Topik diikuti
Pergi ke BHkuZach X-Factor korban kerjaya lakonan demi anak
Zach X-Factor korban kerjaya lakonan demi anak
Zach X-Factor korban kerjaya lakonan demi anak
Tiada pengorbanan yang terlalu besar apabila melibatkan soal anak.
Begitulah yang dirasakan penyanyi dan pelakon Malaysia, Zach, atau nama sebenarnya Zachery Francis Ubu, apabila mengambil keputusan mengutamakan keluarga berbanding kerjaya seni.
Bagi anggota kumpulan X-Factor itu, keputusan menjadi suami rumah tangga sejak 2023, dibuat selepas beberapa kejadian yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak.
Menurut Zach, anak seni kelahiran Sarawak, Malaysia, yang kini berusia 49 tahun, beliau rasa curiga apabila mendapati anaknya kelihatan tidak selesa setiap kali dijemput pulang, selain terdapat kesan lebam pada tubuhnya.
“Pada mulanya, pihak pusat jagaan memaklumkan anak saya terjatuh. Saya cuba berfikiran positif dan menerima penjelasan itu.
“Namun, apabila perkara sama berulang beberapa kali, saya mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya tidak percaya anak saya boleh mengalami kecederaan seperti itu berulang kali hanya kerana terjatuh.
“Saya berbincang dengan isteri dan beritahu saya tidak mahu mengambil risiko, dan lebih rela menjaga anak sendiri daripada menyerahkannya kepada orang lain,” kata Zach kepada Berita Minggu (BM), melalui Zoom, baru-baru ini.
Wawancara ini dibuat selepas X-Factor mengumumkan kemunculan semula mereka dalam bidang muzik.
Di samping itu, bapa dua anak berusia tiga dan 11 tahun itu, sanggup mengorbankan kerjaya dan sumber pendapatannya demi memastikan kebajikan anak terjaga.
“Isteri saya bekerja dengan kerajaan dan mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
“Bagi saya pula, pendapatan bergantung kepada tawaran kerja. Jika ada pekerjaan, ada pendapatan. Jika tiada, memang tiada.
“Tetapi bagi saya, keluarga dan keselamatan anak lebih penting,” ujarnya, yang beristerikan seorang tentera darat, Jennifer Carterina, 30-an tahun.
Pada mulanya, pelakon filem, Adnan Sempit, itu menyangka tugas menguruskan rumah tangga dan menjaga anak sepenuh masa tidak terlalu sukar.
Namun, pengalaman menggalas tanggungjawab itu sendiri memberinya perspektif baru serta penghargaan yang lebih mendalam terhadap pengorbanan isterinya dan golongan suri rumah.
“Sebelum ini, saya fikir ia sesuatu yang mudah. Tetapi selepas melaluinya sendiri, barulah saya sedar betapa mencabarnya tugas menjaga anak dan menguruskan rumah tangga setiap hari.
“Pengalaman itu membuatkan saya lebih menghargai isteri dan semua ibu atau suri rumah yang melakukan perkara sama.
“Saya sendiri sudah merasai bagaimana menguruskan kerja rumah dan menjaga anak yang masih kecil.
“Sejujurnya, jika diberi pilihan, saya lebih rela bekerja kerana tanggungjawab di rumah bukanlah sesuatu yang mudah.
“Tekanan yang dihadapi di tempat kerja juga berbeza dengan tekanan menguruskan keluarga di rumah,” tambahnya.
Menyentuh mengenai kerjayanya dalam bidang lakonan, Zach mengakui terpaksa melepaskan peluang untuk kembali beraksi di kaca televisyen demi memberi keutamaan kepada keluarga.
Menurutnya, beliau menerima tawaran pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, bagi membintangi drama bersiri, Gerak Khas 2.0, sekitar April 2026.
“Saya menerima tawaran berlakon daripada Datuk Yusof Haslam untuk menjayakan Gerak Khas 2.0, sekitar April lalu.
“Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya kerana anak-anak masih memerlukan saya.
“Apabila anak saya yang kecil sudah mula bersekolah nanti, saya akan kembali aktif dalam lakonan semula.
“Sebelum ini, saya ada juga terima tawaran lakonan lain. Namun begitu, saya terpaksa tolak.
“Ia adalah satu keputusan yang sukar kerana saya tidak meraih pendapatan, dan mengharapkan pada isteri sahaja.
“Apapun, saya ‘redah’ juga cabaran mendatang,” ceritanya, yang kini turut memberi tumpuan kepada kemunculan semula kumpulan X-Factor.
Kumpulan X-Factor bakal mengeluarkan lagu baru berjudul, Walu-Walu, yang bermaksud, ‘Saya Kamu’, dalam dialek Hokkien.
Ia akan dilancarkan di seluruh pelantar digital pada 16 Jun.
Lagu yang menandakan kemunculan semula kumpulan itu, berentak sederhana atau mid-tempo, yang menggabungkan unsur ‘city pop’ (persis trend muzik pop retro Jepun era 1970-an dan 1980-an) dan ‘hip-hop’.
Dalam perkembangan terbaru, kumpulan itu juga sedang menyiapkan sebuah lagi lagu berkonsepkan balada romantik.