Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarawak komited dakap kemampanan

Oct 27, 2025 | 3:09 PM
air terjun three sisters, long san, sarawak
Air Terjun Three Sisters terletak di Long San, Sarawak, merupakan air terjun yang terpencil dengan tiga air terjun yang mengalir bersebelahan. Perjalanan ke air terjun itu menawarkan pengalaman istimewa bagi penggemar kegiatan lasak. - Foto LEMBAGA PELANCONGAN SARAWAK

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sarawak sedang memperkukuh peranannya sebagai peneraju pelancongan mampan serantau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Cik Sharzede Datu Haji Salleh Askor, semasa bertemu media di sini baru-baru ini, negeri itu menekankan tentang pengalaman yang asli bagi pelancong yang bercuti ke sana.

Tidak seperti tempat lain, Sarawak sedang membangunkan pelancongan sejajar dengan pemuliharaan warisannya, serta tanggungjawab ke atas alam sekitar dan pada masa yang sama, memperkasakan rakyatnya.

“Apa yang kami ingin tekankan bukan sekadar jumlah (tarikan dan produk yang dipromosikan), bahkan kami lebih mementingkan mutunya,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

“Kami juga peka tentang apa yang ditawarkan dan cara ia ditawarkan untuk menarik pelancong ke sini, memandangkan pelancongan merupakan pasaran antarabangsa.

“Jadi kami menekankan mutu dalam mempromosikan produk kami dan pada masa yang sama, mengekalkan aspek keasliannya,” tambah beliau.

Cik Sherzade turut menjelaskan Sarawak sedang menyerapkan apa yang dipanggil sebagai pelancongan bertanggungjawab, atau ‘responsible tourism’.

“Kami melihat kepada kemampanan dan pelancongan bertanggungjawab, untuk mendidik para pelancong betapa pentingnya kemampanan, yang akan membawa kepada pelancongan yang lebih bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau menjelaskan Sarawak ingin mempamerkan tonggaknya berdasarkan aspek budaya, kembara, alam semula jadi, makanan dan festival atau lebih dikenali dengan singkatan, CANFF.

“Terdapat 34 kumpulan etnik di Sarawak, setiap satu dengan makanan, muzik, tradisi dan acara keramaian mereka tersendiri.

“Justeru kami perlu mengekalkan setiap identiti mereka yang boleh diraikan melalui lima tonggak ini,” ujarnya.

CANFF boleh dianggap satu penjenamaan yang bijak dan lebih daripada itu, ia merupakan satu rangka kerja yang strategik yang terkait antara satu sama lain.

Mengulas lebih lanjut, Cik Sherzade berkata STB komited untuk meletakkan agenda kemampanan ke depan, melalui Rainforest World Music Festival (RWMF), pesta muzik dunia berlatarbelakangkan hutan rimba yang diadakan di ibu kota Kuching secara tahunan.

Antara langkah yang mereka lakukan sebagai penganjur ialah menyediakan stesen air di tapak RWMF.

“Ia bagi membolehkan orang ramai mempunyai akses untuk mendapatkan stok air minuman tanpa perlu membawa botol mineral plastik,” katanya.

Cik Sherzade turut menerangkan setiap tiket yang dibeli peserta akan digantikan dengan pembelian biji benih untuk menyemai pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan di negeri itu.

Dengan cara ini, ia mempamerkan ketanggungjawaban mereka terhadap usaha kemampanan.

“(Festival ini) bukan setakat memaparkan muzik kita, bahkan menjadi wadah untuk kita memaparkan usaha melestarikan alam sekitar oleh semua pihak, yang membawa kepada pelancongan yang bertanggungjawab dan bermakna,” tambah beliau.

Ditanya tentang tarikan di Sarawak, Cik Sherzade menjawab taman negara yang terdapat di sana merupakan tempat tarikan yang wajib dikunjungi pelancong ke Sarawak.

“Kami mempunyai salah satu taman negara tertua di dunia dan apa yang membanggakan, ia mudah dikunjungi (melalui darat),” ujarnya.

Dengan ketersambungan udara baru dengan pelancaran penerbangan Air Borneo di Kuching, Cik Sherzade mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg