Topik diikuti
Pergi ke BHkuKem untuk kanak-kanak, ibu bapa pupuk nilai kemampanan
Kem untuk kanak-kanak, ibu bapa pupuk nilai kemampanan
Kem untuk kanak-kanak, ibu bapa pupuk nilai kemampanan
Membuat replika Kaabah menggunakan bahan kitar semula, lumba berjalan kaki dalam alam semula jadi dan memerhati bintang.
Itulah antara kegiatan yang dapat dilakukan peserta kem sehari yang anjuran Al-Mizan Singapura dengan Masjid Ahmad di Pasir Panjang pada 20 Jun.
Kem percuma itu dibuka kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas serta ibu bapa mereka.
Menurut relawan Al-Mizan Singapura, Cik Izzah Mohd Jailani, kem itu bertujuan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak, serta memupuk rasa sayang terhadap alam semula jadi dalam diri peserta, terutama kanak-kanak.
Kem itu juga mengajar amalan kemampanan dan nilai murni di sebaliknya, seperti tidak membazir air ketika mengambil wuduk.
Ia turut mendedahkan peserta kepada amalan haji dan pengajaran yang boleh diraih daripada musim haji.
“Melalui kem ini, kanak-kanak dan ibu bapa boleh mengeratkan hubungan melalui kegiatan luar yang menyeronokkan, memahami satu sama lain dengan lebih baik melalui renungan bertemakan alam semula jadi.
Mereka turut boleh menimba amalan kemampanan baik baru yang boleh dilakukan di rumah,” kata Cik Izzah yang juga penyelaras bersama kem itu.
Ia kali pertama kem sedemikian dianjurkan Al-Mizan, inisiatif baru di bawah AMP Singapura bagi memperkasa masyarakat Islam ke arah gaya hidup yang lestari.
“Al Mizan adalah wadah yang menghubungkan kemampanan dengan akar umbinya yang bersasas ajaran Islam, seperti yang dapat dilihat dalam pelbagai hadis dan ayat Al-Quran.
“Penganjuran kem seperti ini untuk kanak-kanak memberi pendedahan awal tentang pentingnya kemampanan dan bagaimana ia berkait rapat dengan Islam,” kata seorang lagi penyelaras bersama kem itu, Encik Fuad Hasan Damanhuri.
Kem yang berlangsung dari 9 pagi hingga 8.30 malam itu akan membawa peserta berjalan kaki di Taman Kent Ridge, mengikuti sesi renungan bersama asatizah tempatan, membuat replika Kaabah menggunakan bahan yang dikitar semula serta memerhati bintang.
Imbas kod QR di gambar untuk mendaftar.
