“Selamat pagi!”
Ucapan itu membuatkan saya terpaku seketika di kaunter imigresen Lapangan Terbang Zurich. Pegawai imigresen itu tersenyum, berusaha bertutur dalam bahasa Melayu sebaik melihat pasport saya dan mengetahui saya berasal dari rantau Asia. Satu sambutan yang benar-benar tidak dijangka.
Detik kecil beberapa saat itu rupa-rupanya menjadi refleksi paling tepat buat Switzerland. Sebuah negara yang sering dianggap “dingin” kerana saljinya, namun realitinya memiliki kehangatan budi yang luar biasa.
Switzerland bukan sekadar sebuah titik di peta Eropah Tengah. Dengan keluasan hanya 41,285 km persegi, ia mampu menampung empat bahasa rasmi – Jerman, Perancis, Italy, dan Romansh. Ketiadaan istilah bahasa “Swiss” membuktikan bahawa toleransi bukan sekadar slogan, tetapi cara hidup penduduk Switzerland.
Sebagai pengembara yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini, saya menyedari bahawa setiap daripada 26 kanton atau daerah yang ada membawa identiti unik. Ini menjadikan perjalanan dari satu daerah ke daerah lain terasa seperti merentasi sempadan negara yang berbeza.
Selepas penerbangan 13 jam dari Singapura dan setibanya di Zurich, saya terus menaiki rangkaian kereta api Rhaetian Railway (RhB) menuju ke Filisur, sebuah perkampungan indah di wilayah Graubünden. Perjalanan selama tiga jam ini bukanlah sekadar perpindahan lokasi, tetapi sebuah tayangan filem alam semula jadi di luar jendela.
Satu perkara yang harus dipuji tentang Switzerland adalah sistem logistiknya yang cekap. Bagi pelancong yang ingin bergerak bebas, perkhidmatan penghantaran bagasi dari stesen ke stesen atau terus ke hotel adalah satu kemudahan yang sangat membantu.
Saya menyerahkan beg besar saya di kaunter, dan dengan hanya sebuah beg galas kecil, saya bebas melompat dari satu kereta api ke kereta api lain. Dengan Swiss Travel Pass di tangan, seluruh rangkaian pengangkutan awam negara ini – dari bas, tram, hingga ke feri – terbuka luas untuk diteroka.
Tarikan utama yang membawa saya ke Filisur adalah Landwasser Viaduct. Saya menaiki kereta api shuttle terbuka dari Stesen Schmitten yang membenarkan angin pergunungan menyapa wajah. Apabila tiba di sudut tinjau, jantung saya seakan terhenti melihat keajaiban kejuruteraan setinggi 65 meter itu.
Enam lengkungan batu kapur yang gah itu berdiri megah melintasi lembah, menyambungkan dua terowong di celah gunung. Apabila kereta api merah ikonik melintasi viaduk tersebut, suasananya menjadi magis – seolah-olah saya berada di dalam set penggambaran filem. Inilah harmoni antara teknologi manusia dengan keaslian alam yang dipelihara sejak 1844.
Perjalanan diteruskan ke arah timur menuju ke St. Moritz, melalui laluan Bernina Express yang memukau. Sepanjang perjalanan ini, panorama yang terhampar benar-benar menguji mata. Glasier yang membeku, tasik berwarna biru nilam, serta puncak-puncak gunung bersalji seolah-olah bersaing menarik perhatian. Warna-warna pepohon yang beralih daripada hijau kepada kekuningan pula menjadi petanda jelas musim sejuk kian menghampiri.
St Moritz bukan sekadar bandar pergunungan biasa; ia adalah lambang kemewahan antarabangsa. Sebagai bekas tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk sebanyak dua kali, bandar ini mengekalkan aura eksklusif yang menjadi magnet kepada golongan elit dunia.
Kami singgah di Hotel Grace St Moritz, sebuah bangunan ikonik yang didirikan pada tahun 1906. Apa yang paling mencuri perhatian saya bukan sahaja hiasan dalamannya yang moden sambil mengekalkan elemen sejarah, tetapi juga kesediaan mereka menyediakan hidangan halal. Di sebuah pekan alpine yang terletak jauh dari hiruk-pikuk kota besar, usaha untuk meraikan pelancong Muslim, terutamanya dari negara Teluk dan Asia Tenggara, merupakan inisiatif yang sangat menyentuh hati.
Di sini, atmosfera yang saya rasakan sangat berbeza. Jika St Moritz tampak tenang dengan hanya sekitar 5,000 penduduk, kota Geneva pula padat, menampung populasi sekitar 600,000 orang. Lebih 41 peratus daripada angka itu dikatakan adalah warga asing. Malah, lebih 230,000 daripada mereka berulang-alik setiap hari dari Perancis untuk bekerja di Geneva.
Digelar sebagai “Ibu Kota Keamanan”, tentulah saya meluangkan masa melawat Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), organisasi kemanusiaan bebas yang bermula di Geneva oleh usahawan Henry Dunant pada 1863.
Saya juga berpeluang melawat ibu pejabat Eropah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (dari luar saja) dan berdekatan situ, kerusi gergasi berkaki tiga (Broken Chair) yang melambangkan tentangan terhadap periuk api dijadikan pameran.
Di sini, saya tersedar bahawa Switzerland memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar pengeluar coklat; ia adalah nadi kemanusiaan global.
Namun, Geneva juga adalah kota kontras. Di sebalik bangunan-bangunan diplomatik yang gah dan butik jam tangan mewah yang berderet di Rue du Rhône, saya menyaksikan sisi realiti yang jujur, beberapa gelandangan yang berlindung di tepi jalan pada pagi musim sejuk yang menggigit. Ia adalah peringatan bahawa walaupun di negara terkaya di dunia, cabaran sosial tetap wujud.
Salah satu momen paling manis di Geneva adalah lawatan ke butik-butik coklat dengan ChocoPass Discovery (30 Francs atau lebih kurang S$65 untuk orang dewasa). Switzerland tanpa coklat ibarat tubuh tanpa jiwa.
Dari coklat praline yang halus hingga ke sesi pembuatan coklat sendiri di Butik Coklat Favarger, saya mempelajari bahawa rahsia kelazatan coklat Swiss terletak pada kualiti susu lembu alpine dan ketelitian prosesnya.
Selain coklat, Geneva juga merupakan tempat lahirnya teknologi moden. Di muzium CERN (Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear), saya pelajari World Wide Web (www) dicipta pada tahun 1989 di sini oleh Tim Berners-Lee, sebuah inovasi yang mengubah wajah tamadun manusia selamanya. Bagi mereka yang berminat dengan sains dan teknologi, jangan lepaskan peluang meneroka CERN Science Gateway yang sangat berinteraktif ini.
Pengalaman paling unik? Makan tengah hari dalam sebuah tuk-tuk elektrik. Sambil pemandu kami menyusuri lorong-lorong bersejarah, kami menikmati hidangan panas di atas meja yang tersedia di dalam kenderaan roda tiga itu. Lucu, walaupun sedikit mencabar apabila pinggan mangkuk bergoyang dan menghayun mengikut selekoh, tetapi ia adalah pengalaman yang menghiburkan.
Kembara saya kemudiannya beralih ke Lucerne, sebuah bandar yang menggabungkan sejarah zaman pertengahan dengan keindahan tasik yang tenang. Chapel Bridge, jambatan kayu berbumbung yang dibina pada abad ke-14, kekal menjadi ikon utama walaupun sebahagian besarnya pernah musnah dalam kebakaran pada tahun 1993. Di sini, saya menyedari betapa orang Swiss sangat menghargai sejarah mereka; setiap tiang yang terbakar, dibina semula dilakukan dengan ketelitian yang luar biasa agar roh asalnya tidak hilang.
Kemuncak kepada seluruh pengembaraan ini akhirnya tiba apabila saya menjejakkan kaki ke Jungfraujoch, atau lebih dikenali sebagai Top of Europe. Untuk sampai ke sini, kami menaiki gondola VIP moden dari Grindelwald ke Gletser Eiger, sebelum menyambung perjalanan dengan kereta api khas yang mendaki menembusi terowong di dalam gunung.
Apabila pintu kereta api terbuka di ketinggian 3,454 meter di atas aras laut, udara nipis dan dingin menyambut saya. Suhu yang mencecah paras beku tidak menghalang saya untuk menikmati secawan coklat panas sambil memandang hamparan salji putih yang tidak bertepi. Ia adalah momen “Bollywood” yang nyata, di mana keindahan visualnya melampaui apa yang mampu ditangkap oleh lensa kamera.
Lapan hari di Switzerland terasa singkat, namun impaknya mendalam.
Sebelum pulang, saya sempat singgah di Wengen, sebuah kota kecil di mana tidak ada kenderaan lalu, dan Lauterbrunnen, lembah yang mempunyai 72 air terjun yang jatuh dari tebing-tebing batu tinggi.
Ia adalah pemandangan yang memberikan ketenangan abadi sebelum kembali ke hiruk-pikuk kehidupan kota.
Switzerland mengajar saya bahawa kemajuan teknologi dan pemeliharaan alam sekitar tidak semestinya saling eksklusif.
Sambil saya duduk di dalam pesawat untuk pulang, saya memandang ke bawah melihat puncak-puncak Alp yang semakin mengecil.
Switzerland bukan sekadar sebuah destinasi untuk dicoretkan dalam ‘bucket list'. Ia adalah sebuah inspirasi tentang bagaimana dunia seharusnya berfungsi - dengan ketepatan masa, kebersihan alam, dan yang paling penting, rasa hormat sesama insan.
Tip untuk pelancong
* Tiket Kelas pertama Swiss Travel Pass membenarkan pelancong menggunakan kereta api, bas dan bot dengan tidak ada had sepanjang tempoh yang ditetapkan. Kanak-kanak di bawah umur enam tahun boleh bersama orang tua mereka percuma.
* Dapatkan kad data e-sim untuk sepanjang cuti di Switzerland.
* Gunakan aplikasi yang boleh dimuat turun untuk memudahkan perjalanan. (SBB untuk perjalanan kereta api, Swiss Topo untuk mengetahui nama-nama gunung, dan sebagainya)
* Khidmat penghantaran bagasi ke destinasi tujuan sama ada stesen keretapi atau tempat penginapan adalah servis tambahan oleh syarikat kereta api SBB. Ini memudahkan pelancong dan memberikan fleksibiliti semasa perjalanan.
* Pembayaran melalui kad diterima di mana-mana, tetapi anda juga boleh membawa mata wang Swiss Franc jika mahu.
* Bawa botol air untuk mengisi air dari mana-mana tempat air pancut - airnya jernih dan datang dari gunung-gunung di keliling situ, dan selamat untuk diminum.
* Oleh-oleh dari Switzerland yang saya syorkan - Jam tangan Swiss dari Geneva, Pisau ‘Swiss Army’ jenama Victorinox (boleh diperibadikan), cokelat dan keju ‘fondue' (tanpa alkohol)!
*Bawa pakaian yang bersesuaian dengan aktiviti dan musim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg