Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasa bosan baik untuk perkembangan kanak-kanak

Dorong si anak teroka kegiatan baru, masa untuk refleksi diri
Dec 25, 2025 | 5:30 AM
bosan, perkembangan kanak-kanak, manfaat, feeling bored, benefits
Ibu bapa tidak perlu menganggap kebosanan sebagai satu masalah yang mereka perlu atasi untuk anak mereka. - Foto PIXABAY

Kebosanan merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan, merentas zaman dan budaya di seluruh dunia.

Ini kerana kebosanan mempunyai tujuan yang berguna dalam mendorong seseorang untuk mencari matlamat dan cabaran baru.

Sebagai seorang profesor yang mengkaji komunikasi dan budaya, saya mendapati ramai ibu bapa cuba mengelakkan anak mereka daripada berasa bosan dengan menggalakkan mereka melakukan sesuatu yang dianggap lebih produktif.

Terdapat pelbagai sebab mengapa ibu bapa mahu mengelakkan anak mereka daripada berasa bosan.

Ramai ibu bapa sibuk dengan pekerjaan.

Mereka tertekan dengan isu kewangan, tanggungjawab menjaga anak, serta menguruskan tuntutan kehidupan harian yang lain.

Memastikan anak sibuk dengan permainan, rancangan televisyen, atau kegiatan seni dan kraf di rumah boleh membantu ibu bapa bekerja tanpa gangguan, atau menguruskan kerja rumah tanpa perlu mendengar rungutan bahawa anak mereka bosan.

Manfaat kebosanan

Walaupun ia tidak selesa untuk mengalami kebosanan, ia sebenarnya menawarkan manfaat penting untuk perkembangan diri.

Kebosanan ialah satu isyarat bahawa perubahan diperlukan, sama ada perubahan suasana, kegiatan yang dilakukan, atau dengan teman yang kita bergaul.

Pakar psikologi mendapati pengalaman berasa bosan boleh mendorong seseorang menemui matlamat baru dan mencuba kegiatan berbeza.

Ia juga didapati bahawa kebosanan adalah penting untuk proses refleksi diri.

Masa lapang memberi ruang untuk kita bertanya soalan mendalam tentang kehidupan dan mencari makna.

Kanak-kanak yang jarang berasa bosan berisiko membesar menjadi orang dewasa yang tidak tahu menangani kebosanan.

Kebosanan juga memberi rangsangan kepada otak, sekali gus memupuk rasa ingin tahu dan daya kreativiti semula jadi kanak-kanak.

Belajar mengurus kebosanan dan emosi negatif lain merupakan satu kemahiran hidup yang penting.

Apabila kanak-kanak mengurus masa mereka sendiri, ia membantu dalam membangunkan fungsi eksekutif, termasuk kebolehan menetapkan matlamat dan kemahiran merancang.

Ibu bapa perlu berhati-hati untuk tidak menganggap kebosanan sebagai satu masalah yang mereka perlu atasi untuk anak mereka.

Pakar psikologi mendapati pelajar kolej yang mempunyai ibu bapa yang terlalu terlibat dalam kehidupan mereka lebih cenderung mengalami kemurungan.

Kajian lain pula menunjukkan kanak-kanak kecil yang diberi akses kepada peranti digital untuk menenangkan diri, kurang berupaya mengawal emosi apabila mereka meningkat usia.

Tidak selesa berasa bosan

Keupayaan untuk menahan kebosanan ialah satu kemahiran yang ramai kanak-kanak enggan pelajari atau tidak diberi peluang untuk membangunkannya.

Kanak-kanak memerlukan latihan untuk belajar menangani kebosanan.

Mulakan dengan tempoh kebosanan yang singkat, kemudian secara perlahan tingkatkan tempoh masa itu.

Satu panduan untuk ibu bapa adalah membawa anak mereka keluar rumah, mencadangkan permainan baru, atau sekadar berehat.

Mewujudkan ruang untuk kebosanan bererti akan terdapat tempoh waktu tertentu di mana tiada kegiatan khusus sedang dilakukan.

Kanak-kanak yang lebih kecil mungkin memerlukan idea tentang apa yang mereka boleh lakukan apabila bosan.

Ibu bapa tidak perlu bermain bersama mereka setiap kali mereka bosan, tetapi mereka boleh memberi cadangan.

Menggalakkan kanak-kanak yang lebih besar menyelesaikan masalah kebosanan sendiri adalah langkah yang memperkasa diri mereka.

Beritahu mereka bahawa kebosanan adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan, walaupun ia kadangkala rasa tidak menyenangkan.

Kanak-kanak memang mudah menyesuaikan diri.

Apabila mereka sudah biasa mengalami kebosanan sekali sekala, tempoh masa sebelum mereka berasa bosan akan menjadi lebih lama pada masa depan.

Malah, ramai mendapati kehidupan rasa kurang membosankan apabila mereka kerap mengalami kebosanan.

Melepaskan tanggungjawab untuk sentiasa menghiburkan anak juga boleh membantu ibu bapa rasa kurang tertekan.

Justeru, apabila seorang anak merungut, “Saya bosan!”, jangan rasa bersalah atau kecewa.

Kebosanan ialah biasa dan sihat dalam kehidupan.

Ia mendorong kita menjadi lebih berdikari, mencari hobi baru dan menyahut cabaran berbeza.

Jadi, lain kali anak anda rasa bosan, beritahu mereka ia tidak mengapa, malah ia adalah baik untuk mereka.

Margaret Murray ialah Profesor Madya untuk Komunikasi Awam dan Pengajian Budaya di Universiti Michigan-Dearborn, Amerika Syarikat. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg