Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa bukan sekadar gelaran tapi perlu hadir dalam hidup anak

Dec 25, 2025 | 5:30 AM
bapa, anak, keibubapaan, peranan bapa, father figure
Pada pandangan penulis, apa yang paling diingati seorang anak bukanlah kesempurnaan seorang bapa, tetapi kesungguhannya untuk terus hadir walaupun dalam keadaan serba kekurangan. - Foto PIXABAY

Ketika saya membesar, saya melalui satu fasa kehidupan tanpa kehadiran figura bapa.

Ia bukan pengalaman yang penuh trauma atau kesedihan yang berpanjangan, tetapi cukup untuk meninggalkan kekosongan yang hanya saya faham apabila meningkat dewasa.

Ketika kecil, saya tidak tahu bagaimana untuk menamakan perasaan itu.

Namun, apabila melihat rakan-rakan lain dipimpin dan disokong oleh ayah mereka, barulah saya sedar bahawa ada sesuatu kekosongan dalam kehidupan saya pada waktu itu.

Ketiadaan seorang bapa, walaupun sementara, bukan sesuatu yang mudah untuk dirasai oleh seorang anak.

Kadangkala kekosongan itu tidak selalu kelihatan, tetapi tetap dirasai dalam persoalan yang tidak pernah diluahkan.

Sebagai seorang wartawan, saya berpeluang berbual dengan ramai bapa tunggal daripada pelbagai latar belakang.

Ada yang kehilangan pasangan, ada yang berpisah dan ada juga yang terpaksa mengambil alih peranan sebagai pengasuh utama dalam keadaan yang tidak pernah mereka jangkakan.

Apa yang sering mengikat kisah mereka ialah satu persamaan – keletihan yang dipendam, rasa tidak cukup baik dan usaha yang berterusan untuk hadir buat anak mereka walaupun diri sendiri masih tercari-cari arah.

Ramai antara mereka mengaku tidak tahu bagaimana untuk menjadi bapa yang ‘sempurna’.

Ada yang tidak mempunyai suri teladan daripada ayah mereka sendiri, bagaimana untuk membesarkan anak.

Ada pula yang dibesarkan dalam persekitaran yang mengajar lelaki untuk memendam emosi dan menyelesaikan masalah sendiri.

Jadi apabila mereka berdepan dengan anak yang sering mengamuk dan menangis, mereka mungkin cepat berasa marah.

Ini bukan kerana mereka tidak sayang, tetapi kerana tidak tahu cara ‘betul’ untuk menangani isu itu.

Namun, tidak semua ketiadaan seorang bapa berpunca daripada kegagalan atau pilihan peribadi.

Tidak lama dahulu, seorang rakan saya meninggal dunia secara mengejut, meninggalkan seorang anak lelaki yang masih kecil.

Sejak itu, anak tersebut sering bertanya tentang ayahnya. Soalan tersebut, yang lahir daripada kerinduan tulen, tidak boleh dijawab dengan mudah.

Peristiwa itu mengingatkan saya bahawa terdapat kanak-kanak yang membesar tanpa bapa bukan kerana bapa itu enggan hadir, tetapi kerana kehidupan tidak memberi peluang itu.

Ia juga membuat saya sedar bahawa kehadiran seorang bapa dalam kehidupan anak mereka, walaupun tidak sempurna, adalah sesuatu yang sangat bernilai.

Saya rasa kanak-kanak tidak memerlukan seorang bapa yang tahu segala-galanya atau tidak pernah melakukan kesilapan.

Malah, saya percaya apa yang mereka perlukan ialah seorang bapa yang hadir secara konsisten, bersedia untuk mendengar dan berusaha untuk belajar membaiki diri.

Bapa juga manusia biasa dan mereka memerlukan sokongan, bimbingan dan ruang untuk berkembang.

Dalam masyarakat kita, masih wujud kecenderungan untuk menghakimi golongan bapa dengan lebih cepat, tetapi kurang memberi empati.

Namun, jika kita benar-benar ingin melihat anak membesar dengan sihat dari segi emosi dan perkembangan, kita juga perlu melihat peranan bapa dengan lebih berlapang dada.

Saya percaya bagi seorang anak, apa yang mereka paling ingati bukanlah kesempurnaan seorang bapa, tetapi usahanya untuk hadir, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg