Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengapa filem muzikal kurang dijana dalam industri filem Melayu?

Dec 15, 2025 | 5:30 AM
Wicked, USS, fans,
Ratusan peminat dari seluruh Asia hadir di Universal Studios Singapore (USS) untuk bertemu dengan barisan pelakon filem muzikal, ‘Wicked: For Good’ pada 13 November. - Foto ST

Pada 1 Disember, KRU Studios yang merupakan cabang penerbitan filem oleh kumpulan muzik popular Malaysia, KRU, mengumumkan mereka sedang dalam proses menghasilkan skrip bagi filem, Magika 2, dengan karya itu dijangka keluar pada 2027. 

Filem Magika yang dibintangi barisan pelakon berbakat seperti Diana Danielle, Mawi, Fimie Don dan Ziana Zain, merupakan naskhah genre muzikal dengan kebanyakan watak diambil daripada cerita rakyat Melayu. 

Ketika ditayangkan di pawagam pada 2010, ia meraih kejayaan meluas dengan ramai penonton memuji jalan cerita yang menarik sambil menerapkan ciri-ciri Melayu dalam naskhah muzikal. 

Di Singapura pula, ramai peminat dari seluruh Asia hadir ke Universal Studios Sentosa (USS) pada 13 November lalu, untuk bertemu dengan barisan pelakon filem muzikal, Wicked: For Good, termasuk penyanyi pop, Ariana Grande dan Cynthia Erivo. 

Singapura merupakan satu-satunya lokasi di Asia bagi pelancaran antarabangsanya. 

Francais Wicked meraih kejayaan antarabangsa dan telah mencipta fenomena dengan filem pertamanya pada 2024, meraih keuntungan AS$758 juta ($979 juta) melalui penjualan tiket. 

Kurang filem muzikal Melayu  

Berita mengenai kededua filem itu membuat saya sedar terdapat kekurangan filem muzikal dalam industri perfileman Melayu, berbanding dunia Hollywood.

Ia turut membuat saya tertanya-tanya jika genre muzikal itu sukar mendapat tempat di hati penonton Melayu. 

Apabila melihat kembali, terdapat kurang daripada 10 filem Melayu yang dikeluarkan di Malaysia dengan genre muzikal sejak awal 2000-an. 

Antaranya, termasuk Diva (2005), Hoore! Hoore! (2012), Sinaran (2015) dan Baik Punya Ah Long (2024). 

Walaupun mempunyai jalan cerita yang berbeza, dengan setiap filem mempunyai mesej tersendiri, ia tidak berjaya mencipta kejayaan meluas yang dapat memberi kesan kepada penonton sehingga kini. 

Ia berbeza dengan naskhah aksi, saspens atau seram yang mampu meraih keuntungan pecah panggung seperti filem, Blood Brothers (2025) dengan kutipan RM80 juta ($25.2 juta), hasil tayangan di beberapa negara di Asia Tenggara. 

Berbanding dengan dunia Hollywood, terdapat banyak filem muzikal dengan tema berbeza yang berjaya meraih kejayaan meluas.

Ia termasuk filem, Hairspray (2007), Mamma Mia (2008), Pitch Perfect (2012) dan La La Land (2016), yang masing-masing meraih anugerah dan pencapaian meluas.

Unsur muzikal wujud pada zaman P. Ramlee 

Jika kita mengimbau kembali nostalgia filem hitam putih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak lapuk dek zaman, setiap filem yang dihasilkannya, tidak kira cerita komedi atau naskhah penuh emosi, pasti ada unsur nyanyian yang diselitkan.

Antara babak yang terpahat dalam ingatan saya adalah watak Pak Maon berjoget dalam filem, Nasib Do Re Mi, sambil Allahyarhamha Biduanita Saloma menyanyikan lagu, Pesta Muda Mudi. 

Gelagat Pak Maon yang lucu pasti diingat oleh ramai hingga kini sehingga tarian ‘twist’ itu dikenali oleh generasi muda. 

Walaupun tidak pernah menggelarkan filemnya sebagai karya muzikal, P. Ramlee berjaya membuktikan nyanyian dan lakonan boleh digabungkan dalam sesebuah naskhah. 

Kadangkala, unsur muzik itu membantu menyerlahkan jalan cerita yang sedia ada menjadikan ia lebih menarik bagi penonton. 

Cerita yang mudah difahami penonton 

Sesebuah filem muzikal tidak perlu mempunyai unsur kayangan atau cerita dongeng.  

Bagi saya, keinginan untuk melihat lebih banyak filem muzikal Melayu yang mengetengahkan jalan cerita yang lebih dekat dan relevan dengan kehidupan harian masyarakat Melayu mungkin antara penyebab ia kurang mendapat tempat dalam kalangan penonton. 

Saya masih mengingati menonton siri trilogi popular bahasa Inggeris, High School Musical, terbitan Disney Channel ketika di bangku sekolah.  

Filem itu yang mula ditayangkan pada 2006 turut mencipta fenomena di seluruh dunia dengan ramai kanak-kanak di Asia mengikuti perkembangannya. 

Isu yang dilalui watak utama Troy Bolton (lakonan Zac Efron) dan Gabriella Montez (Vanessa Hudgens) yang melalui percintaan remaja sambil harus belajar membahagikan masa antara kegiatan kokurikulum dengan tuntutan sebagai pelajar merupakan sesuatu yang dekat di hati belia. 

Sejujurnya, saya berpendapat filem muzikal bahasa Melayu boleh meraih kejayaan meluas jika pihak penerbitan berani menghasilkan cerita yang menarik. 

Tentu konsep yang berbeza sambil mengekalkan ciri kemelayuan dapat menyuntik kesegaran dalam industri perfileman Melayu yang mungkin sudah lali dengan puluhan filem genre aksi sejak kebelakangan ini. 

Namun, sokongan daripada pencinta filem Melayu atau ‘kaki wayang’ turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan sesebuah karya.

Jika ramai penonton negara jiran sanggup datang ke Singapura untuk menonton filem muzikal antarabangsa, mengapa tidak kita memberi sokongan bagi karya dalam bahasa ibunda?

Semoga para penulis naskhah filem dan pengarah di luar sana terus bersemangat dan terbuka untuk mencuba menghasilkan filem muzikal yang dapat mewarnai industri perfileman Melayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg