Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonsert Elite bakar semangat X-Factor kembali selepas 20 tahun menyepi
Konsert Elite bakar semangat X-Factor kembali selepas 20 tahun menyepi
Buah tangan terbaru ‘boyband’ M’sia 2000-an, ‘Walu-Walu’, gabung genre ‘city pop’, ‘hip-hop’
Konsert Elite bakar semangat X-Factor kembali selepas 20 tahun menyepi
Siapa sangka kemunculan semula untuk hanya beberapa minit sahaja di pentas konsert mampu menghidupkan kembali kumpulan yang sudah hampir 20 tahun menyepi dalam dunia hiburan?
Itulah yang dialami kumpulan ‘boyband’ Malaysia, yang terkenal pada era 2000-an, X-Factor, apabila sambutan luar biasa diterima ketika mereka muncul dalam konsert kumpulan wanita, Elite, pada 2025, lantas mencetus keputusan kembali aktif sebagai sebuah kumpulan.
X-Factor, yang dikenali menerusi dua lagu mereka, Bertuah dan 7251364, ditubuhkan pada 1999 di bawah naungan dan bimbingan kumpulan legenda, KRU.
“Niat untuk melakukan comeback (kemunculan semula) berputik setelah kami tampil dalam konsert Elite, yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 20 September 2025.
“Sejujurnya, kami tidak menyangka X-Factor masih lagi diterima peminat. Ketika membuat persembahan, ramai turut memberikan sorakan yang menggamatkan lagi suasana.
“Itulah yang membakar semangat kami untuk kembali ke dunia muzik.
“Namun, dalam masa yang sama, kami turut berdepan pelbagai perasaan bercampur-baur seperti teruja, gementar dan bimbang.
“Perasaan itu sukar dielakkan memandangkan kami sudah hampir 20 tahun tidak aktif dan kini kembali muncul di hadapan peminat,” kata anggota X-Factor, Zach, atau nama sebenarnya, Zachery Francis Ubu, 49 tahun, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.
Selain Zach, X-Factor turut dianggotai oleh Syed Affendi Syed Ibrahim (Fendi), 49 tahun; Irwan Shah Azhar (Shah), 48 tahun; Mohd Khardanie Anwar (Danny), 46 tahun; dan Faizal Ezuan Esha (Jim), 44 tahun.
Menurut Shah, tempoh panjang tanpa kegiatan seni sebagai kumpulan tidak bermakna semua anggotanya meninggalkan industri.
Ini kerana dua anggota X-Factor iaitu, Zach dan Danny, masih kekal aktif dalam bidang lakonan.
Dalam tempoh panjang itu, Shah juga berhijrah ke Melbourne, Australia, dan bekerja sebagai penjaga warga emas.
Bagaimanapun, Shah, yang kini bekerja sebagai jurulatih kecergasan, mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia sekitar enam bulan sebelum pandemik Covid-19 melanda, bagi menjaga bapanya yang menghidap demensia.
Menurut Shah, keadaan bapanya semakin merosot selepas pemergian ibunya, dengan kesan penyakit itu semakin jelas dari semasa ke semasa.
“Selepas arwah mak meninggal dunia, saya dapat lihat keadaan bapa saya semakin teruk.
“Pernah suatu ketika, beliau mengejutkan saya pada 6 pagi kerana menyangka saya tertidur pada 6 petang,” kongsi Shah.
Shah turut pernah menetap di Pasir Ris, Singapura, buat sementara waktu selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang pramugari di sini.
Bagaimanapun, perkahwinan keduanya hanya berkekalan selama lima tahun.
Daripada perkahwinan pertama, Shah mempunyai seorang anak perempuan, Puteri Ariana Xara Safiya, yang kini berusia 12 tahun.
Ditanya mengenai soal kematangan selepas lebih dua dekad berlalu, anggota X-Factor mengakui mereka masih mengekalkan hubungan akrab dan sikap keanak-anakan yang pernah mencorakkan persahabatan mereka sejak zaman remaja.
