SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iskandar Shah syukur rezeki seni bertali arus, kini mahu lebih serius dalam lakonan

Iskandar Shah syukur rezeki seni bertali arus, kini mahu lebih serius dalam lakonan

Alumni Anugerah Skrin 2016 ingin cuba nasib di seberang Tambak
Apr 3, 2026 | 5:30 AM

Iskandar Shah syukur rezeki seni bertali arus, kini mahu lebih serius dalam lakonan

Ketika mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan, pelakon dan pengacara, Iskandar Shah Zulkifli, sempat hampir berputus asa.

Manakan tidak? Pengalaman menjalani penggambaran sebanyak 17 kali bagi satu babak, cukup memberi isyarat bagi dirinya, yang baru sahaja menyertai program realiti, Anugerah Skrin 2016, ketika itu, untuk tidak meneruskan lakonan secara serius.

“Pada awal pembabitan saya dalam bidang lakonan, saya menyangka setiap babak akan dirakam mengikut urutan dari awal hingga akhir.

“Namun, hakikatnya, setiap babak dirakam tanpa mengikut urutan. Pada masa itu, saya berlakon sebagai pegawai polis.

“Keadaan ini membuatkan saya berasa sangat tertekan, sehingga saya ‘over rehearsed’ atau terlebih berlatih.

“Saya terpaksa lakukan ‘take’ (penggambaran) sebanyak 17 kali… masa itu, Abang Faisal Ishak (pengarah), yang biasanya sangat santai pun sampai membuka set kepala dan mencampakkannya kerana terlalu geram.

“Sejak itu, saya mula rasakan seperti tiada lagi harapan untuk saya dalam dunia lakonan.

“Saya berada di samping pelakon lain yang begitu komited seperti Fir Rahman, Hasnul Rahmat, Norman Ishak, Shenty Feliziana dan Nurul Nabila, tetapi saya pula yang ‘merosakkan’ babak terakhir mereka.

“Waktu itu, jika saya tidak dapat melakonkan babak tersebut, mereka semua tidak akan boleh balik,” kata Iskandar, 33 tahun, seraya tertawa kepada Berita Harian (BH).

Bagaimanapun, pengalaman itu bukanlah kali terakhir buat Iskandar berlakon dalam naskhah arahan pengarah kelahiran Singapura, Faisal Ishak.

“Saya sudah tak nak berlakon selepas kejadian itu. Tetapi, entah bagaimana, saya dapat tawaran untuk berlakon watak sampingan dalam drama, Rapuh, pula.

“Lebih mengejutkan, Abang Faisal merupakan pengarah bagi drama tersebut.

“Satu kali itu, beliau pernah bertanya kepada saya, ‘Apa yang terjadi masa awal berlakon dulu?’

“Saya tak tahu nak jawab apa. Ia berlaku begitu sahaja.

“Saya akui pada ketika itu, saya memang tiada kemahiran untuk berlakon dan sedar diri tidak bagus.

“Namun, saya tidak berputus asa, dan teruskan gilap kemahiran lakonan. Alhamdulillah, sampai saat ini, kami masih berhubungan rapat,” ujarnya.

Kini, dengan 10 tahun pengalaman dalam dunia hiburan, dengan setiap cabaran watak, Iskandar galas dengan keyakinan yang kian matang, termasuk penglibatannya dalam drama, Riuh-Riuh Ramadan (Musim Tiga), siaran Mediacorp Suria, baru-baru ini.

Ia mengisahkan tentang pasangan baru bersara, Hashim Amin (lakonan Khairudin Samsudin) dan Junipah (Siti Hajar Gani), yang berharap dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana tenang.

Manakala, pasangan pengantin baharu, Khalid (Iskandar Shah) dan Muna (Farah Lola), teruja menantikan Hari Raya sambil menunggu rumah baharu mereka siap.

Namun begitu, perancangan mereka berubah apabila satu kebakaran memaksa ibu bapa Muna, Kassim (Najib Soiman) dan Rogayah (Wahyu Rahman), berpindah dan menumpang tinggal bersama hanya beberapa hari sebelum Ramadan tiba.

Drama itu telah menamatkan siaran pada 19 Mac.

“Watak yang saya bawakan, iaitu Khalid dalam drama, Riuh-Riuh Ramadan (Musim Tiga), tidaklah begitu mencabar.

“Sebaliknya, saya melihat Khalid sebagai watak yang paling ‘waras’ berbanding yang lain.

“Antara cabaran di set penggambaran adalah bagaimana untuk menahan ketawa dan kekal dalam watak.

“Barisan pelakon pula terdiri daripada individu yang sangat menghiburkan seperti Khairudin Samsudin, Siti Hajar Gani, Wahyu Rahman dan Farah Lola.

“Kami sentiasa berusaha menambah baik naskhah dengan bereksperimen melalui improvisasi dan ‘ad lib’ (dialog yang ditokok tambah secara spontan) secara bersama.

“Saya boleh katakan kami berjaya menyuntik elemen tersebut sekitar 95 peratus, manakala selebihnya mungkin diperhalusi dari sudut pengarahan agar tidak keterlaluan,” singkap anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu.

Sejak awal 2026, Iskandar sibuk mengendalikan tiga projek sekali gus termasuk mengacara program ‘info-ed’, Manja, dan menjayakan drama, Riuh-Riuh Ramadan (Musim Ketiga), serta Kaki Bola Kosong-Kosong.

Beliau meluahkan rasa syukur kerana pada tahap usia dan pengalaman kini, beliau berpeluang untuk terus bergiat dalam dunia hiburan secara sepenuh masa.

Peluang ini jarang-jarang dapat dirasakan oleh artis Singapura, akur Iskandar.

Berkongsi tentang pengalamannya sebagai pengacara program, Manja, selama tiga musim iaitu, antara 2023 dengan 2026, Iskandar mengakui beliau banyak belajar menyesuaikan diri dengan perkembangan digital mengikut arus semasa.

“Bagi saya, antara faktor yang membuat program, Manja, kekal relevan adalah usaha berterusan untuk menampilkan wajah baharu yang lebih segar dan muda.

“Walaupun ada pengacara berpengalaman, pasukan penerbitan tetap memastikan mereka sentiasa peka terhadap isu semasa serta perkara yang tular di media sosial.

“Namun begitu, Singapura ini negara yang kecil. Jadi, cabaran untuk menghasilkan idea yang segar dan menarik akan sentiasa wujud.

“Apatah lagi dalam era kini, maklumat mudah diperoleh di media sosial. Maka, pihak penerbitan terpaksa melakukan kajian yang lebih mendalam.

“Sebagai pengacara, kami juga perlu sentiasa peka, mengikuti perkembangan semasa dan melakukan kandungan menarik untuk dimuat naik ke laman media sosial.

“Kami juga melakukan tinjauan bersama masyarakat bagi menggali dengan lebih mendalam pandangan mereka,” ujarnya.

Di tengah-tengah kesibukannya, Iskandar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya, yang berusia 65 dan 70 tahun.

“Kedua ibu bapa saya kurang sihat. Bapa saya yang kini berusia 70 tahun, menghidap penyakit Parkinson (penyakit saraf progresif yang menjejas sistem pergerakan tubuh).

“Seiring peningkatan usia, keadaan sarafnya juga semakin lemah.

“Walaupun saya menetap di Bukit Panjang, sesekali saya akan pulang menjenguk ibu bapa saya di Bedok,” katanya.

Seterusnya, Iskandar berhasrat menumpukan lebih perhatian dalam bidang lakonan.

“Saya mengakui peluang dalam bidang pengacaraan sedikit sebanyak telah membuka ruang untuk saya menceburi dunia lakonan.

“Namun, di usia ini, kalau boleh saya mahu lebih fokus dalam bidang lakonan kerana kebanyakan pencalonan saya (di Pesta Perdana) juga datang daripada situ.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencuba nasib di pasaran Malaysia pula?,” kata Iskandar.

Drama, Riuh-Riuh Ramadan (Musim Ketiga), boleh ditonton semula di aplikasi mewatch atau wadah YouTube Mediacorp Drama.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg