Dengan namanya mula kukuh dalam arena muzik Malaysia setelah melancarkan lagu duet Biar Gambar Bicara (bersama Azharina Azhar), Nana Karia, 45 tahun, disuguhkan dengan pertanyaan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran menyertai program popular siaran Astro Ria, Gegar Vaganza.
Menjawab soalan wartawan Berita Minggu (BM), Nana berkata:
“Kena tengok jodoh dan masa juga. Sebenarnya, nama saya pernah dipetik untuk menyertai Gegar Vaganza, lebih tepatnya lagi pada tahun lepas (2024).
“Tahun itu, Abang Yazid (panggilan bagi Yazid Lovehunters) yang mewakili Singapura.
“Bagaimanapun, cabarannya adalah jadual dan komitmen kerja yang padat.
“Pada masa sama, ketika itu, saya ada persembahan bagi acara malam Tahun Baru di Phuket, Thailand, yang tidak dapat dielakkan.
“Kerana itu, tidak ada rezeki saya untuk menyertai program tersebut pada 2024.”
Meskipun peluang itu belum berpihak pada Nana, beliau tetap bersikap terbuka sekiranya kesempatan yang sama hadir kembali, asalkan ia tidak bercanggah dengan jadualnya.
Menyentuh pula tentang penglibatan rakan seni iaitu Iskandar Ismail, atau lebih mesra dikenali dengan nama pentas Eiss, dalam Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12), Nana meluahkan rasa bangga melihat bakat beliau semakin dikesan di seberang Tambak.
“Apabila pihak Astro menjemput Eiss untuk menyertai GV12 pada 2025, saya rasa bangga kerana beliau memang layak diberikan peluang itu.
“Pada pandangan saya, Eiss kini sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut, apatah lagi namanya pernah dipetik sebelum ini, namun terpaksa ditolaknya kerana kekangan komitmen kerja,” ujar Nana.
GV12 yang disiarkan secara langsung dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, boleh ditonton melalui saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 9 malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg