Jika minggu pertama meninggalkan tanda tanya tentang hala tuju pertandingan realiti di seberang Tambak, Big Stage X Rocketfuel, anjuran Astro, minggu kedua pula mula memperlihatkan gambaran yang lebih jelas.

Namun begitu, satu persoalan masih lagi belum terjawab dalam fikiran saya iaitu, ‘Di manakah peserta yang memiliki aura seorang bintang?’

Menjengah ke laman Threads, beberapa pengguna meluahkan pandangan kebanyakan peserta masih belum menyerlah dari segi personaliti dan aura pentas.

Peserta Big Stage X Rocketfuel mungkin mempunyai vokal yang baik, namun belum ada keunikan yang mampu membuatkan penonton mengingati nama mereka sebaik sahaja persembahan tamat.

Bagi saya, kritikan itu sebenarnya tidak jauh tersasar kerana selepas dua minggu, hanya segelintir peserta yang benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton.

Bagaimanapun, jika ada yang benar-benar mencuri perhatian saya pada minggu ini, ia bukanlah peserta yang bertanding, sebaliknya barisan juri yang tampil.

Mereka lebih menonjol menerusi komen bernas dan membangun, sepanjang siaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, di saluran Astro Ria.

Bak kata warga Threads, juri generasi milenial seperti Hael Husaini, 38 tahun; dan Akim Ahmad, 35 tahun; bersama wakil generasi baru, Aisha Retno, 25 tahun, membuktikan mengapa mereka layak mengisi kerusi juri.

Komen yang diberikan bukan sekadar kritikan kosong, sebaliknya bersifat teknikal, membina dan tepat menyentuh punca kelemahan, selain disusuli cadangan penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan peserta.

Ada pula yang berseloroh menyamakan Akim dengan pemuzik dan penggubah lagu terkenal, Ajai, kerana dikatakan ‘kedekut’ memberi markah.

Ketiga-tiga mereka juga jelas memahami kehendak industri muzik masa kini, yang bukan lagi bergantung kepada vokal semata-mata, malah turut menitikberatkan konsep persembahan, penceritaan, pergerakan pentas dan identiti artis.

Antara detik yang paling mencuri perhatian saya sudah tentu ketika Hael mengulas persembahan penyanyi BBNU atau ‘Budak Baru Nak Up’, Danial Kifli, 23 tahun.

Saya secara peribadi berasa persembahan Danial seperti tiada arah yang jelas.

Beliau memilih untuk membawa watak ‘psiko’ menerusi lagu, Harapalsu, nyanyian asal, Arghpiez.

Namun begitu, konsep yang cuba dipersembahkan tidak selari dengan apa yang diharapkannya.

Suasana misteri yang dibina pada awal lagu terputus apabila unsur tarian rumba diselitkan secara mendadak, menjadikan keseluruhan persembahan terasa tidak tekal.

Jalan cerita persembahan itu akhirnya kelihatan bercelaru.

Sebab itu apabila Hael bertanya, “Jadi, lagu ini cerita pasal apa?”, saya hampir tergelak kecil.

Dengan renungan mata dan riak wajah Hael ketika itu, memang jelas beliau tidak berpuas hati.

Secara tidak langsung, soalan itu mewakili apa yang mungkin sedang difikirkan oleh ramai penonton di rumah.

Tema minggu kedua iaitu, Amplify, memang mewajibkan peserta menyanyi sambil menari, tetapi tarian tidak sepatutnya dilakukan sekadar memenuhi syarat pertandingan sahaja.

Pergerakan Danial juga kelihatan kaku, tidak mengikut tempo dan kurang kemas sehingga menyebabkan keseluruhan persembahan tampak tidak teratur.

Apabila unsur persembahan tidak menyokong lagu, ia akhirnya menjadi gangguan, bukannya nilai tambah.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya sedikit terganggu adalah cara pengacara berpengalaman, Nabil Ahmad, 42 tahun, mengendalikan segmen ulasan juri.

Ketika Hael sedang memberikan teguran dan pembetulan kepada peserta, beliau dilihat cuba menyelitkan jenaka hampir pada setiap kesempatan, sekali gus mengganggu tumpuan terhadap komen yang sedang disampaikan.

