Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah Indonesia, Mouly Surya cipta filem sejarah hasil kolaborasi tujuh negara

Karya ‘Perang Kota’ akan ditayangkan pada 5 Dis, di Golden Village Vivo Max, sempena SGIFF edisi ke-36
Dec 1, 2025 | 5:30 AM
Pengarah dan penulis skrip Indonesia, Mouly Surya, menegaskan kerjasama antara negara amat penting untuk mengukuhkan industri filem serantau agar setanding dengan peringkat antarabangsa.
Pengarah dan penulis skrip Indonesia, Mouly Surya, menegaskan kerjasama antara negara amat penting untuk mengukuhkan industri filem serantau agar setanding dengan peringkat antarabangsa. - Foto ihsan MOULY SURYA

Di Indonesia, sutradara dan penulis skrip wanita, Mouly Surya, 45 tahun, dikenali melalui karya yang lantang dalam menyampaikan kritikan sosial.

Beliau turut melakar kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi Marlina the Murderer in Four Acts (2017) dan Trigger Warning (2024), naskhah bahasa Inggeris pertamanya yang turut menampilkan bintang Hollywood, Jessica Alba.

Sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) edisi ke-36, filem ‘This City is a Battlefield’ atau Perang Kota arahan Mouly, bakal menemui penonton Singapura pada 5 Disember di pawagam Golden Village Vivo Max.

Sebelum ini, filem terbabit dipilih sebagai tayangan filem penutup bagi Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) di Rotterdam, the Netherlands, pada Februari lalu.

Bernaung di bawah Festival Media Singapura 2025 anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), SGIFF yang merupakan acara filem terbesar dan terlama dianjurkan di Singapura, berlangsung antara 26 November dengan 7 Disember.

Karya Perang Kota diadaptasikan daripada novel Jalan Tak Ada Ujung, tulisan Mochtar Lubis yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada 1952.

Filem tersebut berlatarbelakangkan tempoh tiga tahun selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, hingga Belanda cuba menuntut semula kuasa.

Ia mengisahkan seorang guru dan bapa penyayang, Isa (lakonan Chicco Jerikho) yang turut terlibat dalam perjuangan gerila menentang penjajahan Belanda bersama Hazil (Jerome Kurnia), pemuda panas baran yang diam-diam menaruh perasaan terhadap isteri Isa, Fatimah (Ariel Tatum).

Segalanya menjadi lebih rumit apabila satu komplot untuk membunuh pegawai Belanda dirancang, sekali gus mengheret mereka ke dalam konflik yang menguji bukan sahaja prinsip perjuangan, malah hubungan kekeluargaan dan persahabatan. 

Menurut Mouly, naskhah ini adalah percubaan sulungnya dalam genre filem sejarah, melibatkan kolaborasi antara tujuh negara termasuk Indonesia, Singapura, Belanda, Perancis, Norway, Filipina dan Kemboja.

“Kerjasama dengan penerbit filem bersama seperti Anthony Chen dari Singapura, dan Isabelle Glachant dari Perancis misalnya, sangat penting bagi saya. 

“Mereka banyak memberikan maklum balas ketika pembangunan skrip dan proses suntingan, yang membantu membentuk filem ini.

“Kerjasama dengan pihak Belanda pula amat kritikal, khususnya dalam pemilihan pelakon Belanda asli demi mengekalkan kesahihan cerita.

“Dalam penghasilan filem ini, kami mahu mengekalkan rasa dinamik.

“Sehubungan itu, kami memutuskan untuk merakam di lokasi sebenar, termasuk bangunan-bangunan lama di Surabaya dan Semarang, bagi menampilkan suasana Jakarta pada 1945.

“Namun, proses ini juga memerlukan penggunaan kesan gambar yang meluas bagi kesinambungan set kerana elemen moden seperti kafe Starbucks muncul berhampiran bangunan lama tersebut,” kata Mouly ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.

Di sebalik keterujaannya membawa filem ini ke SGIFF, Mouly turut berharap ia dapat memberi penonton, baik di dalam mahupun di luar negara, pandangan baru tentang sejarah yang kurang diketahui ramai.

Menyentuh tentang peranan SGIFF dalam memperkasakan suara dan bakat dalam dunia perfileman, Mouly menekankan kerjasama rentas sempadan amat penting bagi memperkukuh industri perfileman serantau supaya mampu bersaing secara sihat dengan negara besar seperti Korea Selatan, Jepun dan China. 

“Dengan semakin bertambahnya festival filem di Indonesia dan juga festival seperti SGIFF, saya yakin minat penonton terhadap filem yang mencabar norma dan inovatif akan terus berkembang. 

“Saya turut berharap dapat terus bertahan (dalam industri ini) dan menghasilkan karya yang bukan sahaja memuaskan hati saya, malah juga membanggakan penonton di Indonesia mahupun di rantau ini.

“Selain itu, saya ingin lihat industri filem Indonesia berkembang secara menyeluruh, dengan kemunculan lebih ramai pengarah muda, penonton muda yang lebih kritis, serta kerjasama yang lebih teratur antara negara serantau.

“Dengan usaha bersama dan kerjasama sihat, saya yakin kita mampu menghasilkan karya filem yang cemerlang di peringkat antarabangsa sambil memperlihatkan kepelbagaian budaya dan pandangan unik kita,” ujar Mouly.

Bagi mereka yang berminat untuk menonton filem ‘This City is a Battlefield’ (Perang Kota), boleh mendapat tiket di laman web Sistic menerusi pautan https://sistic.com.sg/events/sgiff2025

Tiket juga boleh didapatkan dengan menggunakan Pas Budaya SG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg