Mereka datang ke panggung Wild Rice di Funan Centre dengan berkebaya moden rapi dan anggun, siap untuk mengembara masa ke era Tan Sri P. Ramlee, bagi menonton persembahan orkestra dan teater, Tunggu Sekejap.

Saya yakin empat remaja perempuan yang berdiri menanti lif selepas menikmati sajian nostalgia itu dalam kalangan Generasi Z (lahir antara 1997 dengan 2012).

Terdengar ada seorang daripada mereka bertanya kepada temannya di sebelah: “Nanti kita boleh beli tiket pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) dan Mansur & Liu di Malaysia. Mesti seronok!”

Memang jarang-jarang kita lihat remaja begitu teruja menyaksikan persembahan ‘old school’, apa lagi yang berlatarbelakangkan era pemerintahan silam abad ke-15.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, minat menonton muzikal zaman kerajaan dahulukala mula bangkit dalam diri Generasi Z yang sukakan kesenian, baik tarian, muzik tradisional dan ilmu pertahanan diri seperti silat.

Beberapa teman dan anak buah Generasi Z turut berkeluh-kesah apabila gagal menempah tiket dalam talian untuk PGL selepas menanti berjam-jam lamanya dan meski menggunakan beberapa komputer riba untuk membuat tempahan, dengan harapan siapa cepat, dia dapat!

Memang pementasan ini ‘laris gila’, khususnya yang mengetengahkan Aisha Retno, penggubah lagu muda yang paling ‘in’ buat masa ini, sebagai Puteri Gunung Ledang.

Ada beberapa sebab yang memungkinkan mengapa belia era digital kini terjebak dengan trend menonton muzikal zaman silam.

Pertama, mereka dewasa dalam dunia fantasi budaya pop seperti francais filem, Lord of the Rings dan Game of Thrones, anime dan drama Korea (K-drama), yang membawa mereka ‘melarikan diri’ seketika daripada alam realiti penuh tekanan.

Justeru, muzikal yang berlatarbelakangkan era kesultanan, lengkap dengan kisah putera puteri, istana gah tersergam indah dan koreografi persilatan yang menakjubkan serta kostum tradisional yang melambangkan kekayaan warisan Melayu menjadi cukup dekat di hati Generasi Z ini.

Kedua, inilah peluang keemasan untuk memuatnaikkan kandungan digital yang segar. TikTok dan Instagram menjadikan sebilangan belia kita lebih teruja mengenakan pakaian tradisional apabila menghadiri pementasan budaya.

Mereka mengambil peluang untuk merakam rasa bangga terhadap budaya Melayu di TikTok dan Instagram, sebagai satu petanda generasi muda tidak mengabaikan budaya Melayu zaman-berzaman.

Akhir sekali, mereka bersemangat menjadi sebahagian usaha maestro muzik seperti Datuk M. Nasir mengembalikan nostalgia pementasan yang kaya mutu seni, budaya dan warisan.

Nasir mencipta beberapa lagu runut bunyi PGL dan kini merupakan pengarah dan komposer muzikal Mansur & Liu.

Usaha ‘Sifu’ M. Nasir bak jambatan yang menyatukan cita rasa orang dahulu dengan generasi sekarang untuk mengamati sejarah dan warisan Melayu agar ia tidak lapuk ditelan zaman.

Berbanding muzikal Barat yang membentangkan kisah masa kini, muzikal Melayu yang disajikan di seberang Tambak dan lebih mendapatkan sambutan pula berunsurkan cerita bangsawan diraja.

Ada yang kata mungkin masyarakat Melayu yang sering ke muzikal sukakan sesuatu yang berunsurkan suasana diraja, bertaraf kisah legenda mahupun yang memiliki set gah yang mempesona.

“Sebab kalau kisah macam zaman sekarang, terasa bagaikan menonton drama biasa di kaca televisyen. Apa keistimewaannya kalau dah bayar tiket berharga ratusan dolar?” ujar teman saya yang juga sukakan muzikal dengan paparan set istana yang mewah.

Ada juga yang menyatakan lebih selamat jika dipentaskan muzikal tentang legenda kuno yang membahaskan perihal antara amanah diraja dengan cinta, menjaga maruah kerajaan dan memelihara cinta dua insan.

Jika ingin diulit isu sosiopolitik atau keagamaan dalam sesebuah muzikal kontemporari, akan timbullah kerisauan jika naskhah berkenaan terasa terlalu sensitif lantas perlu banyak ditapis atau akan menerima kecaman penonton.

Namun, kadangkala pencinta muzikal seperti saya idamkan karya pentas yang menggunakan katalog lagu legenda pop seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah atau Datuk Ziana Zain, untuk diulit dalam sebuah muzikal ‘jukebox’ yang bermakna dan penuh inspirasi jalan ceritanya.

Di Barat, lagu-lagu kumpulan pop Sweden, Abba, berjaya mencetus inspirasi untuk muzikal, Mamma Mia!

Raja Pop, Michael Jackson, juga memberi idea karyawan seni menghasilkan MJ The Musical.

Dalam pasaran barat, label rakaman dan penerbit telah memperkemaskan pelesenan katalog lagu artis agar boleh dijadikan sajian lagu untuk adaptasi pentas.

Bagaimanapun, di rantau Nusantara, hak sesebuah lagu mempunyai pecahan hak dan boleh dimiliki bersama eksekutif label, penerbit lagu individu atau penggubah lagu asal.,

Justeru, menggabungkan 20 lagu hit dalam katalog seorang bintang legenda untuk sebuah muzikal memerlukan rundingan guaman yang menelan banyak belanja dan masa.

Karyawan seni juga terasa berat untuk mengambil beberapa lagu seorang artis popular untuk dijadikan lagu latar sebuah muzikal kerana skripnya kelak mungkin agak tergenjot dari segi jalan cerita sebab lagu berkenaan dicipta satu per satu dan tiada kaitannya, kecuali dinyanyikan penyanyi yang sama.

Memandangkan peminat sudah biasa mendengar suara ikonik Siti Nurhaliza, Ziana atau Jamal, mereka mungkin sukar menerima lagu tersebut didendangkan pelakon teater yang boleh membuat mereka seakan-akan mendengar dendangan karaoke.

Yuran pelesenan katalog lagu juga agak tinggi, apatah lagi apabila muzikal ini disajikan paling lama dua minggu hingga sebulan di Malaysia dan Singapura.

Ia jauh beza daripada penerbitan Broadway yang boleh dipentaskan terus-terusan ke merata dunia untuk tempoh 10 hingga 20 tahun.

Apa yang boleh saya katakan, pentas muzikal Melayu memerlukan ekosistem komersial yang memastikan ia dapat bertahan untuk jangka masa panjang.

Sehingga penerbit muzikal di Nusantara mudah memperolehi hak pelesenan katalog muzik seorang artis dan memastikan pementasan itu boleh bernafas bagi putaran pementasan sekurang-kurangnya enam bulan lamanya, hanya kisah epik yang memberi jaminan mudah laris di hati penonton muzikal Melayu.

Prasarana komersial dan guaman bagi mengubah katalog lagu ikon pop menjadi lagu klasik pementasan muzikal perlu dibangunkan terlebih dahulu agar teater muzikal bukan lagi jendela kisah silam tetapi menjadi refleksi dan sanjungan buat karya ikon seni Melayu yang bukan calang-calang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti