Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah muda hidupkan legasi P. Ramlee dalam dokumentari ke pentas dunia

‘Airnya Biru di Tanjong Katong’ antara karya terpilih dalam Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) edisi ke-36
Nov 28, 2025 | 5:30 AM
 Izdihar Osman, Airnya Biru di Tanjong Katong’,P. Ramlee
Pengarah muda, Izdihar Osman, terdorong untuk mengarahkan sebuah dokumentari berjudul, ‘Airnya Biru di Tanjong Katong’, selepas tersentuh dengan kisah P. Ramlee, yang diceritakan oleh ayahnya. - Foto ihsan IZZY OSMAN

Berbekalkan jiwa anak kelahiran Singapura dan semangat, seorang pengarah muda, Izdihar Osman, 25 tahun, terdorong mengarahkan dokumentari berjudul, Airnya Biru di Tanjong Katong, selepas tersentuh dengan kisah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang diceritakan oleh ayahnya, Encik Osman Ahmad, 60 tahun.

Menerusi dokumentari pendek sekitar 14 minit itu, Izdihar atau lebih mesra disapa Izzy, berhasrat merakam denyut perubahan Singapura melalui lensa yang lebih berseni, tanpa terikat dengan acuan dokumentari biasa.

Dengan pendekatan yang lebih berseni dan puitis, karya ini tidak dihadirkan sebagai kisah mengenai P. Ramlee semata-mata.

Sebaliknya, ia menjelma sebagai renungan tentang pengaruh yang ditinggalkan sepanjang hayat beliau dalam kehidupan masyarakat Melayu di Singapura, terpantul menerusi rentetan karya filemnya yang abadi.

Sebagai pengarah muda Singapura yang berpangkalan di luar negara, lulusan bidang penerbitan filem dan sinematografi di Institut Pratt di Brooklyn, New York, itu berasa penting untuk mengangkat kisah dan suara masyarakat Melayu dalam filem.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, beliau berkata:

“Ilham untuk membuat sebuah dokumentari yang menyingkap tentang pengaruh filem P. Ramlee dalam masyarakat Melayu Singapura tercetus apabila ayah saya secara tidak sengaja menyebutnya ketika sedang makan di Kelab Sukan SIA, Changi.

“Beliau sering berkongsi kisah tentang seniman itu ketika kami meluangkan masa bersama, terutama ketika pandemik Covid-19.

“Bahkan, dalam perkongsian itu, beliau juga menceritakan beberapa tempat nostalgia di Singapura dan bagaimana ia kini telah banyak berubah.

“Maka itu, saya memilih Jalan Ampas sebagai salah satu lokasi penggambaran, bukan sahaja kerana ia menjadi tempat lahirnya karya agung P. Ramlee, malah juga kerana ia sarat dengan kenangan yang sering dikongsikan ayah kepada saya.”

Menurut Izzy, dokumentari itu lahir daripada rasa kagumnya terhadap P. Ramlee, yang mana karyanya menjadi permulaan perjalanan beliau mengenali dunia perfileman.

Beliau turut menambah, walaupun legasi P. Ramlee terserlah dalam layar perak di rantau ini, ramai di luar negara, khususnya di New York, belum berpeluang mengenali Seniman Agung itu dengan lebih dekat.

Di samping itu, Izzy turut menjelaskan dokumentari itu dihasilkan bagi tujuan tesis pada 2024, dengan proses pembikinannya mengambil masa sekitar setahun, sekali gus melibatkan empat tenaga kreatif termasuk dirinya.

Lebih menarik lagi, karya berkenaan kini menjadi salah satu filem yang diketengahkan dalam Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF), yang kembali bagi edisi ke-36, antara 26 November dengan 7 Disember.

Karya itu termasuk dalam program Filem Pendek Singapura Panorama 2 yang dianjurkan sempena SGIFF.

Tayangan dokumentari Airnya Biru di Tanjong Katong akan berlangsung pada 29 November, bermula 4.30 petang di Golden Village Cineleisure, Dewan 4.

SGIFF merupakan sebahagian daripada Festival Media Singapura 2025, anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Ditubuhkan pada 1987, SGIFF telah mengukuhkan kedudukannya sebagai festival filem berprestij dan terlama dianjurkan di negara ini. 

Menjadi nadi penting dalam landskap seni tempatan, SGIFF dikenali dengan kurasi program yang segar serta komitmennya dalam mengetengahkan karya layar perak Asia yang berani dan berpengaruh di peringkat serantau.

Berbalik kepada bagaimana filem P.Ramlee berhasil meninggal kesan pada masyarakat Melayu Singapura, Izzy berkata rata-rata mereka yang ditemu bual melihat P. Ramlee sebagai simbol budaya di Singapura, khususnya dalam masyarakat Melayu, dan menganggap beliau sebagai tokoh yang tiada tandingannya.

“Saya berharap dokumentari ini juga dapat menjadi jambatan bagi penonton antarabangsa untuk mengenali sosok P. Ramlee serta memahami betapa besarnya pengaruh beliau terhadap budaya dan masyarakat Melayu,” ujarnya penuh harapan.

Selain itu, Izzy yakin SGIFF berfungsi sebagai pengantara antara industri perfileman tempatan dan antarabangsa.

Beliau menambah festival ini juga merupakan langkah penting untuk memberi akses dunia kepada karya filem dari Singapura, mahupun di rantau ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menonton filem dokumentari Airnya Biru di Tanjong Katong, boleh dapatkan tiket berharga $15 di laman web Sistic menerusi pautan https://sistic.com.sg/events/sgiff2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg