Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sanif Olek selami identiti Boyan dalam filem pendek

‘Aidil’ dan ‘Ada Jalan’ tinjau isu kehilangan menyentuh kalbu dalam suasana kesingapuraan
Dec 5, 2025 | 5:30 AM
Sanif Olek, IMDA, SG Story, Boyan, Ada Jalan, Aidil
Dua filem pendek pengarah, penerbit dan penulis lakon layar, Sanif Olek, iaitu ‘Aidil’ dan ‘Ada Jalan’ merupakan antara naskhah yang disertakan dalam kempen ‘Our Singapore, Our Stories’ atau SG Story, anjuran Persatuan Penerbit Bebas Singapura (AIPRO), dan disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA). - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Nama pengarah, penerbit sekali gus penulis lakon layar, Sanif Olek, 54 tahun, tentu tidak asing lagi dalam industri seni perfileman Singapura.

Antara karya yang menjadi titik penting dalam perjalanan seninya ialah filem Sayang Disayang, yang menyatukan lakonan penuh jiwa oleh penggiat teater mapan, Alin Mosbit, dan bintang veteran dari seberang, Datuk Rahim Razali.

Ditayangkan pada 2013, filem tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul Anugerah Juri Khas bagi Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Salamindanaw, Filipina, pada 2013.

Kejayaan itu diteruskan apabila ia turut memenangi Anugerah Muzikal Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Mexico pada 2014.

Lebih membanggakan lagi, karya tersebut telah dipilih sebagai wakil rasmi Singapura bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Academy Ke-87 (Oscars 2015).

Tak cukup itu, baru-baru ini, kisah dan sumbangan Sanif dalam masyarakat Melayu Singapura melalui rentetan karyanya yang lantang menyuarakan renungan sosial itu turut disertakan dalam laman web khas di portal Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) iaitu, Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau Prominent Malays of Singapore (PMoS).

Menyingkap pencapaian itu dengan penuh keterujaan, beliau berkata kepada Berita Harian (BH):

“Ia satu perasaan yang sukar digambarkan. Sangat mengharukan dan mengejutkan juga!

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berada sebaris dengan tokoh besar Melayu Singapura lain seperti Presiden pertama, Allahyarham Yusof Ishak, mahupun Sasterawan Negara yang juga seorang pendidik disegani, Allahyarham Cikgu Muhammad Ariff Ahmad.

“Mereka inilah insan-insan yang saya jadikan teladan sejak kecil dan amat saya hormati.

“Di samping itu, saya juga berasa rendah hati apabila mengetahui karya saya mampu menyentuh hati ramai dalam kalangan Melayu di Singapura.”

Projek PMoS ini merupakan kerjasama antara NLB dan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan telah dilancarkan pada 11 Oktober.

Laman web tersebut mengabadikan kisah kehidupan dan sumbangan lebih 100 tokoh Melayu yang membentuk sejarah dan warisan negara ini sepanjang 60 tahun lalu, iaitu sejak kemerdekaan pada Ogos 1965.

Dalam perkembangan lain, dua filem pendek hasil arahan Sanif iaitu Aidil dan Ada Jalan, merupakan antara naskhah terpilih bagi kempen ‘Our Singapore, Our Stories’ atau SG Story, anjuran Persatuan Penerbit Bebas Singapura (AIPRO), dan disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), inisiatif ini diwujudkan untuk membuka ruang kepada pengkarya tempatan berkarya dengan lebih bebas, sambil menyediakan sokongan bagi merealisasikan hasil karya yang bernilai.

Sebanyak 150 filem pendek berhasil dikumpulkan sebagai cerminan yang memaparkan kepelbagaian identiti Singapura – merentasi bahasa, kaum serta genre filem daripada komedi, dokumentari hinggalah animasi.

Setiap pengkarya turut digalakkan meneroka pendekatan baru lagi segar, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif bagi menghidupkan lagi penceritaan filem pendek.

Diterbitkan syarikat penerbitan Reeljuice, filem Aidil mengisahkan tentang seorang lelaki, Aidil (lakonan Junaidi Sali), yang hanya mempunyai sisa dua bulan untuk hidup.

Beliau kemudian kembali ke kejiranan zaman kanak-kanaknya dan menemukan semula semangat hidup setelah bertemu wanita tua (J Rosmini) yang telah kehilangan segala-galanya, namun tetap memilih untuk berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Ada Jalan menceritakan tentang seorang penjaja makanan, Razak (Hamzah Adon) yang dililit dugaan dalam perniagaan dan terpaksa menjadi pemandu peribadi.

Pendek kata, Ada Jalan meneroka tema dan nilai seperti maruah, kehilangan insan tercinta dan tanggungjawab seorang bapa.

Dalam pada itu, Sanif mengekalkan sentuhan peribadi dengan menampilkan jati diri dan akar Boyan dalam filem yang dihasilkan itu.

“Seperti umum tahu, kisah Singapura ini kaya dengan kepelbagaiannya.

“Bagaimanapun, saya juga tidak ingin melupakan asal-usul saya sebagai Melayu Boyan di Singapura.

“Amat menarik jika saya dapat teroka nuansa ini dalam karya saya, lebih-lebih lagi di peringkat nasional.

“Satu lagi tema yang dekat di hati saya ialah kematian, kedukaan serta semangat sukarelawan.

“Ramai mungkin menganggap topik kematian terlalu berat untuk dibincangkan.

“Namun, menceritakan kisah Singapura bukan sahaja tentang kepelbagaian budaya dan bahasa, malah ia turut menyentuh perbualan peribadi mengenai pengalaman sebenar rakyat Singapura,” jelas Sanif.

Lebih menarik lagi, filem pendek ini juga dihasilkan dalam format 9:16, iaitu dalam bentuk potret.

Format ini lebih sesuai bagi hantaran video yang dimuat naik di laman TikTok mahupun Instagram.

Selain itu, Sanif mengakui menghasilkan filem pendek dalam format ini membawa cabaran tersendiri dari segi penggambaran.

“Ada beberapa penyesuaian yang perlu dibuat kerana format ini agak unik untuk filem. 

“Sebagai contoh, ketika melakukan ‘close-up’, format menegak ini menghasilkan perbezaan yang ketara dari segi kedalaman emosi yang ingin disampaikan.

“Namun begitu, dari sudut penyuntingan, ia membolehkan kami menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ekspresi pelakon, tanpa terlalu memikirkan keadaan latarnya – sama ada harus ‘dicantikkan’ atau ditiadakan,” ujar Sanif.

Filem Aidil dan Ada Jalan boleh ditonton di laman web SG Story menerusi pautan https://www.sgstory.sg/

Ia juga boleh ditonton melalui laman TikTok SG Story.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg