Topic followed successfully
Go to BHkuNana Karia kini tauke gerai makan, tawar hidangan tradisional Indonesia
Nana Karia kini tauke gerai makan, tawar hidangan tradisional Indonesia
Naib Juara ‘Berani Lakon!’ galak orang ramai pilih makanan lebih sihat seperti botok-botok Boyan, ‘pecel nyiur’
Nana Karia kini tauke gerai makan, tawar hidangan tradisional Indonesia
Keinginan penyanyi, guru vokal, usahawan muzik serta penggubah lagu tempatan, Nana Karia, untuk membuka ‘warung kecil’ yang menjual makanan tradisional Indonesia bermula daripada niat murni mendidik orang ramai, khususnya generasi muda tentang warisan makanan Nusantara.
Nana, 45 tahun, menyedari semakin pudarnya budaya menikmati makanan tradisional, lantas mendorongnya membuka kedai makan, Waroeng Bon Jovo, sekitar Februari.
Waroeng Bon Jovo, yang terletak di Anna @ 108 Cafe, 218 Bangunan PKMS, Changi Road – berdekatan Masjid Darul Aman – menyajikan pelbagai hidangan warisan seperti botok-botok Boyan serta pecel nyiur (hidangan tradisional Jawa berasaskan kuah diperbuat daripada kelapa parut).
“Sebab peribadi saya ingin membuka kedai ini bersama rakan saya, Cef Emil, adalah kerana jenis makanan seperti ini sukar ditemui di Singapura.
“Walaupun hidangan botok-botok biasa ditemui di pasaran, tetapi botok-botok Boyan ini berbeza… agak sukar sebenarnya mencari versi botok-botok Indonesia yang asli kerana rasanya memang lain.
“Selain itu, orang ramai sudah biasa dengan pecel yang seperti kuah kacang.
“Bagi saya, pecel menggunakan kacang lebih menyerupai salad dressing (perencah sayur-sayuran) daripada hidangan berkuah.
“Tambahan lagi, ini adalah makanan nenek moyang kita yang lebih sihat.
“Semua makanan ini disediakan sama ada dengan cara dikukus atau dibakar atas arang, tanpa menggunakan sebarang minyak.
“Jika ramai boleh menyokong makanan ‘hipster’, mengapa tidak makanan tradisional seperti ini yang lebih sihat?” kata Nana, ketika ditemui Berita Harian (BH) di Waroeng Bon Jovo, baru-baru ini.
Antara botok-botok yang dihidangkan termasuk botok-botok ikan tenggiri batang, telur ikan hamachi, telur ikan parang, telur ikan tenggiri, telur sotong dan ayam kampung.
Bagi hidangan pecel nyiur pula, anda disaji dengan pilihan daripada ikan lele, ikan cencaru, ikan pari, serta terung dan kacang panjang.
Setiap hidangan ditawarkan pada harga antara $6 dengan $40, dan saiznya juga sesuai untuk dikongsi dua orang.
Menyentuh mengenai penyediaan makanan, Cef Emil Hashim, 45 tahun, akur ia memakan masa berjam-jam kerana setiap bahan digunakan memerlukan ketelitian.
“Dari segi penyediaan makanan, memang mencabar kerana terdapat banyak perkara yang perlu dititikberatkan.
“Botok-botok ini sebenarnya mempunyai beberapa variasi seperti botok-botok Jawa, Boyan dan Johor.
“Namun, yang lebih biasa ditemui di pasaran ialah botok-botok Johor, yang menggunakan rempah kari dan ditumis terlebih dahulu.
“Sedangkan bagi botok-botok asli, proses menumis tidak diperlukan.
“Bagi botok-botok Boyan pula, bahan-bahannya termasuk bawang, bawang putih, halia, kunyit, lengkuas, serai, cili kering, belacan, tiga sekawan serta lada hitam.
“Selain itu, ikan digunakan dalam bentuk potongan penuh. Kami memilih ikan tenggiri batang kerana isinya yang lebih pejal.
“Secara tradisional, botok-botok Boyan mengandungi sehingga 17 jenis pucuk, namun di sini saya hanya menggunakan sembilan jenis sahaja,” kata Cef Emil, yang mempelajari cara masakan hidangan itu daripada moyangnya.
Di samping itu, bagi memastikan mutu makanan terjamin, Nana menegaskan pesanan dalam jumlah banyak sebaiknya ditempah terlebih dahulu.
“Sebenarnya, semua makanan di sini disediakan secara ‘made-to-order’ (dihidang ikut tempahan), kerana setiap hidangan mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit untuk dihidangkan.
“Ia tidak seperti gerai nasi padang, di mana semuanya sedia dihidangkan. Bagi pesanan banyak pula, lebih baik ditempah terlebih dahulu supaya pelanggan tidak perlu menunggu lama.
“Kami menghidangkan makanan dalam keadaan panas bagi mengekalkan mutu dan memastikan pelanggan dapat menikmati rasa yang lebih autentik,” ujar Nana.
Sempena Ramadan, Waroeng Bon Jovo dibuka setiap hari, dari 3 petang hingga 9 malam.
Namun, bermula 1 April, gerai itu akan dibuka setiap hari, dari 11 pagi hingga 9 malam, kecuali Rabu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nana turut dinobat sebagai Naib Juara bagi pertandingan realiti hiburan, Berani Lakon!
Mengimbau pengalaman lakonan dalam pusingan akhir program yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria itu, Nana akur pusingan tersebut banyak menguras tenaganya, baik dari segi emosi mahupun mental, khususnya ketika melakonkan babak yang menyentuh isu dekat di hatinya seperti cabaran mendapatkan zuriat.
“Dalam pusingan terakhir, saya perlu melakonkan babak tentang cabaran mendapatkan zuriat dan bagaimana ia menguatkan hubungan saya dengan suami, Malik, yang dilakonkan Rizal Aiman.
“Menerusi lakonan itu, ia membuatkan saya sedar, sebenarnya ramai wanita menghadapi situasi yang serupa.
“Jadi, apabila saya melakonkan watak Hana, seorang wanita yang melalui cabaran ini, saya mahu orang ramai lebih memahami dan bersimpati dengan isu tersebut.
“Anak saya dalam babak itu pula dilakonkan oleh Adrianna Putri. Walaupun usianya muda, dia sangat matang.
“Setiap kali kami berlatih, saya menggalakkannya memanggil saya ‘Mama Nana’.
“Namun begitu, disebabkan keserasian kami sangat kuat, sehingga hari ini, dia masih memanggil saya ‘Mama Nana’,” kongsi Juara SG Mania 2 itu lagi.
Di ambang Aidilfitri ini, Nana turut melancarkan lagu Hari Raya berjudul, Beraya!, yang merupakan duet bersama Juara Gegar Vaganza 3, Azharina Azhar.
Sebelum ini, Nana dan Azharina pernah bekerjasama buat kali pertama dalam lagu duet iaitu, Biar Gambar Berbicara, yang dilancarkan pada Oktober 2025.
Menurut Nana, lagu Lebaran ini terjadi secara tidak sengaja.
Ia merupakan antara lagu yang tersimpan dalam arkib Nana, yang akhirnya menjadi sebuah duet bersama Azharina.
Beliau hanya perlu menyesuaikan sebahagian lirik agar selari dengan suasana meriah sambutan Aidilfitri.
“Kami tidak merancang pun untuk mengeluarkan lagu Hari Raya.
“Kebetulan, waktu itu, Nina (panggilan buat Azharina) berada di Singapura dan sedang mencuba makanan di Waroeng Bon Jovo.
“Kemudian, kami pun mendapat ilham untuk merakamkan lagu Lebaran bersama.
“Lagu ini pun sebenarnya sudah saya tulis lama, hanya perlu tukar beberapa bait lirik sahaja agar disesuaikan dengan suasana Lebaran.
“Melalui lagu ini, saya mahu pendengar rasai kehangatan sambutan Hari Raya, sambil dikelilingi keluarga tercinta dan sanak saudara,” kata Nana.
Lagu Beraya! kini boleh didengarkan di semua wadah penstriman digital.
“
“Semua makanan ini disediakan sama ada dengan cara dikukus atau dibakar atas arang, tanpa menggunakan sebarang minyak. Jika ramai boleh menyokong makanan ‘hipster’, mengapa tidak makanan tradisional seperti ini yang lebih sihat?”