Namun begitu, pengalaman hidup yang ditempuhi serta tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga banyak mencorak kematangan mereka kini, khususnya dalam mengimbangi kerjaya seni dan kehidupan berkeluarga.
“Saya rasa kami masih sama seperti dahulu. Setiap kali X-Factor berkumpul, sikap keanak-anakan itu masih ada.
“Tetapi apabila berbincang mengenai karya, di situlah kematangan kami terserlah.
“Begitu juga apabila bersama keluarga masing-masing,” kata Zach, yang mempunyai dua cahaya mata berusia tiga dan 11 tahun.
Jika dahulu perjalanan bergelar artis memerlukan proses panjang dan bimbingan berterusan, Danny pula melihat kemunculan media sosial telah mengubah sepenuhnya landskap industri hiburan kini.
Baginya, populariti yang dahulu perlu dibina melalui pertandingan bakat, pengalaman pentas dan latihan bertahun-tahun, kini boleh diraih dalam sekelip mata menerusi kuasa tular di alam maya.
Meskipun begitu, perubahan itu turut hadir dengan cabaran tersendiri apabila artis berdepan tekanan untuk kekal relevan di mata masyarakat.
“Perubahan paling ketara tentunya disebabkan pengaruh media sosial. Pada zaman kami, ramai yang menceburi bidang seni kerana minat, keikhlasan dan kecintaan terhadap muzik.
“Untuk bergelar artis, kami perlu melalui pelbagai peringkat seperti uji bakat, selain mendapat tunjuk ajar daripada individu yang berpengalaman dalam industri.
“Dalam era ini, media sosial memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk dikenali dengan cepat dan meraih populariti dalam tempoh singkat,” ujar Danny, yang memainkan peranan mengendalikan urusan sidang media kumpulan X-Factor.
Menyedari perubahan landskap hiburan, X-Factor turut memanfaatkan platform TikTok dengan mengadakan siaran langsung bagi mendekati peminat lama dan juga baru.
“Dulu, tugas artis lebih tertumpu kepada berkarya dan membuat persembahan. Soal promosi banyak dibantu oleh pihak perhubungan awam dan media.
“Sekarang keadaannya berbeza. Artis perlu lebih aktif menghasilkan kandungan sendiri dan sentiasa berinteraksi dengan peminat di media sosial.
“Kalau dulu peminat tunggu majalah keluar untuk tengok gambar atau baca cerita tentang artis. Kini, semuanya boleh didapati dengan mudah di media sosial.
“Sebab itu kami juga perlu sentiasa belajar dan mengikuti perkembangan teknologi supaya tidak ketinggalan,” kata Zach dan Danny sepakat.
Dalam masa terdekat ini, kumpulan X-Factor juga sedang mempersiapkan diri untuk mengeluarkan lagu terbaru berjudul, Walu-Walu, yang bermaksud ‘Saya Kamu’, dalam dialek Hokkien.
Walu-Walu ialah lagu berentak sederhana atau mid-tempo, yang menggabungkan unsur ‘city pop’ (persis trend muzik pop retro Jepun era 1970-an dan 1980-an) dan ‘hip-hop’, hasil ciptaan dan tulisan Jim sendiri.
“Jangan terkejut jika lagu baru kami nanti menampilkan gabungan bahasa Melayu, Inggeris dan sedikit bahasa Korea bagi menyesuaikan diri dengan cita rasa pendengar masa kini.
“Berbeza dengan dua album terdahulu yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, kali ini kami mahu tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan trend muzik semasa,” kata Zach.
Sementara itu, peminat boleh menantikan lagu Walu-Walu, yang akan diterbitkan pada 16 Jun di seluruh pelantar digital.
“
“Niat untuk melakukan ‘comeback’ (kemunculan semula) berputik setelah kami tampil dalam konsert Elite, yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 20 September 2025. Sejujurnya, kami tidak menyangka X-Factor masih lagi diterima peminat. Ketika membuat persembahan, ramai turut memberikan sorakan yang menggamatkan lagi suasana. Itulah yang membakar semangat kami untuk kembali ke dunia muzik.”