Kini sudah tiba musim sekolah mengadakan sesi temu bual antara ibu bapa dengan guru.

Pertemuannya selalunya singkat. Di sekolah menengah, ia biasanya berlangsung selama lima hingga 10 minit bagi setiap mata pelajaran.

Di sekolah rendah, sesi tersebut mungkin berlangsung selama sekitar 15 minit bersama guru kelas.

Memandangkan masa terhad, adalah penting untuk ibu bapa memikirkan cara memanfaatkan sesi itu sepenuhnya.

Apakah yang patut ditanya oleh ibu bapa, dan apakah yang harus diberi tumpuan untuk mendapat hasil terbaik daripada sesi itu?

Adakah terdapat perkara yang perlu dielakkan?

Melangkaui soalan biasa

Sangat mudah untuk bermula dengan soalan, “Jadi, bagaimana keadaan anak saya di sekolah?”.

Namun, soalan tersebut hanya akan membawa kepada ringkasan pantas tentang gred atau keputusan terkini.

Walaupun ia berguna sebagai pembuka bicara, penting untuk ibu bapa memastikan bahawa perbincangan tidak terhenti di situ sahaja.

Tanya soalan tentang perkembangan anak

Anda berkemungkinan besar akan mendapat maklumat yang lebih berguna jika anda turut bertanya tentang bagaimana anak anda belajar, bukan sekadar apa yang telah dia capai.

Sebagai contoh:

– Bagaimanakah reaksi anak saya apabila mendapat tugasan yang agak sukar?

– Adakah anak saya kelihatan yakin di dalam kelas, atau agak ragu-ragu?

– Adakah anak saya meminta bantuan apabila memerlukannya?

– Apakah yang biasanya anak saya lakukan jika dia buntu?

Soalan sebegini memberi gambaran tentang sikap, keyakinan dan tabiat belajar anak anda, yang selalunya lebih penting untuk kemajuan jangka panjang berbanding satu keputusan ujian.

Kajian menunjukkan tingkah laku pembelajaran adalah peramal kuat bagi kemajuan akademik jangka panjang.

Kongsi pandangan anda sendiri

Sesi itu juga merupakan peluang bagi ibu bapa menyumbangkan perspektif mereka.

Anda melihat perkara di rumah yang tidak dilihat oleh guru, sama ada perasaan kecewa anak anda, kecenderungan mengelak tugasan, atau keyakinan yang kian meningkat.

Perkongsian itu membantu guru mendapat gambaran lebih lengkap dan memudahkan mereka menyokong anak anda secara berkesan.

Apabila kededua perspektif digabungkan, perbualan menjadi jauh lebih berguna daripada sekadar melaporkan keputusan.

Kajian menunjukkan kanak-kanak menunjukkan kemajuan yang lebih baik apabila ibu bapa dan guru saling bekerjasama.

Tumpu pada masa depan

Sesi antara ibu bapa dengan guru kadangkala terlalu tertumpu kepada melaporkan keputusan lalu dan menjelaskan bagaimana keputusan itu diperoleh.

Ia boleh menyebabkan sesi tersebut hanya berkisar tentang keputusan penilaian dan kedudukan dalam kelas.

Menganalisis keputusan hanya berguna jika ia memberi gambaran jelas tentang apakah yang perlu dilakukan pada masa hadapan.

Oleh itu, antara perkara paling bermanfaat yang boleh diperoleh daripada sesi sebegitu adalah jawapan jelas kepada: “Apakah cara terbaik membantu mereka mencapai langkah seterusnya?”.

Pemikiran sebegini membantu ibu bapa menumpukan perhatian kepada perkara yang boleh mereka pengaruhi, berbanding perkara yang telah berlaku.

Rangka langkah seterusnya

Apabila melihat kepada apa yang perlu dilakukan seterusnya, pastikan rancangan tersebut ringkas dan mudah dilaksanakan.

Kededua ibu bapa dan guru mempunyai kekangan masa.

Rancangan yang rumit selalunya mudah gagal.

Bertekad untuk mengakhiri temu bual dengan satu pelan tindakan yang jelas di rumah, bukannya senarai yang panjang.

Minta satu atau dua strategi praktikal yang boleh anda lakukan.

Misalnya, membaca selama 10 minit setiap malam atau berlatih jenis soalan matematik tertentu beberapa kali seminggu.

Anda boleh mengemukakan beberapa cadangan sendiri tentang apakah yang anda rasa perlu diusahakan oleh anak anda, bagi melihat sama ada guru bersetuju dan bagaimana mereka akan menyesuaikannya.

Akhir sekali, capai persetujuan tentang bagaimana kemajuan akan dipantau dan bila masanya untuk menyemak semula pelan tersebut jika perlu.

Walaupun perbualannya mungkin singkat, ia tidak semestinya bersifat luaran sahaja (superficial).

Dengan tumpuan yang betul, temu bual selama lima minit pun boleh membawa kepada kemajuan bermakna dalam pembelajaran anak anda.

Penulis, Dr Ben Zunica dan Dr Bronwyn Reid O’Connor, pensyarah pendidikan Matematik di Universiti Sydney. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

“Sesi itu juga merupakan peluang bagi ibu bapa menyumbangkan perspektif mereka... Apabila melihat kededua perspektif digabungkan, perbualan menjadi jauh lebih berguna daripada sekadar melaporkan keputusan. Kajian menunjukkan kanak-kanak menunjukkan kemajuan yang lebih baik apabila ibu bapa dan guru saling bekerjasama.”
Penulis.