Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeristiwa hitam jadi pengajaran Sarah bangkit bimbing pembeli peribadi lain
Peristiwa hitam jadi pengajaran Sarah bangkit bimbing pembeli peribadi lain
Kes tak isytihar GST barangan jenama: Juara Anugerah 2009 dedah kepahitan dibelenggu kemurungan akibat kecaman ramai
Peristiwa hitam jadi pengajaran Sarah bangkit bimbing pembeli peribadi lain
Nama penyanyi tempatan, Sarah Aqilah, pernah menjadi bualan ramai apabila satu kesilapan lampau meninggalkan titik hitam yang mengubah kerjaya serta perjalanan hidupnya.
Sehingga kini, peristiwa kelam itu masih lagi membekas dalam ingatan.
Sarah, atau nama sebenarnya, Nur Sarah Aqilah Sumathi, 42 tahun, mula bergiat secara rasmi sebagai pembeli peribadi pada 2015.
Pada 2017, Juara Anugerah 2009 itu turut menawarkan khidmat pembelian peribadi dan pengurusan tempahan serta urusan pelanggan ketika berada di luar negara.
Bagaimanapun, pada 2019, Sarah didapati bersalah kerana tidak mengisytiharkan serta membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barangan berjenama yang dibawa masuk ke Singapura.
Akibatnya, Sarah harus membayar denda $30,600 kerana gagal membayar GST bagi barangan berjenama yang dibeli di luar negara untuk dijual semula menerusi laman Instagram, antara 2015 dengan 2017.
Nilai keseluruhan barangan tersebut pula dianggar melebihi $205,980.
Mengimbau kembali pengalaman pahit maung tersebut, penyanyi bagi runut bunyi rasmi (OST) drama popular, Nora Elena, Biar Hati Mencintai itu, mengakui kesilapan tersebut benar-benar berpunca daripada kekhilafannya sendiri.
“Saya rasa sangat berkecamuk pada masa itu. Manakan tidak? Satu Singapura tahu tentang kisah saya.
“Tiada kemungkinan bagi saya untuk menyembunyikan diri lagi pada waktu itu.
“Mungkin, bila difikirkan semula, saya cuma berharap netizen ketika itu dapat melayan saya dengan lebih baik.
“Tetapi, ketika itu, saya juga rasa tiada lagi orang yang patut disalahkan kecuali diri saya sendiri.
“Kini saya lebih tahu… memang undang-undang di Singapura tidak boleh dibuat main.
“Saya dapat belajar lebih dalam tentang apa yang sebelum ini saya kurang tahu seperti pentingnya untuk ada lesen dan kewajiban membayar cukai,” ujar Sarah kepada Berita Minggu (BM), dalam satu sesi wawancara melalui Zoom, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sarah masih meneruskan kerjayanya dalam bidang khidmat pembelian peribadi di laman Instagram menerusi Fashlux Avenue.
Hikmah daripada kejadian itu, Sarah juga mendapati ramai individu yang menjalankan khidmat pembelian peribadi tampil mendapatkan nasihat daripadanya tentang langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan sama.
“Selepas kejadian itu, saya menerima banyak pesanan daripada individu dalam bidang yang sama, bertanyakan perkara yang perlu mereka lakukan sebelum membuat pembelian bagi pihak pelanggan.
“Saya pun berkongsi pandangan serta membimbing mereka tentang perkara yang perlu dilakukan, dan bersyukur kerana dapat membantu dan berkongsi pengalaman yang ada,” tambahnya.
Ketika berdepan tekanan isu yang melanda dirinya pada waktu itu, Sarah sedang hamil anak ketiganya, Anas Abdul Mateen Mohd Jabbaar, yang kini berusia lapan tahun.
Beliau merupakan ibu tiga lagi cahaya mata berusia lapan bulan, 10 tahun dan 14 tahun.
Malah, dek tekanan yang dihadapinya, Sarah turut berdepan masalah kemurungan.
“Pada waktu itu, saya sampai tidak mampu berhadapan dengan orang lain. Malah, suami saya terpaksa mengambil alih untuk menjaga anak-anak kami.
“Adakalanya, nak keluar rumah pun susah kerana orang akan pandang saya semacam.
“Berat badan saya juga turun mendadak dek susah makan.
“Dalam masa yang sama, saya sedang hamil anak ketiga masa itu.
“Saya selalu terfikir, ‘Adakah bayi saya okey?’, dalam keadaan saya seperti ini.
“Bila dikenang semula, saya sendiri tertanya-tanya mengapa saya begitu terkesan hanya disebabkan kata-kata orang?,” katanya yang berumah tangga dengan ejen hartanah, Mohammad Jabbaar Kamsani, 44 tahun.
Meskipun kejadian itu sudah berlalu sekitar tujuh tahun, Sarah akur masih berdepan tohmahan daripada segelintir pihak.
“Baru-baru ini juga, ada orang yang ‘melemparkan’ kata-kata tidak baik pada saya di laman TikTok.
“Namun, dengan mudah saya berkata, setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan daripada situlah kita belajar.
“Kini, saya lebih matang dalam menguruskan perniagaan, dan siapalah kita untuk menghakimi orang lain ’kan?,” kata Sarah.
