifikasi.

Permainan tradisional Melayu seperti congkak juga mengajar kemahiran mengira, menambah, membuat anggaran serta mengatur strategi.

Pemain congkak boleh mengasah kemahiran mengira dam menambah.
Pemain congkak boleh mengasah kemahiran mengira dam menambah. - Foto fail

Permainan batu seremban juga mengajar pemain untuk melakukan kira-kira, mengenali corak dan menganggar pengaturan masa serta pergerakan.

Permainan fizikal luar rumah juga dapat mengajar konsep matematik dan kemahiran celik angka kepada kanak-kanak.

Permainan tingting boleh membantu kanak-kanak sekecil tiga tahun mengenal nombor.

Permainan sembunyi-sembunyi pula menggalak kanak-kanak mengira hingga 10 atau 20 sebelum mula mencari.

Permainan tali lompat atau skipping rope juga mengajar kanak-kanak mengira (sambil tercungap-cungap).

Permainan guli mengajar konsep lebih rumit seperti sudut, anggaran, daya (force) dan jarak.

Sesungguhnya, matematik ada di mana-mana. Cuma, jangan beritahu anak-anak – biar mereka terus rasa ini semua hanyalah permainan.