Impian bintang rok, guru vokal, usahawan muzik sekaligus penggubah lagu, Nana Karia, 45 tahun, untuk menembusi pasaran Malaysia akhirnya menjadi kenyataan melalui lagu terbarunya, Biar Gambar Bicara, setelah 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni.
Lagu itu merupakan duet beliau bersama juara Gegar Vaganza Musim 3 (GV3), Azharina Azhar, 40 tahun.
Menurut Nana atau nama sebenarnya, Nur Hasanah Zakaria, hasrat untuk berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran Sabah itu sudah lama tersimpan sejak 2017.
Pada mulanya, Nana hanya mengenali Azharina melalui dua lagu popularnya iaitu, Elegi Sepi dan Rawan.
Namun, beliau tidak menyangka penyanyi itu bersetuju untuk merakamkan lagu duet tersebut bersama-sama.
Bahkan, Nana menganggap hubungan persahabatan mereka yang terjalin selama sembilan tahun itu sangat erat, ibarat empedu yang melekat di hati.
“Sebelum ini, Nana hanya mengenali Azharina melalui dua lagu popularnya iaitu, Elegi Sepi dan Rawan sahaja.
“Tetapi, apabila melihatnya bertanding dalam rancangan realiti, Gegar Vaganza 3, rasa kagum terhadap Azharina semakin meningkat kerana beliau mempunyai daya tarikan kuat sebagai anak seni.
“Pada 2017, beliau hadir ke Singapura bagi konsert Muzika Ekstravaganza anjuran Mediacorp dan RTM.
“Dari situlah saya mula berkenalan dengannya dan saling bertukar nombor telefon.
“Sampailah hari ini, kami bersahabat baik,” katanya kepada Berita Minggu (BM) ketika dihubungi melalui Zoom, baru-baru ini.
Menyentuh pula tentang lagu Biar Gambar Bicara, ciptaan Jaybon Osman yang turut dibantu Nana dari segi susunan melodinya dengan seni kata oleh Faizal Sapuan, lagu ini pada asalnya dirancang untuk dibawakan secara solo oleh Nana.
Menurutnya lagi, karya ini membawa peringatan agar lebih cermat menapis setiap berita yang singgah di media sosial, dan adakalanya memilih untuk berdiam diri lebih bijaksana daripada terjebak dalam andaian yang mengundang prasangka.
“Lagu ini saya gubah bersama Jaybon. Namun, apabila demo sudah siap, saya rasa sayang seribu kali sayang kalau pesanan pada lagu ini ‘disimpan’ di Singapura saja.
“Saat itu, saya mula terbayang membawakan lagu ini bersama Azharina.
“Saya pun bertemu dengannya di Kuala Lumpur pada 2023, dan Alhamdulillah selainnya berjalan dengan lancar,” singkap Nana, yang juga pengasas bersama syarikat penganjur acara dan penerbitan muzik, Soulitaire Productions.
Bakat nyanyian Nana dan Azharina tentunya tidak perlu diragukan.
Bagaimanapun, menurut Nana, lagu ini hidup dengan sentuhan magis hasil gabungan vokalnya yang serak-serak basah serta tinggi melangit, dan nada rendah Azharina yang mampu menggugah jiwa.
Lebih daripada itu, konsep lagu yang turut menggabungkan genre pop kontemporari, jaz dan ‘soul’ itu sengaja dibuat bagi menuntut cabaran keluar daripada zon selesa.
“Seperti diketahui umum, saya lebih cenderung ke arah muzik rok, manakala Azharina lebih kepada balada.
“Konsep lagu ini sengaja direka supaya kami berdua dapat keluar daripada zon selesa masing-masing.
“Selain itu, kolaborasi antara dua penyanyi wanita rentas sempadan bukan sesuatu yang kerap berlaku – yang terlintas dalam fikiran saya hanyalah Siti Nurhaliza dan Krisdayanti.
“Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan usia yang sudah memasuki 40-an tahun.
“Tak sesuailah jika ingin meniru rentak K-Pop, nanti orang kata terlalu beriya-iya.
“Maka itu, saya memilih genre yang malar segar dan klasik,” ujarnya lagi.
Di samping itu, video muzik bagi lagu Biar Gambar Bicara yang dilancarkan pada 17 November lalu menerusi laman YouTube, disokong oleh Asyura Paste, Soulitaire Productions dan Azharina Entertainment.
Dalam perkembangan lain, Nana yang kini berada di Malaysia bagi mempromosikan lagu berkenaan mengakui terkejut dengan jadual yang padat.
“Kalau di Singapura, kita hanya ada satu stesen radio sahaja.
“Di Malaysia, saya agak terkejut dengan kesibukan jadual, merantau dari satu stesen radio ke stesen radio yang lain.
“Terlalu sibuk, sehingga saya jatuh sakit (demam).
“Mungkin satu hal yang saya kesali adalah tidak melakukan hal ini semasa zaman muda dulu.
“Bagaimanapun, saya menghargai peluang yang ada kini sepenuhnya, sambil menimba pelbagai ilmu daripada Azharina sepanjang promosi lagu Biar Gambar Bicara di Malaysia.
“Bagi peminat dan pendengar di Singapura, mereka turut berpeluang membuat permintaan supaya lagu ini diputarkan di corong radio yang tersedia,” kata Nana.
Lagu Biar Gambar Bicara kini boleh didengarkan di seluruh penstriman digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg