Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF), yang merupakan sebahagian daripada Festival Media Singapura 2025 anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), kembali bagi edisi ke-36, antara 26 November dengan 7 Disember.
Selama lebih tiga dekad, SGIFF menjadi tonggak budaya bagi negara dan rantau ini, memberi ruang kepada yang mahu mengetengahkan suara berani dan memupuk bakat baru dalam industri perfileman.
Dalam acara kali ini, ia bukan sahaja satu bentuk perayaan, malah dorongan membina agar kisah Singapura dapat terus disingkap dan dilestarikan, di samping memastikan masyarakat seni kekal bersatu padu agar seni tempatan dapat terus berkembang dalam arus masa yang sukar dijangkakan.
Dalam memperkukuh komitmen mengetengahkan kisah tempatan, SGIFF 2025 akan menampilkan lebih 30 filem panjang dan pendek oleh barisan penggiat filem Singapura serta hasil kerjasama antarabangsa.
Menariknya, pilihan filem pendek tempatan bagi 2025 telah meningkat dua kali ganda berbanding 2024, dengan sejumlah 28 karya dipertonton melalui Pertandingan Filem Pendek Asia Tenggara dan Singapore Panorama.
Berita Harian (BH) menyenaraikan beberapa filem yang diketengahkan dalam SGIFF 2025:
At Home With Work ialah sebuah dokumentari sentuhan pengarah Singapura, Adar Ng dan Dave Lim, mengenai kehidupan empat usahawan yang bekerja dari rumah.
Dalam menghadapi tekanan menyorot kehidupan mereka sebagai bahan kandungan serta tontonan media sosial, garisan antara kehidupan peribadi dengan pekerjaan semakin kabur.
Filem ini memaparkan bagaimana setiap keluarga cuba mengimbangi tanggungjawab antara menjaga ahli keluarga lain dengan memenuhi keperluan diri sendiri, sambil menangani tekanan atau kesan negatif dek sering melakukan kerja di rumah dan tiada masa rehat.
Ng dan Lim, sebelum ini telah meneliti kehidupan bandar melalui karya mereka seperti dokumentari semasa pandemik, The Spaces Between Us (2021) dan pameran imej bergerak, On/Off/Screen (2021).
Sementara itu, filem pendek Cendol ialah karya sulung pelakon veteran Mediacorp, Qi Yuwu, selaku pengarah.
Sebelum ini, Qi Yuwu terkenal dalam siri popular tempatan seperti, The Little Nyonya dan The Dream Makers.
Menyentuh tentang filem pendek Cendol, ia menampilkan pelakon dan hos tempatan yang kini berpusat di Paris, Sharon Au, dalam kisah seorang pereka bentuk dalaman terkenal yang sedang memburu impian di luar negara.
Sebaik sahaja pulang ke Singapura untuk melawat ibunya, beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan bandar dan diri sendiri.
Diarahkan penulis dan pengarah Singapura, James Thoo, filem Sandbox menampilkan barisan pelakon seperti Benjamin Kheng, Nathan Hartono, Estelle Fly, Fauzi Azzhar dan Oon Shu An.
Filem komedi ini mengisahkan seorang pelakon aksi ngeri yang berganding dengan abang serta bekas iparnya, untuk menyelamatkan sekolah mereka yang hampir ‘menggulung tikar’ atau tutup.
Ketika harapan semakin pudar, tersebar khabar angin penerbitan drama adiwira, Marvel Studios, sedang mencari bakat tempatan, lantas menarik sekumpulan calon ‘adiwira’ dan individu dengan watak unik ke sekolah itu.
Masing-masing yakin mampu dilatih di sekolah tersebut, untuk menentang penjahat serta mencegah jenayah.
Di samping itu, filem ini turut mengetengahkan cabaran yang dihadapi masyarakat seni Singapura ketika berusaha mengejar impian dalam bidang kreatif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg