Kata orang, masa itu emas.
Perumpamaan ini begitu bermakna sekali bagi Encik Nor Zairi Nor Zahid yang ‘kehilangan’ masa bersama puterinya yang tersayang.
Beliau meninggalkan anak perempuannya, Zyva Aleesya Nor Zairi, semasa dia bayi selama sekitar enam bulan dan dalam tempoh yang singkat itu, Encik Zairi semakin menghargai bahawa setiap detik bersama anaknya adalah sesuatu yang tidak ternilai.
Apabila Encik Zairi disatukan semula dengan anaknya, Aleesya, beliau dapat melihat pembangunan anaknya itu – bagaimana dia sudah boleh berdiri sendiri, menunjukkan emosi dengan lebih jelas dan mula memahami dunia sekelilingnya.
“Itu satu fasa perkembangan dalam hidup Aleesya yang saya lihat sebagai seorang bapa sepanjang dua tahun ini.
“Tapi sebelum itu, enam bulan pertama semasa dia membesar, saya terlepas melihat perkembangan tersebut.
“Jadi tempoh tersebut telah membuka mata saya.
“Saya kesal kerana tidak berada di sisi Aleesya semasa hari lahir pertamanya dan tidak dapat menyambut musim perayaan bersamanya dan isteri saya ketika itu,” ujar beliau.
Encik Zairi terpaksa meninggalkan anaknya itu setelah dipenjara atas kesalahan dadah sekitar 2023.
Sekembalinya ke pangkuan keluarga, Encik Zairi, kini 29 tahun, akur tanggungjawabnya sebagai bapa bukan sesuatu yang beliau harus ambil ringan.
Beliau kini berusaha membina semula hubungan dengan Aleesya.
Ini termasuk duduk bermain bersama, berkomunikasi dan belajar memahami isyarat emosi anak kecil yang masih belum pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata.
“Fokus saya sekarang adalah sepenuhnya kepada keluarga.
“Saya sedang berusaha membina semula hubungan kami, dan membina sebuah keluarga yang kukuh dan bahagia,” kongsi Encik Zairi, yang kini bertugas sebagai penghantar barangan.
Selama ketiadaan suaminya, isterinya, Cik Nur Athira Asahri, 23 tahun, terpaksa membesarkan anak mereka seorang diri.
Semasa tempoh itu, Cik Athira, berdepan krisis yang bukan sahaja menguji kewangan, tetapi juga ketahanan emosi sebagai ibu muda.
Pada masa sama, beliau cuba memahami peranannya sebagai ibu baru yang tanpa pengalaman, tanpa pasangan di sisi dan dengan masa depan yang tidak menentu.
“Pada mulanya, ia sangat susah dan membimbangkan untuk membesarkan Aleesya seorang diri.
“Tetapi alhamdulillah, dengan bantuan keluarga saya dan keluarga Zairi, saya dapat bertahan,” jelas Cik Athira, kini seorang suri rumah.
Beliau juga memohon bantuan kewangan dari Pejabat Khidmat Sosial (SSO) kerana sukar mendapatkan pekerjaan yang boleh menampung keperluan masa dan tanggungjawabnya untuk menjaga anaknya.
Pada sekitar Mei 2023, rakan Cik Athira memperkenalkannya kepada inisiatif sokongan keluarga anjuran pertubuhan tidak meraih untung, KidSTART.
Pertubuhan itu menyokong ibu hamil dan memperkasa keluarga berpendapatan rendah dengan teknik keibubapaan bagi meraih hasil perkembangan positif bagi kanak-kanak berusia hingga enam tahun.
Menerusi sokongan KidSTART, Cik Athira menerima bantuan bagi keperluan asas seperti susu, lampin dan barangan dapur.
Pegawai KidSTART juga kerap mengunjunginya di rumah untuk memberi nasihat dan panduan bagi mendekati dan membesarkan Aleesya menggunakan kaedah keibubapaan positif.
“Perubahan paling besar bagi saya bukan setakat bantuan yang saya terima, tetapi cara saya melihat diri sendiri sebagai seorang ibu.
“Pada awalnya, saya ragu-ragu menjadi seorang ibu. Tetapi sedikit demi sedikit, saya mula rasa lebih yakin menjaga anak saya,” jelasnya.
Sebagai suami isteri, Encik Zairi dan Cik Athira mula membina kesedaran bersama tentang pentingnya perkembangan awal anak mereka.
Pasangan itu, yang telah menetap di rumah sewa satu bilik di Sembawang selama dua tahun, menyusun semula ruang tamu rumah untuk dijadikan sudut permainan, lengkap dengan bahan pembelajaran yang sesuai dengan usia Aleesya.
Mereka juga aktif memerhati dan menjejak perkembangan anak mereka itu, daripada kemahiran motornya hingga kebolehannya untuk bertutur dan membaca.
“Ketika Aleesya masih belum menyebut perkataan dengan jelas, kami mengambil maklum balas dan strategi yang dikongsikan pegawai KidSTART kami.
“Alhamdulillah, kami dapat lihat perubahan kecil,” kata Encik Zairi.
Pasangan itu kini sedang bersedia menyambut kelahiran anak kedua mereka pada awal 2026.
Bagi Encik Zairi, perjalanannya sebagai seorang bapa masih panjang dan penuh cabaran.
Namun kali ini, beliau lebih yakin dengan peranannya sebagai bapa yang hadir, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga dari segi emosi.
Cik Athira pula semakin yakin membuat keputusan keibubapaan dan tidak lagi terlalu takut untuk melakukan kesilapan dalam proses membesarkan anak.
“Apa yang kami mahu adalah untuk Aleesya membesar dengan baik dan menjadi kakak yang penyayang,” harap Encik Zairi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg