Bagi pelakon tempatan, Suhaillah Salam, perjalanan seni tidak pernah mengenal titik noktah.

Semakin lama melangkah dalam bidang lakonan, semakin luas ruang yang menanti untuk diterokai dan dipelajari di sebalik setiap watak yang dibawa.

Begitulah juga yang dirasakan ketika menghidupkan watak Roslinda, seorang kaunselor keluarga yang digalasnya dalam drama terkini, Durrani: Perjuangan Lion Mum.

Ia menuntut cabaran tersendiri bagi dirinya, khususnya dalam meneroka sisi jenaka pada watak itu.

“Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya percaya setiap kali berada di set penggambaran, pasti ada perkara baru yang boleh dipelajari.

“Misalnya, watak Roslinda agak sukar dibawa kerana unsur jenakanya hadir secara semula jadi.

“Dia bukan jenis yang cuba melawak, tetapi sikap dan cara dia bertindak itu sendiri yang membuatkan orang rasa geli hati… itu yang mencabar.

“Bagaimanapun, ketika membawa mana-mana watak sekalipun, saya elakkan untuk ada sebarang rujukan pada watak serupa atau pelakon lain kerana tidak mahu kesannya terlalu terikut-ikut.

“Di samping itu, saya sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pengarah yang tahu tentang matlamat yang ingin dicapai.

“Sekurang-kurangnya, keadaan ini juga memudahkan saya untuk menghidupkan watak dengan lebih baik,” kata Suhaillah, 49 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.

Wawancara ini diadakan sempena penglibatan Suhaillah dalam drama terbabit yang kini ditayangkan di wadah Netflix.

Drama yang memuatkan 15 episod itu dipadankan daripada siri drama tempatan, Lion Mums, yang disiarkan di saluran Mediacorp Channel 5, selama empat musim iaitu pada 2015, 2017, 2019 dan 2021.

Durrani: Perjuangan Lion Mum memberi tumpuan pada perjalanan Durrani Mazlan (lakonan Nurul Aini) yang memulakan kerjaya baru dalam bidang undang-undang keluarga.

Pada masa sama, Durrani perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam hubungan keluarganya selain berdepan pelbagai cabaran peribadi.

Selain Suhaillah, drama itu turut dijayakan Fir Rahman, Fauzah M Noor, Johan Jaafar, Iskandar Mazlan, Dayang Nurbalqis dan Emre Hamizan.

Antara pelakon lain yang turut menjayakan drama ‘Durrani: Perjuangan Lion Mum’ termasuk Nurul Aini (kiri) dan Iskandar Mazlan.
Antara pelakon lain yang turut menjayakan drama ‘Durrani: Perjuangan Lion Mum’ termasuk Nurul Aini (kiri) dan Iskandar Mazlan. - Foto MEDIACORP

Bercakap tentang keadaan one take wonder atau menjayakan babak dalam satu rakaman sahaja, ia sememangnya menjadi impian setiap pelakon, apatah lagi ketika melakonkan adegan berat.

Bagaimanapun, menurut Suhaillah yang sudah 28 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, perkara itu juga bergantung kepada keadaan dan suasana ketika berada di set penggambaran.

“Saya percaya perkara itu memang boleh berlaku, terutama jika kita melakonkan babak secara bersendirian.

“Namun, apabila bergandingan dengan pelakon lain, semuanya bergantung kepada keadaan ketika itu.

“Selalunya, satu adegan memang memerlukan beberapa kali rakaman.

“Bagi watak Roslinda, ada ketikanya unsur jenaka itu tidak ‘sampai’ apabila babak sama perlu diulang berkali-kali.

“Namun begitu, saya akan terus mengulangi babak itu sehingga dapat.

“Mungkin ada sedikit perubahan dari segi pergerakan dan bahasa tubuh supaya ia kelihatan lebih semula jadi dan berkesan,” tambah pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam kategori Watak Utama – Siri Drama bagi naskhah, Bidadari, pada Pesta Perdana 2024, itu.

Pada acara sama, beliau turut mengekalkan prestasi sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam kategori Watak Utama – Drama Khas/Antologi, menerusi lakonannya dalam telefilem khas Hari Raya Aidiladha, Tiga Hari Ke Korban.

Selain itu, pada usia yang kini menginjak ‘50 sen’, Suhaillah mengakui inilah kali pertama beliau menerima tawaran berlakon dalam naskhah teater berjudul, P., arahan Rizman Putra.

Persembahan itu berlangsung pada akhir Mac lalu, di Centre 42, sekitar 42 Waterloo Street.

Pada awalnya, beliau hanya mahu memenuhi permintaan seorang rakan seni yang juga penulis, Raimi Safari.

Namun tanpa disangka, pengalaman itu membuka ruang baru buat Suhaillah untuk mencabar diri sekali gus mematangkan lagi dirinya sebagai pelakon.

Tidak hanya itu, beliau turut berpeluang berkongsi pentas dengan nama besar dunia teater setempat seperti Siti Khalijah Zainal, Dalifah Shahril, Farah Ong dan Moli Mohter.

“Sebelum memasuki usia 50 tahun, saya anggap peluang berlakon teater ini sebagai satu ‘bonus’ dalam perjalanan kerjaya lakonan saya.

“Menariknya, naskhah ini sangat dekat dengan kehidupan wanita yang sudah berkahwin.

“Walaupun tempoh latihan tidak panjang, sekurang-kurangnya saya dapat juga rasai pengalaman beraksi di atas pentas.

“Pada awalnya, saya dimaklumkan kami cuma perlu membaca skrip. Tetapi apabila masuk sesi kedua, rupanya sudah ada pengarah hebat iaitu, Rizman.

“Daripada hanya duduk membaca, kami mula bergerak, menari, berentap rap dan berbalas pantun. Pada masa itu, terus saya cakap kepada Raimi, ‘Kau memang dah kenakan aku betul-betul!’

“Yang buat saya lagi gemuruh, anak-anak saya turut datang menonton persembahan itu.

“Beraksi di depan 60 penonton pun saya rasa macam berada di hadapan 6,000 orang!,” seloroh ibu dua anak perempuan berusia 20 dan 29 tahun itu.

Seterusnya, Suhaillah bakal tampil dalam telefilem khas Hari Ibu, Rindu Yang Teramat, terbitan Echo Entertainments, yang akan disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 8 Mei, bermula 9.30 malam.

Telefilem itu mengisahkan tentang ikatan kekeluargaan serta kerinduan seorang ibu yang mengharapkan anaknya kembali berdamai dan mengeratkan semula hubungan sesama adik-beradik.

Suhaillah memegang watak Rini, kakak sulung yang mempunyai dua adik lelaki, masing-masing dilakonkan oleh pelakon tempatan, Rizal Aiman, dan penyanyi rap Malaysia, MK K-Clique.

Sementara itu, mengulas mengenai penampilannya yang kini berhijab pula, Suhaillah berkata keinginan berhijrah sebenarnya sudah lama terdetik dalam hati.

Malah, selepas tampil berhijab, pelakon drama, Cinta Bollywood dan Kultus, itu kini lebih selesa mendapatkan pandangan suami terlebih dahulu sebelum menerima mana-mana tawaran lakonan.

“Keinginan untuk berhijab sebenarnya sudah lama saya simpan dalam hati. Cuma, mungkin dulu saya belum benar-benar bersedia untuk memakainya.

“Biasanya, saya akan ambil peluang berhijab ketika Ramadan dan Syawal. Sebelum ini pun, setiap kali menghadiri kelas agama, saya memang akan bertudung.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan saya semakin selesa dengan penampilan itu.

“Kalau soal memilih watak, sebenarnya sejak dahulu lagi saya memang agak memilih, terutama sejauh mana saya mampu menjiwai watak itu.

“Kini, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan suami sebelum menerima sebarang tawaran supaya ia benar-benar bersesuaian dengan diri saya ketika ini, kerana saya percaya reda suami itu sangat penting,” kata Suhaillah.

“Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya percaya setiap kali berada di set penggambaran, pasti ada perkara baru yang boleh dipelajari. Misalnya, watak Roslinda agak sukar dibawa kerana unsur jenakanya hadir secara semula jadi. Dia bukan jenis yang cuba melawak, tetapi sikap dan cara dia bertindak itu sendiri yang membuatkan orang rasa geli hati… itu yang mencabar.”
Suhaillah Salam.