Tidak dinafikan, Nabil mempunyai identiti sebagai penghibur, namun, ada ketika suasana perlu dibiarkan serius supaya komen juri dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Terlalu banyak selingan jenaka menyebabkan detik yang sepatutnya memberi kesan kepada peserta akhirnya sedikit tenggelam.

Berbalik pada sudut persembahan peserta, kumpulan duo melibatkan pasangan adik-beradik, Nazmie Malek (Nazmie), 25 tahun; dan Adam Malek (Adam), 30 tahun, terus membuktikan ketekalan mereka apabila sekali lagi tampil dengan persembahan mantap.

Keserasian dua beradik itu jelas kelihatan di atas pentas ketika menyanyikan lagu, C.H.R.I.S.Y.E., dendangan asal kumpulan Diskoria, Laleilmanino dan Eva Celia, dari Indonesia.

Harmoni vokal yang mantap, gerakan pentas yang kemas dan komunikasi sesama sendiri menjadikan persembahan mereka terasa lebih matang berbanding kebanyakan peserta lain.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam carta persembahan dengan markah keseluruhan 70 peratus.

Sementara itu, Juara Idola Kecil 5, Ranisha, 26 tahun, pula berjaya mencuri perhatian ramai menerusi lagu berbahasa Korea, I Will Show You, nyanyian asal Ailee.

Juara ‘Idola Kecil 5’, Ranisha, berjaya mencuri perhatian ramai menerusi lagu berbahasa Korea, ‘I Will Show You’, nyanyian asal Ailee.
Juara ‘Idola Kecil 5’, Ranisha, berjaya mencuri perhatian ramai menerusi lagu berbahasa Korea, ‘I Will Show You’, nyanyian asal Ailee. - Foto ASTRO

Sebutan yang jelas mencerminkan kesungguhannya membuat persiapan, manakala kesediaannya mengikut gerak tarian yang rancak membuktikan keberanian untuk keluar daripada zon selesa.

Ranisha, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan gaya persembahan ala penyanyi terkenal, Aina Abdul, kali ini berjaya mempamerkan sisi berbeza yang lebih serba boleh.

Ini melayakkan beliau berada di tangga kedua dalam carta persembahan dengan markah 71.67 peratus.

Namun begitu, pemilihan kostumnya sedikit mengecewakan.

Walaupun menggunakan rona merah jambu terang yang sepatutnya menyerlahkan persembahan, rekaannya kelihatan terlalu sederhana dan gagal mencerminkan sisi ceria serta bertenaga yang cuba dibawakan menerusi lagu tersebut.

Isu busana sebenarnya bukan hanya membabitkan Ranisha.

Pengarah dan penerbit, Michael Ang, 55 tahun, turut membangkitkan perkara sama di Threads apabila menyifatkan sesetengah busana peserta seperti ‘langsir baldu’ dan ada pula yang membuatkan peserta kelihatan jauh lebih dewasa daripada usia sebenar.

Dalam pertandingan yang bertujuan melahirkan bintang baru, penampilan peserta seharusnya dititikberatkan.

Busana yang dipilih patut membantu menyerlahkan identiti peserta, bukannya menenggelamkan personaliti mereka.

Selain itu, strategi penerbitan menampilkan Naib Juara, Talk To My Manager 2 (TTMM2), Hussain, 23 tahun, sebagai peserta terakhir turut mengundang perhatian saya.

Dari perspektif penyiaran, strategi itu mungkin ada logiknya kerana Hussain merupakan antara peserta yang paling dinanti-nantikan penonton sejak kemunculannya dalam TTMM2.

Ini sekali gus menjadikan persembahannya sebagai tarikan utama bagi memastikan penonton terus kekal mengikuti siaran sehingga tamat.

Bagaimanapun, strategi itu juga secara tidak langsung berisiko mewujudkan tanggapan tumpuan utama pertandingan lebih banyak terarah kepada peserta tertentu berbanding yang lain.

Dalam pertandingan seperti ini, setiap peserta wajar diberikan peluang sama rata untuk menyerlah dan meninggalkan kesan kepada penonton.

‘Big Stage X Rocketfuel’ boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), setiap Ahad mulai 9 malam.