SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pementasan boneka sarat pesanan, teroka tema cinta dan duka

Pementasan boneka sarat pesanan, teroka tema cinta dan duka

‘PUNO: Sewing Memories’ oleh kumpulan teater Indonesia, Papermoon Puppet Theatre, dipentas di Esplanade
Apr 14, 2026 | 3:10 PM

Pementasan boneka sarat pesanan, teroka tema cinta dan duka

Bayangkan kisah tentang kehidupan, perpisahan, dan kenangan bersama insan tercinta disulam indah melalui pementasan boneka yang menyentuh jiwa.

Begitulah inti pati yang bakal diteroka oleh kumpulan teater asal Yogyakarta, Indonesia, Papermoon Puppet Theatre, yang bakal menemui penonton, antara 17 dengan 19 April, bermula 8 malam (Jumaat dan Sabtu) dan 3 petang (Sabtu dan Ahad), di Studio Resital Esplanade.

Sempena Pesta Raya 2026, anjuran pusat seni Esplanade, karya berjudul PUNO: Sewing Memories, mengajak penonton merenung dan menyelami alam fana ini dengan persembahan boneka, sambil menyentuh tema tentang kasih sayang, kekeluargaan dan kedukaan.

Ia mengisahkan tentang perjalanan bapa tunggal dan tukang jahit, Puno, yang berusaha mengait benang-benang kenangan bersama anak perempuannya, Tala.

Puno turut gigih memenuhi keperluan hidup, membina keyakinan dan keupayaan diri Tala, agar suatu hari nanti, anaknya itu mampu melangkah meneruskan perjalanan hidupnya sendiri.

Pementasan tanpa dialog itu memanfaatkan bahasa sejagat seni boneka dengan pergerakan tubuh bagi menyampaikan cerita, membangkitkan emosi menerusi reka bentuk visual yang memukau serta skor muzik yang asli.

Beberapa teknik seni boneka turut digabungkan dalam persembahan ini termasuk teater topeng serta gerakan yang diinspirasikan daripada ‘kurumaningyo’ dan ‘bunraku’ dari Jepun.

Kurumaningyo merupakan teater boneka tradisional Jepun yang menggunakan boneka yang digerakkan dengan bantuan struktur beroda kecil, biasanya untuk menghasilkan pergerakan yang lebih dekat dan semula jadi seperti manusia.

Manakala, bunraku melibatkan tiga orang dalang untuk menggerakkan satu boneka, lengkap dengan penceritaan daripada pencerita dan iringan muzik.

Lebih menarik lagi, pada 2025, karya itu telah melabuhkan tirai pementasan jelajah di Amerika Syarikat.

Terdahulu, kumpulan yang diterajui oleh seniman boneka, penulis dan pengarah PUNO: Sewing Memories, Maria Tri Sulistyani (Ria), bersama suaminya, Iwan Effendi, yang juga seniman visual, itu pernah membuat persembahan di Singapura sempena ulang tahun ke-20 Esplanade pada 2022.

Selain itu, barisan seniman Papermoon Puppet Theatre yang turut dianggotai oleh Anton Fajri, Beni Sanjaya, Pambo Priyojati dan Hardiansyah Yoga, telah menghasilkan himpunan karya yang tersendiri dan unik seperti, Stream Of Memory (2022); A Bucket of Beetles (2020); dan Mwathirika (2010).

Rangkaian karya itu telah dipentaskan di lebih 10 negara termasuk, Jepun, Taiwan, Thailand, Australia dan Amerika Syarikat, menyisipkan nilai kehidupan menerusi penceritaan puitis.

Dalam pada itu, PUNO: Sewing Memories merupakan versi ketiga bagi karya Papermoon iaitu, PUNO: Letters To The Sky, yang menelusuri pengalaman kehilangan insan tersayang.

Ia telah dipersembahkan di beberapa negara Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand dan Singapura.

Tiket bagi pementasan boneka PUNO: Sewing Memories, berharga $35, boleh ditempah melalui laman web, Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/puno0426

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg