Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah Jack Neo terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

Legasi seni sepanjang 50 tahun dalam industri perfileman S’pura, dirai serta diiktiraf
Dec 30, 2025 | 4:34 PM
Jack Neo, Singapore Director, Ah Boys to Men
Naskhah pengarah popular Singapura, Jack Neo, tidak sekadar menghiburkan, malah merakam denyut nadi masyarakat Singapura melalui layar lebar sepanjang lebih 50 tahun, dan masih kekal malar segar. - Foto INSTAGRAM JACK NEO

Jika menonton karya filemnya di pawagam, pasti penonton tidak akan kering gusi.

Begitulah ‘penangan’ naskhah pengarah popular Singapura, Jack Neo, 65 tahun, yang tidak sekadar menghiburkan, malah merakam denyut nadi masyarakat Singapura melalui layar lebar sepanjang lebih 50 tahun, dan masih kekal malar segar.

Daripada tawa ringan hingga sindiran sosial yang tajam, karya Neo telah menjadi cerminan kehidupan seharian yang dekat di hati penonton tempatan.

Atas sumbangan luar biasanya itu, pembikin filem ikonik tersebut bakal menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, daripada Persatuan Filem Singapura (SFS).

SFS berperanan sebagai pusat penganjuran festival dan kegiatan perfileman di negara ini. 

Sejak penubuhannya pada 1958, badan tidak mengaut untung itu secara konsisten telah membina dan menyajikan masyarakat peminat filem dengan pelbagai program serta acara yang dikurasi secara rapi.

Anugerah berprestij tersebut akan disampaikan dalam sebuah acara malam gala khas bertajuk, ‘Ah Boy To Director Liang’, pada 2 Januari 2026, di pawagam GV Max, Golden Village VivoCity, bermula 6 petang.

Acara istimewa itu turut disusuli dengan tayangan filem arahannya yang mendapat pujian tinggi iaitu, Homerun, yang diterbitkan pada 2003.

Homerun ialah sebuah karya yang masih kekal relevan dalam menyingkap nilai kekeluargaan, persahabatan dan impian masa kecil. 

Lebih manis, SFS turut menjemput 100 peminat bertuah untuk hadir secara langsung dan meraikan detik bermakna bersama.

Di samping itu, perjalanan seni Neo merangkumi peranannya sebagai pelakon, penulis, pengarah dan penerbit, menjadikan dirinya antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap hiburan Singapura. 

Bermula sebagai pelawak televisyen yang mencetuskan fenomena di Mediacorp Channel 8, beliau kemudiannya mengorak langkah sebagai pengarah filem yang berjaya menghasilkan antara karya tempatan paling berpengaruh dan mencatat kutipan pecah panggung tertinggi. 

Melalui rentetan filemnya, Neo secara konsisten mengangkat kisah masyarakat setempat dengan unsur jenaka ringan, kedalaman emosi yang tulus serta pemerhatian sosial yang tajam.

Menurut Pengerusi SFS, Encik Kenneth Tan, karya Neo mencerminkan realiti masyarakat, mengundang tawa terhadap kelemahan sendiri sambil mengajak penonton berfikir secara kritikal tentang cabaran hidup dan nostalgia yang dikongsi bersama masyarakat Singapura.

“Neo bukan sekadar pembikin filem, malah beliau juga seorang pencerita bangsa.

“Ia merupakan satu penghormatan besar dapat mengiktiraf sumbangan luar biasa Neo dalam membangunkan dan memartabatkan dunia perfileman Singapura,” kata Encik Tan dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah rentetan filem francais seperti Money No Enough, I Not Stupid, dan Ah Boys to Men, bukan hanya karya hiburan semata-mata, malah telah menjadi rujukan budaya Singapura yang membentuk pemikiran dan kenangan rentas generasi.

Bagi meraikan sumbangan Neo, acara malam gala itu turut menampilkan kemunculan semula rakan kerjasama serta barisan pelakon daripada beberapa filem ikonik Neo antaranya, Money No Enough dan Ah Boys to Men.

Kemuncak acara penyampaian anugerah itu bakal diikuti sesi dialog di atas pentas bersama Neo.

Ini lantas memberikan peluang keemasan kepada penonton bagi menyelami perjalanan kreatif serta falsafah seni Neo, yang telah membina dan memperjuangkan industri filem Singapura selama separuh abad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg